Indonesia Tahan Dalang Utama Kumpulan Perompak MT Orkim Harmony

Hata Wahari
2015.08.31
150831-MY-HARMONY620 Seorang anggota polis marin menghadap ke laut dari dek bot peronda semasa rondaan rutin di Selat Melaka. 3 Julai 2003
AFP

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) pada Isnin mengesahkan kejayaan Tentera Laut Indonesia menahan dalang utama perampas kapal tangki milik Malaysia MT Orkim Harmony di Jakarta Barat pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Ahmad Puzi Ab. Kahar, hasil pertukaran maklumat di antara APMM dan TLI sejak Jun lepas,* telah membawa kepada kejayaan memberkas dalang utama di Jakarta Barat.

Pada 11 Jun lepas, kapal tangki kepunyaan Magna Meridian Sdn Bhd, yang membawa muatan 6,000 tan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta ($5.6 juta) milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilaporkan hilang selepas gagal dikesan.

Kapal tangki yang sedang belayar dari Melaka ke Kuantan itu, dikesan kali terakhir pada kedudukan 31.5km (17 batu nautika) dari Pulau Aur di antara Mersing dan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Kapal itu membawa seramai 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 warga Malaysia termasuk kaptennya, Nor Fazly Sahat, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Namun, selepas tujuh hari dilarikan lanun, kapal berkenaan berjaya dikesan oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia di Teluk Siam berhampiran perairan Vietnam.

Perampas kapal itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, di selatan Vietnam semasa cuba melarikan diri daripada pemburuan pada 6.30 pagi pada 19 Jun lalu.

‘’APMM mendapatkan maklumat daripada TLI mengenai penahanan dalang itu yang dikenali sebagai Albert Yohanes dan akan menghantar satu pasukan penyiasat untuk mendapatkan lebih banyak bukti dalam menyelesaikan kes tersebut,’’ katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Isnin.

TLI menahan Albert melalui Pasukan Atur Gerak Cepat Armada Barat (WFQR) I, pada Khamis lepas kata jurucakap pasukan itu Kolonel M. Zainudin.

Katanya, suspek ditahan di sebuah pangsapuri di Grogol Petamburan, Jakarta Barat dalam operasi selama lebih sebulan dan lelaki berkenaan akan diserahkan kepada polis, sebaik saja soal-siasat oleh TLI selesai.

Ahmad Puzi memberitahu, APMM memutuskan untuk memohon mengektradisi dalang tersebut ke Malaysia untuk dibicarakan bersama-sama dengan lanun yang ditahan di Vietnam apabila mendapat maklumat lengkap dan setelah kertas siasatan lengkap.

Berkaitan dengan proses mengektradisi lanun-lanun yang ditahan di Vietnam, beliau memberitahu bahawa APMM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AG) dan Kementerian Luar untuk memulakan proses ektradisi.

‘’Proses ektradisi telah dilakukan oleh AG dan Kementerian Luar. Oleh itu biarkan kedua-dua agensi itu menjalankan tugas mereka kerana ada banyak proses yang perlu dilaksanakan dalam mengektradisi penjenayah.

‘’Ia memerlukan masa dan kita juga perlu menghormati undang-undang Vietnam, tetapi saya percaya proses ini dapat diselesaikan dalam waktu terdekat memandangkan Vietnam telah memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dalam perkara berkenaan,’’ katanya kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.