Enam Maut Dalam Kebakaran Di Unit Rawatan Rapi Hospital
2016.10.25
Kuala Lumpur
Satu kebakaran berlaku di tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, pada Selasa yang menyebabkan kematian enam pesakit dan kecederaan beberapa pesakit serta kakitangan hospital.
Kebakaran di hospital itu dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 9 pagi Selasa di mana empat pesakit wanita dengan dua pesakit lelaki dari unit itu terbunuh, manakala seorang lagi yang terselamat telah dihantar ke unit kebakaran di Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam didalam satu kenyataan berkata kebakaran itu turut menyebabkan kecederaan sepuluh kakitangan unit berkenaan, dimana dua daripada mereka telah dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Beliau berkata punca kebakaran masih didalam siasatan dan semua agensi yang berkaitan telah memberikan kerjasama dalam memastikan situasi terkawal.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat beserta pihak berkuasa yang berkaitan telah mengambil tindakan yang perlu untuk mengawal api dan menyelamatkan pesakit, kakitangan yang terlibat dengan kejadian tersebut,”
“Kementerian Kesihatan (pula) telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi pesakit dan kakitangan, termasuklah memindahkan mereka untuk memastikan keselamatan mereka,” beliau berkata.
Hospital Sultanah Aminah, yang berusia hampir 80 tahun, merupakan institusi perubatan yang terawal dan moden setelah dibina pada tahun 1938.
Ini adalah kes kebakaran kedua melibatkan hospital di Malaysia bagi tahun ini, dengan yang terdahulu melibatkan kebakaran hampir 90 peratus di bilik kawalan kuasa di Hospital Pakar KPJ Damai, di Sabah, pada 11 Julai lepas yang menyebabkan seramai 28 pesakit dipindahkan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr. John Chew ketika dihubungi BeritaBenar menyampaikan rasa sedih dengan kejadian tersebut tetapi enggan mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan.
“Kami mempunyai rakan-rakan yang bekerja di ICU yang merupakan antara salah satu yang terbaik dan paling sibuk di negara. Kami merasa simpati dan ingin menyampaikan takziah kepada kesemua ahli keluarga mangsa,” katanya.
Najib arah tingkatkan tahap keselamatan
Perdana Menteri Najib Razak dalam menyampaikan ucapan takziah dan simpatinya kepada keluarga mangsa turut berkata tahap keselamatan akan dipertingkatkan bagi mengelak kejadian sedemikian berlaku lagi.
“Siasatan terperinci akan dilakukan oleh kerajaan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan agar kejadian serupa dapat dicegah,” beliau berkata didalam cacatan ringkas di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan kejadian kebakaran yang berlaku di hospital berkenaan mempunyai kaitan dengan keganasan.
"Setakat ini tiada sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan unsur keganasan. Jadi orang ramai jangan menyebarkan maklumat palsu," katanya seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor Othman Abdullah dalam laporan Bernama dipetik sebagai berkata, seramai 166 anggota bomba terlibat dalam misi memadamkan kebakaran tersebut yang menggunakan sepuluh jentera sebaik sahaja menerima panggilan pada kira-kira pukul 8.56 pagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor telah mengambil beberapa sampel daripada unit di hospital yang terbakar itu untuk dianalisa.
“Sampel itu akan dihantar ke makmal forensik secepat mungkin bagi mengetahui punca sebenar kebakaran yang meragut enam nyawa itu dan analisa sampel serta laporan siasatan hanya akan diketahui paling cepat dalam tempoh dua minggu,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasinya, Mohd Rizal Buang seperti dilaporkan agensi berita itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Sulaiman Salleh pula memberitahu bahawa sewaktu kejadian berlaku, terdapat 193 kakitangan sedang bertugas dengan 290 pesakit berada di bangunan tersebut.
"Siasatan awal tidak menunjukkan unsur jenayah. Walaubagaimanapun, kita masih meneruskan siasatan rapi dengan pihak bomba,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian tersebut.
Akhbar Berita Harian melaporkan yang Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin telah dititah oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya pesakit ICU di hospital terbabit yang terjejas dengan kebakaran berkenaan ditempatkan di Wad Diraja hospital yang sama.
“Tuanku membenarkan buat sementara penggunaan Wad Diraja bagi pesakit ICU, Sultan Johor amat mengambil berat dan meminta laporan penuh serta mahu supaya usaha baik pulih HSA dilakukan dengan segera,” Khaled dilaporkan berkata oleh akhbar berkenaan.
Kerajaan negeri Johor dilaporkan akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut akan menghulurkan bantuan sebanyak RM100,000.00 kepada waris mangsa.