Malaysia, Amerika Syarikat Bincang Potensi Pindahkan Tahanan Guantanamo

Muzliza Mustafa
2016.09.23
Kuala Lumpur
160923-MY-guantanamo-620.jpg Penyiasat Australia sedang memeriksa tapak berlakunya kejadian pengeboman di Bali, Indonesia, 17 Oktober 2002.
AFP

Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sedang berbincang mengenai proses deradikalisasi yang diperlukan untuk melepaskan seorang daripada dua tahanan rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan al-Qaeda, yang kini sedang berada di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan Duta AS, Lee Wolowsky, perutusan khas bagi penutupan Guantanamo, di New York, menurut agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Zahid berkata, beliau dimaklumkan tentang kemungkinan pembebasan tahanan Mohamad Bashir Lap ke negara asal, tetapi Bashir perlu melalui proses deradikalisasi di penjara Malaysia.

Minggu lalu, Lembaga Semakan Berkala AS (US Periodic Review Board - PRB) mengisytiharkan bahawa "undang-undang tahanan perang" terhadap Bashir dan rakan senegaranya yang turut ditahan, Mohamad Farik Amin adalah perlu untuk "melindungi Amerika Syarikat daripada ancaman yang berterusan.”

"Fail kedua-dua tahanan itu akan disemak dalam tempoh enam bulan, sama seperti semua tahanan yang tidak diluluskan berpindah melalui PRB," kata seorang pegawai Jabatan Negara AS kepada BeritaBenar dalam jawapan e-mel yang dihantar pada Jumaat.

Dua rakyat Malaysia itu, adalah antara 61 orang dari seluruh dunia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, yang akan ditutup oleh kerajaan AS sebelum Presidennya Barack Obama mengakhiri penggal kedua beliau sebagai Presiden AS awal tahun depan.

Dalam penilaiannya terhadap Bashir bertarikh 15 September, lembaga itu berkata ia memandang ke hadapan untuk mengkaji semula fail bagi tempoh enam bulan, dan ia menggalakkan kerajaan Malaysia untuk bersedia memindahkannya dari Guantanamo.

Dalam kes melibatkan Farik, lembaga itu tidak menyebut ulasan berpotensi untuk tempoh enam bulan, dan menyatakan kekurangan bukti  yang dipercayai boleh menyebabkan pembatalan deradikalisasi.

Menurut Zahid, satu Jawatankuasa Peringkat Tertinggi terdiri daripada wakil dari Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen, akan ditubuhkan segera dalam mewujudkan protokol mengenai proses deradikalisasi, Bernama melaporkan. Zahid turut menjemput Wolowsky untuk melawat Malaysia bagi menjelaskan usaha pemindahan tersebut.

“Saya yakin program deradikalisasi kerajaan boleh memulihkan tahanan rakyat Malaysia," kata Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia. Beliau berada di New York untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada Jumaat, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar berharap Amerika Syarikat akan membuat keputusan untuk memindahkan Farik juga. "Jika AS membenarkan kita berbuat demikian," katanya kepada BeritaBenar.

“Beliau adalah rakyat negara ini, dan seorang warganegara. Kita mesti menjaganya dan cuba untuk memulihkannya," kata Khalid, merujuk kepada Bashir.

Serangan Bali dan Jakarta

Bashir, 39, dan Farik, 41, telah ditahan AS sejak September 2006.

Dalam dokumen yang dikeluarkan pada bulan Mac 2016, kerajaan AS menggambarkan Bashir sebagai leftenan kanan pemimpin al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI) dari Indonesia, Hambali, yang juga berada dalam tahanan di Teluk Guantanamo itu.

Dalam kejadian serangan 11 September 2001 di New York dan Washington, Bashir menjadi ahli sel pengebom bunuh diri untuk al-Qaeda bagi "gelombang kedua" yang menyasarkan bangunan tertinggi di California, dakwa kerajaan AS. Beliau juga didakwa menguruskan pembiayaan dana daripada al-Qaeda yang bakal digunakan.

Serangan Bali pada 2002 dan pengeboman J.W. Hotel Marriot di Jakarta pada Ogos 2003, telah mengorbankan sejumlah 214 nyawa.

"Kebanyakan komen [Bashir] mengenai kehidupan selepas penahanannya masih tertumpu kepada usaha untuk melibatkan diri semula dalam keganasan. [Bashir] mempunyai pandangan yang Amerika adalah musuh Islam, dan beliau sering menyatakan niatnya untuk menentang dan membunuh rakyat Amerika, khususnya tentera AS.

[Bashir] tidak menunjukkan sebarang penyesalan, dan jika dibebaskan, kemungkinan besar akan terlibat dalam peperangan di mana beliau menganggap umat Islam tertindas," menurut dokumen yang disiarkan oleh Sekretariat Semakan Berkala Jabatan Pertahanan AS di dalam laman webnya.

Satu dokumen yang sama juga difailkan terhadap Farik yang mendakwa bahawa Hambali memilihnya untuk menguruskan “gelombang kedua" di Califonia dan bahawa Farik juga menguruskan  pembiayaan untuk serangan di Bali dan Jakarta.

"[Farik] membangunkan hubungan yang rapat dengan Hambali, berkhidmat sebagai leftenan utama dan teman bicara, di samping menyediakan sokongan operasi untuk aktiviti pengganas- termasuk sasaran yang berpotensi, penyelidikan dan berlatih untuk membuat bom, mendapatkan senjata dan memperolehi dokumen palsu," dakwa AS.

Dokumen tersebut menyatakan dia bersedia untuk mati di medan perang, jika diberi peluang, dan tidak menunjukkan sebarang pelan khusus bagaimana beliau  akan diintegrasi di Malaysia, jika dilepaskan.

Hambali, yang muncul di hadapan lembaga kajian pada Ogos, adalah dalang dalam operasi keganasan dan menjadi penghubung utama antara JI dan al-Qaeda dari tahun 2000 sehingga dia ditangkap pada tahun 2003.

Deradikalisasi

Pegawai Polis Malaysia yang dihantar untuk melawat kedua-dua tahanan itu sebanyak dua kali - pertama pada 2007 dan sekali lagi tahun lepas, seorang pegawai anti-keganasan memberitahu BeritaBenar.

"Kerajaan Malaysia telah membuat permintaan kepada Amerika Syarikat supaya pihak berkuasa Malaysia dibenarkan untuk menjalankan penilaian ke atas kedua-dua tahanan berkenaan," kata pakar. Penilaian yang dibuat akan digunakan dalam proses deradikalisasi, menurut pegawai.

Semasa ditanya mengenai penilaian berkenaan, Ketua Polis berkata, Malaysia tidak bercadang untuk berkongsi maklumat penilaian dengan AS buat masa ini.

"Kami akan menunggu perkembangan lanjut mengenai cadangan yang akan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada BeritaBenar.

Semasa sidang memerangi keganasan antarabangsa di Bali bulan lepas, Ahmad Zahid mencadangkan penubuhan sekretariat Interpol untuk program deradikalisasi militan dari Selatan dan Asia Tenggara. Cadangan itu bakal menubuhkan sebuah sekretariat yang diterajui oleh Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) yang misi utamanya adalah untuk membendung radikal militan di peringkat antarabangsa.

Sejak 2013, Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS dan telah memberi amaran bahawa rakyat Malaysia yang kembali dari perjuangan di medan pertempuran di Syria atau Iraq, boleh melancarkan serangan keganasan di tanah air. Sekurang-kurangnya 72 didakwa ahli IS telah didakwa di mahkamah.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.