Ketua Polis Negara Luah Kebimbangan Mengenai Cabaran Keselamatan Awam Negara

Muzliza Mustafa
2019.08.30
Kuala Lumpur, Malaysia
190830-MY-Hambali-IGP-1000.jpeg Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memperkatakan tentang pelbagai isu yang dihadapinya sejak menerajui pasukan polis dengan kekuatan 130,000 pegawai dan anggota, semasa beliau ditemu bual di Kuala Lumpur, 30 Ogos, 2019.
[Ihsan Pejabat Ketua Polis Negara]

Abdul Hamid Bador, 61, yang merupakan anak lelaki kepada konstabel polis, baru-baru ini menyandang jawatan sebagai ketua polis negara dengan menerajui kepimpinan sebuah pasukan peringkat persekutuan yang terdiri daripada 130,000 pegawai dan anggota.

Beliau memutuskan untuk bersara awal empat tahun lalu selepas kerajaan Perdana Menteri Najib Razak mengarahkannya ditukarkan setelah beliau lantang bersuara mengenai skandal berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah dana negara yang diasaskan oleh Najib pada 2009.

Abdul Hamid kemudian dikembalikan ke Polis DiRaja Malaysia sebagai timbalan ketua polis negara oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad tidak lama selepas gabungan Pakatan Harapan berjaya menumpaskan kerajaan Najib pada pilihan raya umum Mei 2018. Setahun kemudian, beliau menggantikan Mohamad Fuzi Harun sebagai ketua polis negara di bawah kontrak selama dua tahun walaupun telah melepasi umur persaraan wajib iaitu 60 tahun.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara itu duduk untuk ditemu bual oleh BeritaBenar, di mana beliau memperkatakan tentang kebimbangan terdiri daripada ketegangan kaum yang dikaitkan dengan media sosial, usaha anti-keganasan, keselamatan sempadan, dan pejuang Malaysia yang menyertai militan Negara Islam bersama keluarga mereka di Syria dan Iraq.

Beliau juga menjawab soalan mengenai hubungan Malaysia-Indonesia termasuk pengebom berani mati yang menyerang sebuah gereja di selatan Filipina pada Januari, siasatan dalaman polis, dakwaan kehilangan paksaan paderi Koh dan aktivis Syiah Muslim, dan penceramah kontroversi Zakir Naik yang sedang disiasat atas kenyataan yang boleh mengancam keanaman negara.

Berikut adalah petikan temu bual berkenaan:

Kebimbangan keselamatan dan ketegangan kaum

BeritaBenar (BN): Apakah kebimbangan keselamatan utama Malaysia?

Abdul Hamid Bador (AHB): Peningkatan kes-kes yang melibatkan perdebatan awam dan komen-komen yang dibuat dalam media sosial yang telah mengundang reaksi negatif yang tidak sepatutnya daripada satu kaum kepada kaum yang lain... Seperti yang saya katakan, saya tidak akan memberi amaran lagi kepada sesiapa pun. Pasukan khas akan meneliti semua media sosial dan apabila mereka mengesan apa-apa yang kurang sesuai dengan perlakuan, mereka akan segera membuat laporan polis. [Polis] akan cuba mengenal pasti pelakunya dan kami akan mengambil tindakan yang perlu.

BN: Berapa banyak laporan yang telah dibuat berkaitan dengan kebimbangan ini?

AHB: Kira-kira 1,053. Paling banyak adalah berkisar kepada Zakir Naik.

BN: Apakah status kes Zakir Naik?

AHB: Kertas siasatan telah dihantar kepada peguam negara tetapi beliau telah memberikan beberapa arahan, jadi, kami masih mengendalikan kes itu.

BN: Adakah ini bermakna orang awam tidak boleh menyuarakan pendapat mereka di media sosial?

AHB: Tidak. Saya sememangnya orang yang menggalakkan dan menegakkan prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat... Selagi perdebatan secara sihat itu dilakukan mengikut batasan perlembagaan, itu OK.

