Siasatan Kes Hina Agong: Aktivis Hishamuddin Rais Dipanggil Untuk Soal Siasat

Ali Nufael
2018.08.15
Kuala Lumpur, Malaysia
180815-my-hishamuddin620.jpg Aktivis Hishamudin Rais semasa menemui media selepas dipanggil untuk siasatan kes hina Agong di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, 15 Ogos, 2018.
[Ali Nufael/BeritaBenar]

Aktivis yang dahulunya kuat mengkritik kerajaan lama Barisan Nasional dipanggil buat kali kedua bagi membantu siasatan kes polis ke atasnya pada Rabu berhubung satu artikel yang dimuatnaik ke dalam blog yang didakwa menghina Yang Di-Pertuan Agong sebelum ini.

Aktivis itu yang juga penyokong kuat kerajaan baru Pakatan Harapan, Hishamuddin Rais dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan iaitu salah satu akta yang kerajaan baru berjanji untuk mansuhkan setelah menang dalam Pilihan Raya pada Mei lepas.

Beliau menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa bahawa akaun blognya telah digodam.

Hishamuddin hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada awal Rabu untuk disoal siasat selama 2 jam. Sebelum ini pada Jun lepas, beliau telah menghadirkan diri di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya atas siasatan kes yang sama.

Bercakap kepada pemberita, Hishamuddin meluahkan rasa kecewanya kerana kegagalan Pakatan Harapan untuk mengotakan janji yang terkandung di dalam manifesto piliharaya.

"Saya amat kecewa kerana saya masih disiasat di bawah Akta Hasutan. Akta ini sepatutnya sudah dimansuhkan oleh kerajaan baru."

"Namun setelah 100 hari memerintah, akta ini masih diguna pakai. Janji kerajaan baru untuk memansuhkan akta ini belum ditepati," kata Hishamuddin selepas disoal siasat.

Bekas pemimpin pelajar tahun 70-an itu menambah bahawa beliau sedia turun padang untuk menuntut kerajaan baru memansuhkan akta tersebut dengan kadar segera.

"Saya sedia turun (padang) bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang akta ini," tegas beliau.

Hishamuddin berkata bahawa siasatan hari ini adalah siasatan yang sama dilakukan oleh pihak polis bagi mengenal pasti siapakah yang memuat naik artikel yang menghina Agong.

"Kes pada hari ini adalah sambungan kepada kes Jun lalu. Saya disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi. Polis masih mengambil keterangan daripada saya."

"Pada Jun lalu saya memberitahu pihak polis bahawa saya tidak memuat naik kenyataan menghina Agong dan laman blog saya telah digodam," kata beliau.

Kes disiasat dibawah akta Hasutan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Akta Hasutan

Sebelum ini, Zaid Malek peguam yang mewakili Hishamuddin berkata, mereka sudah membuat satu laporan polis berhubung perkara yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor.

Hishamuddin melalui blognya www.tukartiub.blogspot.com dilaporkan melemparkan pelbagai kata-kata kesat dan tuduhan melampau terhadap Seri Paduka Baginda termasuk mendakwa Agong terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Hishamuddin bukanlah orang pertama yang disiasat di bawah Akta Hasutan atas kesalahan menghina Agong, bulan lalu peguam Fadiah Nadwa Fikri disiasat polis kerana didakwa mempersoalkan sistem beraja di negara ini.

Peguam hak asasi manusia itu berkata polis menyoal kira-kira 20 soalan kepadanya susulan artikel bertajuk 'Jangan Engkau Cium Tangan yang Memukulmu' yang ditulisnya pada Julai dan dipetik oleh sebuah portal berita.

Artikel Fadiah Nadwa itu didakwa mempertikaikan kewujudan sistem beraja di Malaysia yang pada pendapatnya sudah ketinggalan zaman dan tidak boleh lagi diterima atau dipertahankan.

Fadiah memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad tidak berminat untuk menghapuskan akta itu serta bertindak untuk memastikan bahawa akta tersebut tidak lagi diguna pakai.

"Kerajaan baru sememangnya tidak berminat. Tiada minat langsung kerana tidak ada tindakan. Mereka tentu boleh mengarahkan pihak polis supaya tidak menggunakan akta Hasutan tetapi mereka tidak mengarahkan polis melakukan tindakan sedemikian."

"Taktik yang sama digunakan oleh PH untuk menanam rasa takut di kalangan rakyat," tegas Fadiah.

Sebelum Fadiah, wartawan veteran A.Kadir Jasin turut disiasat pihak polis selepas tiga laporan polis dibuat terhadap tokoh itu, berhubung artikel tulisannya yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, berkata siasatan dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan dibuka selepas polis menerima tiga laporan di Selangor, Kelantan dan Lembah Klang," kata Fuzi.

Dalam blog itu, Kadir mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Pada Mac lalu, seorang suri rumah dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Baru Kelantan, atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, April tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamsiah Samsuddin, 44, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa melalui Facebook Tengku Cik Puan Muda Shamsiah, menghantar komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada jam 5.31 petang 25 April 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Februari lalu pula, seorang doktor pelatih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Klang atas pertuduhan membuat dan menghantar komen-komen kesat melalui akaun laman sosial Facebook miliknya membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Tertuduh, Mohd Faiz Mohd Yusop, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menghantar komunikasi yang bersifat kesat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain mulai 16 Disember 2016 pada kira-kira jam 6 petang.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pakatan Harapan dalam manifesto piliharaya sebelum ini berjanji akan membubarkan beberapa akta termasuk Akta Tidak Benar dan juga Akta Hasutan yang dianggap menyekat kebebasan bersuara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.