Google mahu labur AS$2 bilion di Malaysia ketika AS berusaha imbangi ekonomi China

Pelaburan AS melimpah masuk ke negara Asia Tenggara itu selepas Microsoft umum saiz pelaburan yang sama bagi menyokong transformasi digital.
Iman Muttaqin Yusof
2024.05.30
Kuala Lumpur
Google mahu labur AS$2 bilion di Malaysia ketika AS berusaha imbangi ekonomi China Seorang pelajar menggunakan enjin carian Google untuk mendapatkan bahan maklumat pembelajaran di Kajang, Selangor, 30 Mei 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 12.20 tengahari waktu tempatan ETS - 2024-05-30

Syarikat teknologi terkemuka dunia, Google akan melabur sebanyak AS$2 bilion (RM9.4 bilion) untuk membina pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia, kata Putrajaya pada Khamis, sebulan selepas Microsoft mengumumkan rancangan yang sama semasa Amerika Syarikat (AS) cuba memadankan pelaburan China yang agak besar di Asia Tenggara.

Pelaburan Google dijangka dapat mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan, menjelang 2030, dan hadir selepas Malaysia mengumumkan peruntukan sejumlah AS$5.3 bilion (RM25 bilion) untuk mengembangkan industri semikonduktor ketika pemain global sektor itu mencari negara pembuat cip yang neutral dari segi politik.

“Pelaburan ini dijangka memberi impak dua kali ganda kepada ekonomi Malaysia, berjumlah AS$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dan mewujudkan sekitar 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Pelaburan pusat data pertama Google di Malaysia dan pembangunan wilayah Google Cloud adalah bukti perancangan jelas kerajaan, di samping kekuatan ekonomi dan sumber negara, yang menarik pelabur sedia ada dan baharu,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan mengalu-alukan pengumuman syarikat teknologi itu pada Khamis.

Google berkata pusat data dan rantau awan yang akan diwujudkan di Greater Kuala Lumpur akan menyokong perkhidmatan digital seperti Search, Maps dan Workspace.

“Pusat data pertama Google dan wilayah awan Google ialah pelaburan terancang terbesar kami setakat ini di Malaysia – tempat yang dibanggakan oleh Google selama 13 tahun,” kata Ruth Porat, ketua pegawai kewangan syarikat induk Google, Alphabet dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pusat itu juga akan memenuhi keperluan syarikat besar, syarikat permulaan dan organisasi sektor awam selain memastikan keselamatan, penempatan data dan pematuhan standard, kata syarikat teknologi itu.

Wilayah Google Clould Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang sedang beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan awan tempatan dan global selain kecerdasan buatan (AI) untuk pelajar dan pendidik.

Pada November, pentadbiran Anwar dan Google menandatangani memorandum persefahaman untuk mewujudkan peluang pertumbuhan untuk rakyat Malaysia dan syarikat tempatan menggunakan AI dan teknologi awan.

Firma teknologi lain seperti Microsoft pada awal bulan ini berkata ia mahu melabur $2.2 bilion (RM10.34 bilion) di Malaysia berikutan peningkatan permintaan untuk 'Cloud' dan AI. Syarikat tersebut turut mengumumkan pelaburan di Indonesia serta Thailand pada masa yang sama.

Malaysia juga mengalu-alukan gergasi teknologi AS yang lain seperti Apple yang akan membuka gedung runcit pertamanya di pusat beli-belah The Exchange TRX di Kuala Lumpur sekali gus meningkatkan lagi kehadiran syarikat Amerika di rantau Asia Tenggara bersama premis sedia ada di Singapura dan Thailand.

Sektor semikonduktor negara itu juga telah menyaksikan lonjakan, hasil daripada strategi "China Tambah Satu" yang diguna pakai oleh firma teknologi untuk mengelakkan kejutan permintaan seperti berlaku ketika pandemik Covid-19.

Lonjakan pelaburan berikutan sokongan domestik, infrastruktur, dasar kerajaan dan kelebihan geostrategi yang menarik di negara itu telah menjadikannya sebagai sasaran berharga untuk kepelbagaian yang mampan dari China, kata penganalisis.