Ancaman keganasan

BN: Adakah anda melihat perubahan dalam ancaman keganasan?

AHB: Apa sahaja insiden yang berlaku di luar negara, kami cuba untuk mengambil iktibar daripadanya supaya kami dapat menghalangnya daripada berlaku dalam negara kita. Perkara yang berlaku di Indonesia dan Filipina sentiasa menarik perhatian kami supaya kita dapat belajar daripada mereka. Juga, kami sedang bersedia untuk menerima kepulangan rakyat dari Syria.

BN: Bagi mereka yang pulang itu, ada yang berpendapat bahawa kita tidak perlu membawa mereka pulang. Apakah ulasan anda?

AHB: ... Kerana mereka adalah rakyat Malaysia, kami perlu membawa mereka pulang untuk mendapatkan pengadilan di sini. Kami tidak boleh mengabaikan mereka kerana jika tidak, kami akan dikritik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.... Jika mereka yang pulang itu adalah pejuang yang masih aktif, kami akan mengambil tindakan mengikut undang-undang semasa dengan menahan mereka.

BN: Indonesia dan Filipina telah melihat pengebom bunuh diri wanita. Adakah anda bimbang bahawa sesetengah wanita yang telah berada di Syria dan dijangka kembali dan telah berjanji setia kepada Negara Islam atau kumpulan tempatan?

ABH: Ketika kami menerima mereka kembali dari Iraq dan Syria, rakan-rakan kami di Turki dan Qatar akan memberi kami maklumat risikan mereka tentang sejauh mana penglibatan mereka dengan IS. Jika mereka pergi ke sana hanya sebagai suri rumah, mereka akan dikenakan sesuatu yang serupa dengan penahanan pentadbiran.

Malaysia bernasib baik dalam aspek ancaman keganasan berbanding negara-negara jiran kita. Indonesia terlalu besar, terlalu berporos dengan ribuan pulau. Berbanding dengan Indonesia, kita mempunyai kawasan yang lebih kecil dan dengan usaha sewajarnya serta kegigihan, unit anti keganasan kami dapat mencegah kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Saya tidak menyatakan yang cawangan khas kami sangat cekap, cuma kami bernasib baik. Pada masa yang sama, kami menggandakan usaha untuk meningkatkan lagi keselamatan di Malaysia.

Sempadan

BN: Apakah kebimbangan keselamatan/sempadan anda?

AHB: Satu perkara yang kami fokuskan ialah pencerobohan nelayan/bot Vietnam dalam perairan kita di sepanjang Pantai Timur Laut China Selatan. ... Jadi dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA), jabatan perikanan dan polis marin, kami menggandakan usaha dan kami berjaya melakukan banyak tangkapan dan rampasan yang melibatkan bot Vietnam.
... MMEA, bersama-sama dengan polis marin telah memperkukuhkan kehadiran mereka di perairan Sabah. Usaha untuk mengesan petunjuk tentang kumpulan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan di sepanjang Pantai Timur Sabah diteruskan dan telah menghasilkan banyak kejayaan dan penangkapan. Mereka yang ditangkap akan didakwa dan mereka yang tidak memiliki dokumen sah akan dihantar pulang ke Filipina.
... Sebelum kami mempunyai struktur tetap, kami menumpukan perhatian kepada mobiliti dan keupayaan untuk menghalang laluan melarikan diri, untuk berbincang dengan penculik semasa mereka cuba melarikan diri... Kami mempunyai berpuluh-puluh pusat pemeriksaan sepanjang pantai. Di setiap pusat pemeriksaan, terdapat kira-kira 30 orang anggota keselamatan yang ditugaskan.

BN: Apa pendapat anda tentang Sabah menjadi pusat transit bagi pengganas asing dan apakah langkah-langkah yang diambil sejak insiden pengeboman bunuh diri di gereja Jolo?

