Laporan Human Rights Watch kritik Malaysia ‘dera’ tahanan di depot imigresen
2024.03.06
Kuala Lumpur
Malaysia perlu menyediakan alternatif berasaskan komuniti bagi 12,000 pelarian dan pencari suaka serta migran di depot tahanan imigresen yang terlalu sesak dan berkeadaan teruk di seluruh negara, kata Human Right Watch (HRW) dalam laporan yang dikeluarkan pada Rabu.
Migran menjalani penahanan berpanjangan, tanpa penyeliaan perundangan dan melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, demikian menurut laporan yang dikeluarkan sebulan selepas 130 pelarian lolos daripada depot tahanan di negeri Perak dengan seorang daripada mereka maut dirempuh kenderaan ketika melintas di lebuh raya.
"Pihak berkuasa Malaysia menganggap pendatang sebagai penjenayah, dengan sewenang-wenangnya menahan mereka untuk tempoh yang lama di pusat imigresen tanpa akses kepada dunia luar," kata Shayna Bauchner, penyelidik Asia di Human Rights Watch.
Malaysia mempunyai 20 pusat tahanan di seluruh negara yang diselia Jabatan Imigresen di mana mereka yang tidak mempunyai dokumen telah ditahan sebelum diekstradisi ke negara asal, kata laporan setebal 60 muka surat bertajuk “Kami Tidak Dapat Melihat Matahari", Malaysia - Penahanan Sewenang-Wenang Imigran dan Pelarian
“Malaysia perlu mempertimbang dengan serius untuk menerima pakai langkah yang telah digunakan oleh negara lain yang menguruskan objektif imigresen dengan lebih baik.
“Daripada mengekalkan pusat tahanan yang begitu menderakan, kerajaan harus membangunkan alternatif yang melindungi hak kanak-kanak, pelarian dan pendatang lain,” kata Shayna pada sidang media pelancaran laporan itu di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Kesemua 12,000 yang berada di pusat-pusat tahan tersebut terdiri daripada pelarian dan penduduk dari negara Asia Tenggara, seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, India dan Kemboja, menurut HRW.
Kiraan tidak rasmi meletakkan bilangan pendatang tanpa izin di Malaysia antara 1.2 juta dan 3.5 juta, lapor kumpulan pemerhati hak asasi yang berpangkalan di New York itu.
Terdapat lebih 180,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR). Lebih separuh adalah Rohingya dari Myanmar yang berlindung di Malaysia, dengan negara itu bukan penandatangan Konvensyen Pelarian PBB, kata HRW.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan dalam laporan HRW yang antaranya menjelaskan terdapat 19 depot dihuni 12,000 tahanan kesemuanya.
“Mengenai kesesakan, sila nyatakan secara terperinci (depot) yang mana? Semenyih? KLIA? Tuaran? Sila jelas untuk berlaku adil supaya kami boleh mendapatkan maklumat yang sah tentang situasi tersebut.
“Depot hanya sesak semasa pandemic Covid-19 kerana kami tidak boleh menghantar mereka pulang. Sekarang ada 19 depot dengan 13,000 tahanan, tidak sesak,” katanya kepada media di Kedah.
Bagi kanak-kanak pula, beliau berkata sebahagian daripada mereka sudah dikeluarkan dari depot tahanan utama dan ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak, Baitul Mahabbah.
Malaysia telah menubuhkan dua pusat perlindungan kanak-kanak di Negeri Sembilan dan Sabah manakala dua lagi dalam perancangan.
“Saya tahu dengan terperinci jumlah kanak-kanak di setiap depot. Sebahagian daripada mereka telah dikeluarkan dari tahanan dan ditempatkan di Baitul Mahabbah.
Bagaimanapun, Saifuddin tidak menjawab mengenai dakwaan seperti layanan tidak berperikemanusiaan dan penyeksaan terhadap tahanan.
Seorang wanita memegang buku laporan Human Rights Watch bertajuk “Kami Tidak Dapat Melihat Matahari", Malaysia - Penahanan Sewenang-Wenang Imigran dan Pelarian semasa majlis pelancarannya di Petaling Jaya, Selangor, 6 Mac 2024.[S. Mahfuz/BenarNews]
Penderaan gender
Laporan itu turut menceritakan pengalaman kesusahan bekas tahanan yang mendedahkan tentang penderaan berdasarkan jantina dalam tahanan.
Menurut laporan itu, sesetengah tahanan diberi sekeping tuala wanita sehari tetapi perlu menanggalkan dan menunjukkan produk sanitari terpakai mereka sebelum diberikan yang baharu.
“Kebanyakan wanita mengadu tidak disediakan produk sanitari. Ada yang terpaksa meminta tuala wanita daripada ahli keluarga yang datang melawat namun bagi mereka yang tiada pelawat terpaksa bergantung kepada tahanan lain atau menggunakan pakaian yang koyak,” kata HRW dalam laporannya.
