Pengundi Muda Luah Perasaan Tidak Puas Hati di Laman Media Sosial

Hadi Azmi
2018.04.10
Kuala Lumpur
180410-my-twitter-election620.jpg Seorang lelaki memegang telefon pintar dengan ikon aplikasi rangkaian media sosial Facebook, Instagram dan Twitter yang boleh dilihat diatas skrin telefonnya, 23 Mac, 2018.
AFP

Pengundi golongan muda mengkritik dan meluahkan perasaan tidak puas hati melalui laman sosial terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] untuk menetapkan hari mengundi bagi Malaysia pada hari Rabu, 9 Mei.

Pengerusi SPR, Mohd Hashim Abdullah, turut menetapkan hari Sabtu, 28 April sebagai tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Peguam dan juga aktivis sosial Syahredzan Johan, yang menggunakan nama Twitter @syahredzan memuat naik status “Tidak ada walau satupun justifikasi untuk meletakkan hari membuang undi pada hari Rabu. Ini tidak masuk akal, tidak munasabah dan tidak rasional,”

Beliau turut mendakwa tindakan SPR hanya mempunyai satu sebab untuk memilih hari bekerja sebagai hari membuang undi, iaitu bagi memastikan peratusan mereka yang keluar mengundi di tahap rendah.

Tiga pilihan raya sebelum ini berlangsung pada hari minggu, dengan kali terakhir pilihan raya jatuh pada hari Rabu ialah semasa Pilihan Raya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1959.

Di sebalik kritikan terhadap keputusan SPR itu, beberapa orang netizen memuat naik status yang mengatakan bahawa tindakan suruhanjaya itu sekaligus membuatkan mereka lebih ingin pulang untuk membuang mengundi.

Pemilik akaun Twitter @Keith Rozario yang bekerja di Singapura berkata beliau pada asalnya tidak bercadang untuk mengundi tetapi keputusan SPR itu membuat beliau ingin pulang ke Malaysia lebih awal untuk mengundi.

“Saya akan membelanjakan SGD$300(RM886) untuk beli tiket pulang ke Klang dan pangkah sesiapa sahaja yang Pakatan Harapan letak di sana,” katanya di akaun Twitter beliau.

“Mengundi ialah hak rakyat dan sengaja meletakkannya pada hari Rabu tanpa sebab yang munasabah menafikan hak ramai pihak.”

Menurut statistik Bank Dunia, terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan 100,000 lagi yang berasal dari Sabah & Sarawak, bekerja di Semenanjung dengan masih mengundi di tempat asal mereka.

‘Hashtag’

‘Hashtag’ #PulangMengundi telah mula tersebar melalui Twitter sejurus pengumuman itu dibuat, terutama oleh mereka yang tidak puas hati dengan tarikh pengundian tersebut dalam usaha mencari pengundi dari daerah mengundi yang sama untuk sama-sama pulang mengundi.

Hashtag yang dimulakan oleh pengguna Twitter popular Malaysia, @klubbkiddkl itu bertujuan membantu rakyat Malaysia untuk pulang mengundi.

“Kami adalah ‘Twitterjaya’ dan kami percaya setiap rakyat Malaysia ada hak dan kebebasan untuk mengudi yang tidak boleh dinafikan.” katanya.

Selain berkongsi kenderaan ada netizen yang mengumumkan kesudian memberi bantuan kewangan bagi mereka yang ingin pulang mengundi.

“Saya menyediakan bantuan kewangan untuk #PulangMengundi,” tulis @Mark Zoomy di akaun Twitternya.

“Hubungi saya berkenaan dengan jadual perjalanan anda. Keutamaan bagi pelajar dan mereka dari Malaysia barat.”

Aktivis sosial dan anak kepada Mahathir Mohamad, Marina Mahathir juga turut menggesa rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya amat teruja dengan #PulangMengundi,” katanya melalui akaun Twitter beliau @netrakl.

“Rakyat Malaysia memang sangat bermurah hati.”

Pada masa yang sama, badan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH 2.0 mengecam pengumuman SPR menetapkan hari mengundi pada Rabu, 9 Mei.

"BERSIH mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman SPR mengenai tarikh penamaan calon dan hari pengundian bagi PRU14, pada Selasa" kata gabungan itu dalam satu kenyataan yang dikeluar sejurus tarikh itu diumumkan oleh SPR.

"Mereka yang 'balik kampung' untuk mengundi akan jadi lebih sukar, terutama yang perlu kembali ke Sabah atau Sarawak dari semenanjung dan sebaliknya.”

Sementara itu, beberapa syarikat penerbangan di Malaysia, seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan FireFly telah menawarkan pengecualian daripada membayar caj penukaran tiket penerbangan bagi tempahan yang dikeluarkan di Malaysia, yang jatuh pada hari pengundian bagi memudahkan perjalanan pulang.

Penerbangan Malaysia mengumumkan bahawa syarikat itu akan mengetepikan caj  perubahan penerbangan bagi mereka yang menempah penerbangan untuk mengundi pada 9 Mei. Pengecualian boleh digunakan untuk semua tiket bagi perjalanan antara 8 dan 10 Mei, tetapi mestilah yang ditempah dalam masa 10 hari daripada tarikh pengumuman PRU14, syarikat penerbangan itu mengumumkan.

AirAsia pula memaklumkan yang tawaran oleh syarikat penerbangan itu hanya sah bagi warganegara Malaysia sahaja dan mesti dibuat dalam masa 10 hari daripada pengumuman tarikh mengundi oleh SPR.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.