AHB: Tidak banyak yang kami boleh lakukan selain meningkatkan liputan risikan kami serta dengan bantuan risikan Indonesia. Itulah sebabnya kami mendapati mekanisme komunikasi tiga hala antara Malaysia, Indonesia dan Filipina adalah sangat penting.

Kehilangan paksa

BN: Apakah pendapat anda tentang kehilangan paksa dan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan) yang mengeluarkan hasil dapatannya sendiri?

AHB: Kami mengalu-alukan penyiasatan pasukan khas (Suhakam) dan saya akan membantu mereka. ... Mereka berjumpa saya bulan lepas dan saya berjanji untuk sedia membantu.

Suhakam boleh menyatakan apa-apa, tetapi daripada membuat pengumuman awam mereka sepatutnya  menyerahkan laporan itu kepada kerajaan. ... Pada pendapat saya, sebagai KPN baru, saya ingin yakin dan percaya bahawa penculikan itu bukannya dilakukan oleh pihak polis.

BN: Apakah ada siasatan dalaman?

AHB: Sudah ada siasatan tetapi kami menangguhkannya buat masa ini bagi membolehkan siasatan (Suruhanjaya Diraja yang mempunyai enam anggota) dimulakan. Ini bukanlah bermakna kami menutup kes tersebut kerana jika ada bukti baru, kami akan menyiasat.

Iklim politik

BN: Adakah iklim politik semasa semakin teruk?

AHB: Tidak. Saya rasa bulan kemerdekaan (Ogos) telah mengurangkan sedikit ketegangan di mana patriotisme yang dikongsi oleh rakyat Malaysia telah banyak membanjiri media sosial dan malahan, media arus perdana juga memainkan isu-isu patriotik.

BN: Anda memberi amaran kepada kerajaan terdahulu mengenai potensi berlakunya rasuah yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad, apakah reaksi anda melihat perbicaraan bekas Perdana Menteri Najib Razak?

AHB: Saya merasa lega kerana kes itu akhirnya dibawa ke mahkamah. Saya selalu kata yang saya mengesyaki ada yang tidak kena dengan 1MDB dan saya menerima maklumat mengenai rompakan dan kecurian. Apa yang saya katakan telah pun disahkan oleh keputusan untuk mengemukakan pertuduhan.

BN: Bagaimana anda menangani tuduhan rasuah dalam kalangan pasukan polis?

AHB: ... Pasukan dalaman kami daripada Jabatan Pematuhan Integriti dan Piawaian semakin aktif  menjalankan pemeriksaan untuk menentukan sama ada anggota pasukan terlibat dalam perjudian, penyalahgunaan dadah dan rasuah. Ratusan orang telah ditangkap.

Kini, kami meminta kerajaan memberi lebih ramai tenaga kerja. ... Saya meminta 1,000 kakitangan tambahan untuk memeriksa 131,000 anggota dan pegawai yang ada.

Pandangan masa depan Abdul Hamid

BN: Berapa lamakah anda rasa anda akan berkhidmat sebagai IGP?

AHB: Saya tidak sabar untuk melepaskan (jawatan) secepat mungkin. Sejujurnya, saya tidak mahu lama. Apa yang kerajaan berikan kepada saya, dua tahun itu adalah lebih daripada cukup ... jika boleh saya mahu mulakan sekarang. Apabila saya dapati ia adalah masa yang tepat untuk saya lepaskan jawatan walaupun sebelum berakhirnya kontrak, saya akan lepaskan.

Saya tidak minta jawatan ini. Walaupun orang kata saya akan menjadi KPN, saya jawab tidak mungkin. Tetapi, semasa Perdana Menteri Mahathir Mohamad bertanya, saya tidak boleh berkata tidak.

... Pada masa ini, ketika semua orang meminta supaya pasukan polis menjadi lebih baik dan bersih, kementerian bersih, kerajaan bersih, sudah tentu saya merasakan bahawa adalah menjadai kewajipan saya untuk memastikan semua ini dilaksanakan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.