Malaysia Lancar Dua Pelan Pilihan Kepada Pendatang Tanpa Izin

Hadi Azmi & Noah Lee
2020.11.12
Kuala Lumpur, Malaysia
201112-MY-Hamzah1000.jpg Beberapa pekerja syarikat pembinaan yang berasal daripada Bangladesh sedang menikmati makan bersama dalam sebuah kontena yang ditukar menjadi penepatan kongsi yang terletak di Keramat, Kuala Lumpur, 30 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Bermula Isnin depan Malaysia akan memberi kebenaran kepada pendatang tanpa izin yang terkandas di dalam negara itu untuk memilih samada mahu bekerja secara sah atau pulang ke negara asal mereka, melalui pelan baru yang diluluskan kabinet bulan lalu bertujuan mengisi kelompongan tenaga kerja asing ekoran situasi pandemik COVID-19.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada Khamis berkata pendatang asing tanpa izin yang dibenarkan menyertai pelan itu hanyalah daripada 15 buah negara dan tertakluk kepada empat sektor pekerjaan 3D iaitu 'dangerous', 'difficult' dan 'dirty' (berbahaya, susah dan kotor) dengan keutamaan diberikan dalam industri pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian.

"Kerajaan pada 21 Oktober telah bersetuju dengan cadangan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang merangkumi dua komponen utama program khas iaitu – Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja," kata Hamzah kepada media negara itu selepas menghadiri taklimat berkenaan pelan tersebut di Putrajaya.

Menteri itu juga berkata pilihan tersebut bukan sahaja terbuka kepada PATI yang diambil bekerja secara haram di luar sana tetapi juga mereka yang sudah ditangkap dan ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen seluruh negara dengan pelan itu akan bermula pada 16 November sehingga 30 Jun, 2021.

"Yang penting bagi saya kita berikan ruang sehingga bulan Jun. Selepas itu tidak ada lagi rekalibrasi. Kita juga nak pastikan bahawa mereka yang di dalam depot juga dibenarkan untuk bekerja sekiranya layak. Dalam depoh-depoh tahanan kita pun ada 20,000 mereka yang telahpun kita tahan.

"Jadi kita nak pasti kalau ada orang kata nak pekerja 200 orang mereka boleh bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja dan juga Jabatan Imigresen untuk melawat depoh-depoh yang tertentu dan pilihlah di kalangan mereka itu untuk bekerja semula. Ini kalau kesalahan-kesalahan yang boleh kita benarkan layak untuk bekerja semula. Bukan semua orang dalam depoh itu boleh bekerja semula. Ada yang setengah itu mesti kita hantar pulang balik ke negara asal,” katanya.

Menurut Hamzah, 15 negara yang disenaraikan itu adalah Thailand, Kemboja, Nepal, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan, India dan Indonesia.

Menurut sumber di Jabatan Tenaga Kerja, proses permohonan hendaklah dibuat oleh majikan kerana ianya bersifat ‘sponsorship’.

"Secara umumnya majikan kena iklankan di My Future Jobs selama satu bulan dulu mulai sekarang. Disusuli naziran oleh jawatankuasa kerja akan buat pengesyoran. Kemudian majikan jalani interview di KDN (Kementerian Dalam Negeri) seperti permohonan baru pekerja asing. Lepas dapat kuota dari KDN, majikan perlu ke JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) untuk saringan jika PATI tersebut boleh diputihkan dan diberi kebenaran bekerja atau perlu pulang. Segala bayaran berkaitan akan dibuat di Imigresen,” menurut sumber tersebut yang dirahsiakan identiti kerana tidak mempunyai kebenaran bercakap dengan media.

Menurut sumber itu, pendatang asing yang berjaya menyertai program rekalibrasi akan diberikan pas pekerja yang perlu diperbaharui setiap tahun dengan segala kos bagi memperbaharui pas ini juga perlu ditanggung oleh majikan.

Dalam pada itu Hamzah juga berkata, kerajaan dijangka akan memperolehi kutipan hasil sebanyak RM90 juta daripada kompaun serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan terhadap pendatang tanpa izin dan majikan.

“Dalam landskap ekonomi yang tidak menentu akibat penularan pandemik COVID-19, kerajaan telah membuat timbang tara yang strategik terhadap pelan ini dengan menilai kesan positif serta kesan negatif perlaksanannya termasuk akibat impak buruk COVID-19.

“Pertimbangan turut diberikan dari aspek keperluan untuk mengumpulkan data taburan serta demografi pendatang tanpa izin di Malaysia bagi tujuan penguatkuasaan dengan pendataan pendatang boleh diselaraskan melalui maklumat yang dikemukakan oleh mereka dan majian semasa pendaftaran kedua-dua pelan di Jabatan Imigresen,” katanya.

Sementara itu, KDN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi memantau pembayaran gaji kepada pekerja-pekerja asing di bawah pelan itu bagi memastikan bahawa mereka kekal di bawah majikan yang sama.

Hamzah memberitahu pemberita bahawa pemantauan itu akan dilaksanakan melalui sistem 'e-wages' bagi memastikan keselarasan data di antara dua kementerian berkenaan. Ia juga boleh memastikan pengambilan pekerja asing adalah mengikut ratio dibenarkan KSM, agar peluang pekerjaan untuk warga tempatan terus terjamin.

Bank Dunia menganggarkan di antara 1.23 juta hingga 1.46 juta Pendatangan Tanpa Izin telah bekerja di Malaysia pada 2017, tetapi tidak memperincikan statistik itu mengikut sektor.

Henti operasi tahan pendatang

Sementara itu, pada Khamis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas pendatang asing bagi mengelakkan isu kesesakan di dalam pusat-pusat tahanan di seluruh negara.

Di dalam satu kenyataan, ia menyatakan bahawa terdapat pendatang asing tanpa dokumen sah yang kini masih berada di dalam penjara atas kesalahan imigresen walaupun telah menghabiskan tempoh hukuman mereka.

"Satu lagi kumpulan yang menyumbang kepada kesesakan adalah banduan dagang iaitu mereka yang ditahan bagi kesalahan imigresen. Sehingga 19 Oktober 2020, terdapat seramai 2,054 banduan dagang yang telah selesai menjalani hukuman tetapi masih berada di penjara.

"Mereka ini seharusnya dipindahkan ke depoh imigresen dan menjalani proses pengusiran oleh pihak Jabatan Imigresen. Oleh kerana depoh imigeresen mengalami kesesakan, mereka masih berada di Penjara sekaligus memburukkan masalah kesesakan di penjara dan melewatkan proses pengusiran," kata Suhakam.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph dalam sidang media secara maya pada Khamis turut melontarkan cadangan supaya Jabatan Imigresen mengambil langkah alternatif dalam mengatasi masalah kesesakan di depot, antaranya melalui proses pemutihan atau pengampunan.

"Kita juga mengesyorkan supaya jabatan berkenaan menyerahkan tahanan warga asing terutamanya pemohon suaka dan pelarian kepada (UNHCR) Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian, tidak kira samada mereka sudah berdaftar dengan badan berkenaan atau tidak," kata Joseph.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Anonymous
Nov 21, 2020 02:41 PM

Gimana kalau WNI Tiada dokumen dan tiada majikan
Apakah boleh menyerah diri

Muslihan
Dec 13, 2020 05:07 AM

Bagi warga asing yang tidak ada pasport macam mana prosesnya

Muhammad riduwan
Oct 18, 2021 03:50 AM

Bagi warga asing Indonesia Yang passport telah bredlis ingin