Kenaikan caj hotel Malaysia bakal jejas sektor pelancongan domestik
2024.02.29
Kuala Lumpur
Persatuan hotel dan agensi pengembaraan di Malaysia menjangka sektor pelancongan domestik menyaksikan penurunan pada tahun ini susulan kenaikan Cukai Perkhidmatan (CP) berkuat kuasa 1 Mac, bukan sahaja meningkatkan kadar harga bilik hotel malah kos operasi yang akan dialihkan kepada pengguna.
Kerajaan melalui Belanjawan 2024, mengumumkan kenaikan CP dari 6 peratus kepada 8 peratus berkuat kuasa 1 Mac melibatkan sektor perkhidmatan yang dicukaikan kecuali sektor makanan dan minuman (F&B), telekomunikasi dan logistik dalam usaha untuk mengukuhkan fiskal negara.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan, Ganesh Michiel berkata kenaikan cukai perkhidmatan akan memberikan kesan domino seperti kos mendobi, pendingin hawa dan perkhidmatan lain yang mendorong kepada peningkatan kadar tempatan bilik hotel.
Pada masa ini sebanyak 3,000 hotel bernaung di bawah persatuan itu.
"Kenaikan cukai perkhidmatan akan membawa kepada perubahan caj penginapan di hotel kerana ada pelbagai peningkatan kos lain pada masa ini.
"Oleh itu, perubahan kepada kadar harga penginapan hotel perlu dilakukan untuk menampung pelbagai peningkatan kos, bukan dibuat sesuka hati. Apabila peningkatan cukai perkhidmatan dilaksanakan, kos pengusaha hotel akan meningkat," katanya kepada BenarNews.
Jelas Ganesh, buat masa ini pemain industri akan memantau kesan kenaikan cukai perkhidmatan terhadap kos operasi dan tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan harga bilik hotel untuk memastikan perniagaan dapat terus bertahan.
"Biasa kami kenakan caj bilik antara RM50 (AS$11) hingga RM100 (AS$22) satu malam.
“Walaupun hanya menaikkan caj sebanyak RM10 (AS$2), ia merupakan lonjakan 25 peratus dan jika RM25 (AS$5) menjadikan kenaikan 50 peratus. Memandangkan kadar hotel kami adalah rendah, ia (kenaikan) bukan sekadar faktor harga bilik sebaliknya kos operasi juga.
"Jika pengusaha hotel tidak menaikkan kos, perniagaan tiada untung. Jadi jalan penyelesaiannya adalah memindahkan lebihan kos kepada pelanggan dengan menyelaraskan perubahan harga bilik hotel," ujar Ganesh sambil menyatakan kadar caj hotel perlu dinaikkan bagi pelarasan gaji pekerja ekoran peningkatan kos sara hidup.
"Jika ekonomi pelancong domestik terjejas kerana kenaikan cukai perkhidmatan atau lain-lain faktor, ia secara tidak langsung akan menjejaskan perniagaan hotel dan industri pelancongan secara keseluruhannya,”
Kawal selia
Selain itu, beliau juga mahu kerajaan mengawal selia platform agen penginapan dalam talian yang mengaut komisen tinggi dan mempromosikan premis tidak berlesen di pangkalan atau sistem mereka.
"Disebabkan penginapan sewa jangka masa pendek (STRA) dan agensi pelancongan dalam talian (OTA) tidak berdaftar, perniagaan kami sudah sedia terjejas dan dengan kenaikan cukai perkhidmatan, kami menerima lebih banyak kesan jika pelancongan domestik menerima tempias," ujarnya .
Sebelum ini, laporan media tempatan menyebut, persatuan pelancongan menjangka kadar harga bilik hotel mengalami kenaikan antara 10 hingga 30 peratus akibat peningkatan kadar cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus mulai 1 Mac sekali gus memberikan kesan kepada sektor pelancongan domestik.
Perancangan menaikkan kadar caj penginapan adalah disebabkan beberapa faktor termasuk kos operasi yang tinggi dan inflasi yang mana ia akan menjadi lebih buruk dengan kenaikan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus, menurut mereka.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut bagi tempoh jangka pendek dijangka tidak berlaku kesan besar memandangkan kadar tukaran mata wang ringgit yang rendah dan dasar bebas visa bakal menarik kemasukan pelancong asing dari pasaran utama.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada September tahun lalu menyebut pelancongan domestik mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2022 apabila merekodkan jumlah perbelanjaan RM59.2 bilion (AS$12.4 bilion) berbanding RM17.5 bilion (AS$3.6 bilion) pada 2021.
Laporan itu berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan (TSA) di mana ia adalah rangka kerja statistik untuk mengukur pertumbuhan industri pelancongan dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata terdapat peningkatan ketara dalam tiga komponen utama dalam perbelanjaan pelancongan domestik pada 2022 iaitu membeli-belah (42.1 peratus), makanan dan minuman (16.4 peratus) dan bahan api untuk kenderaan (14.9 peratus).
Kurang melancong
Sementara itu, seorang penjawat awam, Za'onah Hamisan, 47, dari Perlis berkata peluangnya sekeluarga untuk singgah melancong ke kawasan menarik seperti Pulau Pinang dan Cameron Highlands, Pahang semasa dalam perjalanan pulang ke kampung di Johor mungkin berkurangan sekiranya kos penginapan meningkat susulan kenaikan kadar cukai perkhidmatan.
"Jika menginap di hotel biasanya kena ambil dua bilik sebab ada dua orang anak. Dengan kenaikan cukai perkhidmatan nampak gayanya kena kurangkan singgah berjalan sebab kos hotel dan selenggara kenderaan mungkin naik,” katanya kepada BenarNews.
Seorang jurutera Muhammad Shazwan, 35, pula berasa bimbang dengan kenaikan kos penyelenggaraan kenderaan susulan tugasnya yang perlu melawat tapak projek setiap minggu dan terpaksa berulang alik dari Selangor ke Johor.
"Perjalanan pergi balik kira-kira 666km. Saya terpaksa selenggara kereta dua bulan sekali berbanding tiga empat bulan sekali sebelum kena berulang alik ke Johor Bahru sejak kebelakangan ini.
“Biasanya selenggara kenderaan Perodua Aruz dalam RM300 (AS$63), selepas ini dengan kenaikan cukai perkhidmatan, mungkin akan naik caj selenggara," katanya yang mempunyai empat orang anak.
Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.