Malaysia sedia teruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi, jika dibiayai swasta
2023.03.08
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia terbuka untuk menerima cadangan dari pihak swasta untuk menggerakkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, demikian menurut Menteri Pengangkutan pada Rabu.
Malaysia dan Singapura telah memeterai perjanjian projek yang dianggarkan bernilai RM110 bilion (AS$24.4 bilion) pada tahun 2016, di mana ia bakal mengurangkan waktu perjalanan antara Kuala Lumpur dan negeri berjiran itu kepada sekitar 90 minit berbanding 7 jam, namun ia telah dibatalkan pada Disember 2020.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pentadbiran Anwar Ibrahim berpendirian terbuka kepada cadangan menggerakkan semula projek berkenaan namun ianya harus berlaku tanpa melibatkan dana kerajaan.
“Kami tidak berhasrat menghentikannya. Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah memberi arahan yang kami sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan selagi ia membabitkan pelaburan swasta,” ujar Loke kepada media pada satu majlis di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kerajaan belum menerima sebarang cadangan khusus untuk menggerakkan semula projek tersebut namun sedia meneliti cadangan pembiayaan oleh pihak swasta.
“Setakat ini, kami belum menerima sebarang cadangan khusus. Yang pasti, banyak pihak bercakap mengenainya dan menyuarakan minat untuk meneruskannya. Tiada tempoh (ditetapkan), tiada tekanan untuk mencapai apa-apa kemajuan.
“Buat masa ini, kami terbuka kepada sebarang cadangan mekanisma pembiayaan dan model pelaksanaan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai perancangan kerajaan mengenai pembangunan infrastruktur, Loke berkata kerajaan memberi fokus menguruskan hutang negara secara progresif.
“Kita sedar bahawa hutang negara adalah tinggi, disebabkan itu pentadbiran ini sangat berhati-hati dalam menilai projek-projek baharu, komitmen baharu dan kita perlu pastikan setiap projek yang dilaksanakan mestilah berdaya maju dari sudut ekonomi dan memberi nilai kepada negara dan seterusnya membantu ke arah pembangunan negara,” jelasnya.
Kos pelaburan terlalu tinggi
Menurut para penganalis, walaupun projek HSR Malaysia-Singapura itu sangat diperlukan, kos pelaburan yang terlalu tinggi mungkin menjadi halangan kepada pihak swasta.
Law Teik Hua, ketua Pusat Kajian Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia berkata projek HSR adalah diperlukan bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya yang menghubungkan Johor dan Singapura.
“Jika kita menilai dari perspektif pengangkutan, pastinya memerlukan HSR kerana manfaat jangka panjang.
“Namun untuk jangka masa pendek, (kos pembangunan) HSR sangat mahal dan kebiasaannya kita tidak menjangka keuntungan yang besar dari perkhidmatan HSR memandangkan ia adalah kemudahan awam.
“Saya tidak menjangka kerajaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya buat masa ini. Ia memerlukan pelaburan yang sangat besar,” katanya kepada BenarNews.
Menurut beliau lagi, pilihan menyerahkan projek tersebut kepada pihak swasta pula tidak akan memberi kelebihan kepada Malaysia.
“Sekiranya ia dibangunkan oleh pihak swasta, rakyat Malaysia akan terbeban kerana mereka perlu membayar lebih untuk perkhidmatan itu, disebabkan ia dikuasai sepenuhnya oleh pihak swasta.
“Kita berada dalam situasi yang sukar. Sekiranya kerajaan membuka ruang kepada pihak swasta, ia tidak boleh dimiliki sepenuhnya oleh mereka tanpa ada pegangan oleh Malaysia dan hak bersuara.
Justeru, Law berkata kerajaan perlu menimbangkan model baharu jika berhasrat melaksanakan projek HSR dalam masa terdekat.
Rosli Azad Khan, seorang konsultan pengangkutan turut bersetuju bahawa kos pelaburan yang tinggi mungkin menjadi faktor halangan kepada pihak swasta.
“Kosnya akan menjadi sangat tinggi bagi pihak swasta dan tempoh pulangan pelaburan yang sangat lama, sekiranya ada.
“Malahan, projek itu juga berisiko memberi kesan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam tempoh panjang susulan penawaran lebih banyak penerbangan yang akan menjadi pilihan utama kepada orang ramai,” ujarnya kepada BenarNews.
Sementara itu, Shankaran Nambiar, ahli ekonomi dari Institut Kajian Ekonomi Malaysia berpandangan projek itu seharusnya dibiayai oleh pihak swasta.
“Dengan itu kerajaan tidak akan menanggung beban pembiayaan dan risiko. Malaysia akan meraih manfaat dari jaringan hubungan yang lebih baik dan juga aktiviti perniagaan yang akan wujud sepanjang jajaran HSR.
“Seperkara lagi yang tidak pasti adalah sekiranya pihak swasta berminat dengan projek ini dan setakat ini belum ada mana-mana syarikat telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan,” katanya kepada BenarNews.
Ujar Shankaran lagi, seperkara yang perlu dipertimbangkan adalah permintaan kepada perkhidmatan HSR.
“Masih tidak jelas sekiranya projek itu akan menarik minat yang tinggi dari sudut permintaan.
“Jangkaan tempoh perjalanan ada sejam 30 minit berbanding 3 jam jika menaiki bas. Kita mesti mengambil kira waktu daftar masuk dan sebagainya, jadi keseluruhan waktu perjalanan akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam,” jelasnya lagi.
Bayar pampasan kepada Singapura
Projek HSR sepanjang 350 kilometer itu telah dimeterai di bawah pentadbiran Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah dalam satu kes berkaitan 1MDB.
Menurut perjanjian dua-hala yang dimeterai pada Disember 2016, HSR yang menghubungkan Bandar Malaysia di kotaraya Kuala Lumpur dan Jurong East di Singapura melibatkan tujuh stesen.
Bagaimanapun, projek itu telah ditunda susulan peralihan kerajaan selepas pilihan raya umum pada Mei 2018, atas permintaan Malaysia.
Perdana menteri Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan Pakatan Harapan pada waktu itu berkata projek itu ditangguhkan kerana kos yang tinggi.
Pada September 2018, kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan projek itu selama dua tahun dan pada Mei 2020, Singapura bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk lanjutan penangguhan sehingga 31 Disember.
Pada 1 Jan 2021, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatnya dari Malaysia ketika itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan penamatan projek tersebut dalam satu kenyataan bersama.
Anwar yang ketika itu adalah ketua pembangkang di Dewan Rakyat, menyifatkan pembatalan projek HSR itu adalah satu kesilapan “dari sudut kedudukan ekonomi semasa dan manfaat masa hadapan”.
Beliau dilaporkan berkata projek itu mampu menarik kehadiran pelancong, perniagaan serta pelaburan langsung asing.
Susulan pembatalan itu, Malaysia telah membayar pampasan berjumlah RM320.2 juta (AS$70.7juta) kepada Singapura.
Menurut satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung pada 29 Mac 2021, pampasan tersebut adalah sebagai gantirugi kepada kos yang telah dibayar oleh kerajaan Singapura untuk kos pembangunan projek serta lanjutan penangguhan selama dua tahun sebelum itu.