Yang di-Pertua Negeri Sabah Beri Persetujuan Lantik Hajiji Noor Sebagai Ketua Menteri

Hadi Azmi
2020.09.28
Kuala Lumpur, Malaysia
200928-MY-Hajiji1000.jpg Hajiji Noor berbaju kebangsaan merah bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (kiri) semasa hari penamaan calonnya di Dewan Seri Sulaman, Sulaman, Sabah, 12 September 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin pada Isnin telah mengesahkan calon yang disokong oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mendapat persetujuannya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu, selepas dua hari pilihan raya negeri berakhir, walaupun tidak disenangi oleh UMNO yang mendapat lebih banyak kerusi.

Juhar membuat pengesahan mengenai pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu kepada agensi berita nasional Malaysia (Bernama) selepas majlis menyampaikan surat jemputan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah Ke-16 kepada Hajiji yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri di Istana Negeri di Kota Kinabalu pada Isnin.

“Saya ucap tahniah kepada Datuk Hajiji dan saya persetujui sebagai Ketua Menteri yang baharu, untuk mengangkat sumpah pada esok hari,” kata Juhar seperti dilaporkan Bernama.

Hajiji, 65 telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman turut memberitahu media mengenai perkara yang sama sebaik sahaja bertemu Yang di-Pertua Negeri itu.

“Yang di-Pertua Negeri telah menjemput saya ke Istana Negeri untuk memaklumkan yang saya bakal dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah, dan pihak istana juga turut memaklumkan yang saya akan mengangkat sumpah jam 10 pagi esok [Selasa]," katanya yang ditemui media di perkarangan Istana.

Bernama juga melaporkan yang Hajiji turut menghadiri raptai Istiadat Angkat Sumpah yang dijadual berlangsung di Dewan Istiadat Istana Negeri pada Isnin.

Pada 11 September lepas, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu semasa berkempen di Sabah telah mencadangkan Hajiji sebagai ketua menteri Sabah jika Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya yang digelar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menawan negeri itu daripada Parti Warisan atau gabungan Warisan Plus pada pilihan raya negeri berkenaan.

Walau bagaimanapun, Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Muhyiddin itu, dengan berkata keputusan siapa calon Ketua Menteri hanya akan dibuat setelah gabungan itu memenangi pilihan raya.

"Biarpun ada orang lain menyebut seseorang tokoh akan diberi jawatan Ketua Menteri tapi pendirian kita ialah Ketua Menteri hanya dipilih oleh Barisan Nasional (BN) Sabah, dan akan dipilih apabila cukup kerusi untuk bentuk kerajaan negeri. Calon itu akan dipilih oleh ADUN yang menang… dan ini pendirian BN Sabah," kata beliau pada hari yang sama mengulas kenyataan Muhyiddin.

Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada Sabtu lalu telah membawa kepada kemenangkan terhadap GRS yang sekaligus boleh membentuk kerajaan negeri pada keesokannya, tetapi disebabkan kemelut siapa calon yang akan menjadi ketua menteri, ia sekaligus telah melambatkan proses angkat sumpah dan pembentukan barisan kabinet negeri itu.

Pada Ahad, Juhar telah menerima mengadap empat pemimpin GRS yang terdiri daripada Hajiji, Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Jahid Jahim (Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah) serta Presiden Parti Star, Jeffery Kitingan di Istana Negeri berhubung kemelut itu.

Beberapa siri pertemuan antara pemimpin GRS juga dapat dilihat berlangsung di ibunegeri Kota Kinabalu dalam usaha menamatkan pertikaian mengenai calon ketua menteri yang akan mentadbir negeri di bawah bayu itu.

UMNO akur keputusan

Selepas pertemuan Hajiji keatas Yang di-Pertua Negeri pada Isnin, Presiden UMNO melalui satu kenyataan media berkata, “Saya hormati keputusan memilih Hajiji sebagai Ketua Menteri atas dasar autonomi UMNO Sabah yang telah dipersetujui bersama,”

“Sejak dari awal saya tegaskan bahawa jawatan Ketua Menteri Sabah seharusnya diserahkan kepada UMNO sebagai parti individu yang memenangi kerusi DUN terbesar dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya terdahulu itu, sambil menambah kerusi Ketua Menteri Sabah sepatutnya menjadi milik UMNO yang menang 14 kerusi berbanding 11 kerusi milik Bersatu.

UMNO dilihat mahu letakkan Bung Moktar, ADUN Lamag yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sebagai Ketua Menteri.

Bung Moktar pada Isnin yang bercakap kepada media bersama pemimpin-pemimpin GRS telah menyatakan sokongan berhubung pelantikan Hajiji atas dasar memulihkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kerajaan.

“Selesai sahaja isu Ketua Menteri Sabah, kita akan memulakan langkah untuk memastikan rakyat mendapat perhatian daripada kerajaan sedia ada dan semua rakyat tidak lagi main politik, kita memikirkan mengenai masalah negeri Sabah,” kata beliau.

Mengulas isu perlantikan ketua menteri itu, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa berkata Bung merupakan calon yang tidak sesuai dan UMNO tidak mempunyai sebarang calon alternatif.

“Situasi ini bakal menikam diri sendiri memandangkan Bung masih berhadapan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah dan jika UMNO masih berkeras mahukan Bung sebagai Ketua Menteri, ini akan memberi risiko kepada peralihan sokongan di kalangan komponen parti dalam BN dan PN,” kata penganalisis politik itu.

Pada Mei tahun lalu, Bung dan isterinya pelakon Zizie Ezette A Samad masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih RM2.8 juta (AS$676,592) selepas berjaya mendapatkan kelulusan bagi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra), yang beliau adalah Pengerusi Bukan Eksekutif untuk membuat pelaburan RM150 juta (AS$36.24 juta) dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad, empat tahun lepas. Kes beliau masih berjalan di mahkamah.

Sementara itu, Muhyiddin pada lewat Isnin telah mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan ADUN PN, BN dan PBS atas persetujuan mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah yang disifatkan sebagai persepakatan yang membuktikan kerjasama erat semua parti di bawah GRS sehingga berjaya mendapat sokongan rakyat negeri itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan seluruh ADUN… Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Facebooknya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong parti diterajuinya dan akan terus berkhidmat kepada rakyat di posisi sebagai pembangkang.

"Terima kasih banyak atas semua sokongan yang diberikan oleh rakyat Sabah. Kita akan terus berkhidmat," kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) kepada media di perkarangan kediaman rasminya di Rumah Yayasan Sabah pada Isnin tetapi enggan mengulas lanjut mengenai pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.