Malaysia yang mempunyai hubungan mesra kepada kedua-dua gergasi ekonomi yang saling bersaingan seperti AS dan China, mengekalkan pendirian ‘neutral’ dari segi hubungan ekonominya sebagai mana dilaungkan oleh Anwar Ibrahim sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Persaingan AS-China

Persaingan AS-China semakin sengit di Asia Tenggara disebabkan oleh kedudukan ekonomi yang tinggi dan lokasi geostrategiknya, tulis Prashanth Parameswaran, felo Program Asia Wilson Center pada tahun lepas.

Malah Anthony Blinken selepas mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Negara AS berkata: “Hubungan kami dengan China akan berdaya saing apabila ia perlu sebegitu, bekerjasama apabila boleh dan berlawan apabila perlu. Penyebut biasa ialah keperluan untuk melibatkan diri dengan China dari kedudukan yang kuat.

Dalam temu bual Al-Jazeera awal bulan ini, Anwar mengulangi pendirian pentadbirannya bahawa Malaysia mengalu-alukan pelaburan dari AS dan China tanpa sebarang campur tangan.

“Saya fikir menjadi kewajipan kami, bukan sahaja Malaysia malah ASEAN, untuk berdikari dan mematuhi prinsip berkecuali dan melakukan yang terbaik untuk menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan dengan itu dapat meningkatkan perdagangan dan memperkukuhkan pelaburan,” kata Anwar kepada Al-Jazeera ketika ditanya jika AS cuba untuk menentukan sebarang perkara berkaitan hubungan Malaysia dengan China.

"Saya tahu terdapat surat rasmi, tetapi kami tidak akan bertindak balas terhadapnya kerana AS secara kumulatif masih merupakan pelabur terbesar di Malaysia dan pelaburan baharu masih masuk. Tiada berat sebelah dalam memihak atau menentang mana-mana negara."

Pada akhir tahun lalu, lima sumber pelaburan langsung asing teratas ke Malaysia didahului oleh Belanda (RM35.0 bilion [AS$4.7 bilion]), diikuti Singapura (RM20.4 bilion [AS$4.3 bilion]), AS (RM18.9 bilion [AS$4.02]), China (RM11.6 bilion [AS$2.4]) dan Jepun (RM11.2 bilion [AS$2.3 bilion]), menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

“China adalah rakan perdagangan individu utama Malaysia, manakala ASEAN secara kolektif menjadi rakan dagang teratas. Bagi pelaburan langsung ini ini berbeza dari tahun ke tahun tetapi baru-baru ini China telah ketinggalan di belakang negara lain,” kata Geoffrey Williams, pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia kepada BenarNews.

“Pelaburan besar dari AS dalam bidang teknologi bernilai tinggi jelas positif. Ia mencerminkan meluasnya sumber pelaburan langsung asing yang mengurangkan risiko dan pergantungan kepada satu sumber dominan.”

Penganalisis hal ehwal luar, Collins Chong Yew Keat berkata firma terkemuka AS yang melabur di Malaysia memberi isyarat bagi melindungi nilai strategik dan penonjolan kuasa yang dinamik bagi perubahan masa depan di Indo-Pasifik.

“Tinjauan demografi China dan prospek jangka panjang juga telah memaksa firma terkemuka untuk mencari di lokasi lain dan ia juga sejajar dengan fasa baharu persaingan strategik pentadbiran Presiden Joe Biden dengan China.

“Bagi memastikan ia mencapai kejayaan, pangkalan serantau baharu yang berdaya maju dan mampan menjadi penting dalam mengekalkan momentum menangguhkan inisiatif ke arah perbincangan dengan Cina dan kehadiran usaha ekonomi dan hubungan perdagangannya di rantau ini menjadi berterusan,” kata Collins dari Universiti Malaya kepada BenarNews.

Penganalisis Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura pula berkata keputusan Google dan Microsoft untuk melabur di Malaysia dipengaruhi oleh ekosistem komersial dan teknologi, termasuk pelupusan teknologi tinggi dari China ke Malaysia.

“Kejayaan ekonomi Asia Tenggara sebenarnya bukan kerana pergantungan kepada China sebaliknya keupayaan untuk menjadi saluran antara ekonomi yang berbeza.

“AS, Kesatuan Eropah dan Jepun secara konsisten menjadi pelabur yang lebih besar di ASEAN berbanding China selama ini.

“Cuma pelaburan itu tidak datang dari segi projek infrastruktur awam yang dapat dilihat dan ia cenderung disembunyikan di taman perindustrian dan sebagainya... akibatnya, saiz pelaburan dari AS dan negara lain terlalu kerap dan mudah dilupakan,” katanya kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.