Malaysia: Keluarga Mangsa Culik Terlepas Tarikh Akhir Bayar Wang Tebusan

Dennis Wong
2016.10.31
Kuching, Sarawak
161031-my-gustiah620.jpg Gustiah Sultan dan suaminya Tayudin Anjut bersama-sama dengan dua anak mereka semasa cuti sempena Aidil Fitri pada Julai lalu.
AFP

Keluarga lima anak kapal  Malaysia, yang diculik pada Julai lepas dan ditahan oleh Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di Filipina, berada dalam keadaan resah dan tidak menentu dua minggu selepas gagal  memenuhi tuntutan wang tebusan kumpulan militan itu.

Gustiah Sultan, suri rumah berusia 46 tahun yang  bertindak sebagai jurucakap keluarga anak kapal berkenaan,  berkata, beliau hanya mampu  mengharapkan perkara yang terbaik setelah terlepas tarikh akhir 16 Oktober untuk membayar wang tebusan RM2 juta ringgit (US$480,000) bagi membebaskannya. Beliau berkata, penculik mengancam untuk memotong kepala orang tebusan itu jika mereka gagal membayar wang yang dituntut.

"Saya benar-benar tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Apa yang saya boleh lakukan adalah berdoa dan berharap kerajaan akan membantu kami menyelesaikan masalah hidup kami ini," kata Gustiah kepada BeritaBenar.

Pada 18 Julai, kumpulan dipercayai ASG menculik lima anak kapal daripada kapal tunda Serudong 3 diperairan Sabah. Lima yang diculik ialah Abd Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45, Fandy Bakran, 26, Mohamad Jumadil Rahim, 23,  yang kesemuanya dari Lahad Datu, Sabah, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7 (penempatan peneroka kelapa sawit), di negeri Pahang.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan Wan Abdul Bari Abdul Khalid, yang mengetuai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, memberitahu BeritaBenar bahawa mereka tidak mempunyai maklumat terkini mengenai penculikan itu. Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun enggan mengulas mengenainya ketika dihubungi.

Gustiah, isteri kepada Tayudin, bertemu media bagi bercakap mengenai usaha untuk mengumpul dana bagi membayar wang tebusan sejak hari penculikan berlaku pada Julai lepas.

The Borneo Post melaporkan pada 21 Julai lepas, tiga hari selepas lelaki berkenaan dijadikan tebusan, Tayudin telah menghubungi majikannya meminta membayar wang tebusan sebanyak RM20 juta (US$4.76 juta). Tayudin memberitahu majikannya bahawa kesemua anak kapalnya dalam keadaan baik dan berada di Basilan, selatan Filipina.

Pada September lalu , Gustiah bertindak sebagai jurucakap apabila keluarga mangsa meminta izin pihak polis untuk merayu orang ramai menderma bagi membayar tuntutan wang tebusan ASG itu. Kali ini, katanya, penculik menuntut 100 juta peso Filipina (RM8.65 juta atau US$2 juta), lapor New Straits Times pada 28 September.

Tuntutan wang tebusan terbaharu itu dibuat pada 12 Oktober lalu.

Wanita itu dapat bercakap dengan suaminya semasa panggilan telefon itu dan pihak risikan yakin panggilan itu dibuat oleh  ASG. Beliau berkata, suaminya memberitahunya bahawa rakan-rakan tebusannya dalam keadaan baik tetapi hanya bergantung kepada sedikit makanan dan air.

"Kami tidak mempunyai wang sebanyak itu. Walaupun selepas empat hari, kami hanya peroleh RM3,670 (US$881) melalui derma, yang jauh daripada jumlah yang mereka tuntut, "kata Gustiah kepada BeritaBenar.

Beliau tidak berhubung dengan penculik sejak terlepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan itu dan tidak tahu tentang status suaminya dan anak-anak kapal lain.

"Walaupun setelah tamat tarikh akhir tuntutan, kami hanya dapat mengumpul kira-kira RM20,000 (US$4,800) dalam bentuk wang tunai. Saya rasa kami tidak mampu mendapatkan apa yang mereka tuntut menjelang akhir tahun ini. Saya juga merayu kepada mereka bahawa kami tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu dan memerlukan lebih daripada empat hari untuk mengumpul jumlah itu. Saya hanya berharap suami saya dan anak kapal lain dalam keadaan baik, "kata Gustiah.

'Pembiaya tanpa sedar'

Rohan Gunaratna, Pengarah Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura, memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan yang membayar wang tebusan adalah "pembiaya tanpa sedar bagi ASG."

"Satu-satunya kerajaan yang enggan membayar wang tebusan adalah Kanada dan ASG memancung rakyat mereka. Kanada harus mengadakan mesyuarat serantau dan mesyuarat global untuk menangani cabaran dunia ini, "kata Gunaratna, kolumnis bagi BeritaBenar.

Tambah beliau, Malaysia dan Indonesia perlu bekerjasama dengan Filipina untuk membangunkan satu strategi bagi membendung, meminggirkan dan menghapuskan ASG. Filipina sahaja tidak mampu memerangi ASG dengan berkesan.

Para pegawai dari kerajaan Indonesia dan Malaysia, bagaimanapun, telah menafikan bahawa mereka membayar wang tebusan dalam membebaskan pelaut dari kedua-dua negara itu, yang diculik oleh kumpulan militan di selatan Filipina awal tahun ini.

"Kebanyakan pejuang ASG menyokong Negara Islam dan wang itu akan digunakan oleh ASG untuk berkembang luas," katanya.

ASG, yang telah berikrar setia kepada Negara Islam (IS), mengumpul berjuta-juta dolar melalui penculikan dalam beberapa  tahun lepas, menurut laporan dalam talian.

Tahun ini sahaja, ASG telah mengumpul sekurang-kurangnya 354.1 juta peso Filipina (US$7.3 juta) daripada wang tebusan yang dibayar bagi membebaskan tebusan, lapor laman web berita yang berpangkalan di Filipina, Rappler.com.


Muzliza Mustafa menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.