Badan pemantau itu juga mendakwa bahawa wanita yang bersalin di depot Imigresen tidak diberikan penjagaan selepas bersalin atau dibekalkan lampin untuk bayi mereka.
Mangsa rogol juga dilaporkan telah ditangkap kerana kekurangan dokumentasi ketika cuba membuat laporan polis.
Tahanan lelaki turut dilaporkan dipukul, ditendang dan disebat dengan paip getah atau belantan, selain dihantar ke blok pengasingan, makan dihalang, dipaksa mencangkung dan tekan tubi.
Kekurangan air untuk minuman dan mandi juga sering dilaporkan oleh responden.
Laporan itu juga memetik tahanan berkata penyakit kudis berjangkit di salah satu pusat tahanan yang sesak dan mendakwa mereka tidak dirawat dan dinafikan untuk mendapatkan ubat.
“Sekiranya terdapat tahanan yang sakit, kami perlu melaporkan kepada pegawai dan kemudian pegawai itu akan memaklumkan kepada doktor.
“Tetapi apabila kami maklumkan pegawai bahawa terdapat tahanan jatuh sakit, mereka tidak peduli melainkan jika terdapat mangsa dalam keadaan kritikal," kata seorang pekerja asing yang dipetik dalam laporan itu.
Anwar gagal laksana janji reformasi
Laporan itu turut menyasarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana masih gagal menangani masalah pendatang asing dan pelarian walaupun mempunyai pendirian tegas dalam isu berkenaan sebelum ini.
Pada 2021, Anwar telah mengecam Menteri Dalam Negeri ketika itu, Hamzah Zainuddin kerana tidak membenarkan agensi PBB untuk pelarian memerhati depot tahanan Imigresen.
Pentadbiran Anwar juga digesa untuk meluluskan undang-undang dan menggubal dasar bagi menamatkan penahanan Imigresen dengan sewenang-wenang selain rancangan penghapusan depot tahanan.
Laporan tersebut juga menyarankan agar diwujudkan proses mengenal pasti identiti dan pelepasan yang lebih selamat.
"Kami kecewa kerana tidak ada apa yang berubah. [Kami juga] kecewa dengan kekurangan maklumat dan menjamin hak asasi manusia [dalam kalangan pelarian dan pendatang]," kata Shayna lagi.
Dalam pada itu, Jerald Joseph, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata depot bertujuan untuk menjadi tempat tahanan sementara namun ada dalam kalangan pendatang asing dan pelarian ditahan hingga melebihi tiga bulan.
“Kenapa ada orang Rohingya berada di depot tahanan selama lima hingga enam tahun?" soalnya.
Terdapat kekurangan sokongan dari segi undang-undang untuk golongan itu kerana bantuan guaman hanya disediakan untuk rakyat Malaysia, tambahnya.
“Jika seseorang berada di sana [pusat tahanan] tanpa kertas pertuduhan, itu adalah satu bentuk penyeksaan paling teruk, “ tambah Jerald lagi.
Laporan itu turut menggesa kerajaan mengalihkan pembelanjaan dan sumber daripada membiayai pusat tahanan Imigresen kepada alternatif berasaskan komuniti bagi tahanan serta diberikan akses kemudahan awam, perumahan, khidmat guaman, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Sebuah kenderaan Jabatan Imigresen Malaysia memasuki pusat tahanan jabatan itu, selepas lebih 130 pelarian melarikan diri, di Bidor, Perak, 2 Feb. 2024. [Mohd Rasfan/AFP]
Program memutihkan status
Laporan itu juga menggesa agar tahanan mempunyai saluran berkomunikasi dengan ahli keluarga dan pihak UNHCR selain melaksanakan program memutihkan status pekerja asing tanpa izin untuk menangani rasuah dan eksploitasi oleh majikan.
Faribel Fernandez, Penyelaras Pengurusan Pusat Komas, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia berkata, ketelusan diperlukan untuk memastikan pendatang dan pelarian dilayan dengan adil dan hak mereka dilindungi sambil memastikan pusat tahanan tidak terlalu padat.
Beliau berkata memberikan peluang kepada organisasi masyarakat sivil untuk terlibat sama merupakan kunci dalam memberikan perspektif lebih segar umtuk menangani isu tersebut.
Menyediakan peraturan yang jelas terhadap hak pekerjaan dan piawaian prosedur bagi pihak berkuasa Imigresen akan membantu mewujudkan sistem lebih adil dan berperikemanusiaan, ujarnya.
“Pihak kerajaan perlu mempamerkan kehendak politik dan terlibat dalam dialog pelbagai kementerian untuk menggubal pembaharuan secara berkesan dengan melihat model progresif daripada negara jiran seperti Thailand dalam bergerak bagi masa depan.”