Tebang hutan: Malaysia bakal kehilangan litupan hutan 100 kali ganda keluasan Kuala Lumpur
2023.03.22
Kuala Lumpur

Kawasan hutan berkeluasan 100 kali ganda ukuran Kuala Lumpur telah dikenalpasti untuk diterokai sebagai ladang di Malaysia, demikian menurut sebuah badan pemantau alam sekitar, dalam hasil kajian yang dibuat berdasarkan kepada unjuran penebangan hutan “terpenting” setelah meneliti dokumen awam.
Perubahan iklim telah menjadikan Malaysia begitu terdedah kepada bencana banjir dan tanah runtuh, yang diburukkan lagi oleh aktiviti penebangan hutan, kata laporan 61 mukasurat oleh RimbaWatch, sebuah badan pemantau iklim di Malaysia.
“Berdasarkan kepada analisis, kami menjangkakan 2,346,601 hektar kawasan di Malaysia telah dikenalpasti untuk pembersihan hutan. Ukuran kawasan 100 kali ganda keluasan Kuala Lumpur,” menurut badan itu dalam laporan yang diterbitkannya pada Isnin.
“Kajian itu mendapati di antara tahun 2017 and 2021, aktiviti yang menjadi penggerak utama kepada projek-projek pembersihan hutan adalah ladang hutan yang mewakili 41.6 peratus, diikuti oleh ladang sawit dengan 15.5 peratus.
“Ladang-ladang ini (kayu dan sawit) termaktub di bawah program yang ditakrifkan sebagai “ladang hutan” dan “litupan hutan”,” ujar RimbaWatch, sambil berkata “program-program ini sebenarnya melibatkan pembersihan hutan dan peralihan tanah-tanah hutan simpan kepada perladangan industri monokultur bagi tujuan komoditi seperti getah dan akasia.
RimbaWatch menyifatkan takrifan tersebut tidak tepat dan adalah “greenwashing” (muslihat), memandangkan secara ekologinya tidak berbeza dengan perladangan lain, serta mengelirukan masyarakat mengenai hakikat sebenar projek-projek tersebut.
Perkembangan ini, menurut RimbaWatch, melanggar dan mencabuli komitmen Malaysia dalam “memelihara 50 peratus tanahnya sebagai litupan hutan” yang dibuat pada sidang Earth Summit pada 1992.
“Ketiadaan pemantauan proaktif pusat atau kelulusan berkaitan-pembersihan hutan turut ditekankan,” ujar kumpulan itu lagi, sambil menegaskan ia memperlihatkan ironi kepada keseriusan kerajaan berpegang kepada janjinya.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada tahun 2017 menyenaraikan litupan hutan di negara itu adalah 18.3 juta hektar, yang merangkumi 55.52 peratus daripada keluasan tanahnya.
Bagaimanapun, RimbaWatch menyatakan kawasan litupan hutan di Malaysia berada dalam risiko untuk menguncup kepada 47.35 peratus daripada saiz keseluruhan tanahnya, bersamaan dengan 15.6 juta hektar.
“Malaysia mesti mengembalikan semula 1.79 juta hektar hutan simpan yang dikenalpasti bagi konsesi-konsesi ladang hutan kepada hutan asli, di mana sistem pembalakan yang terpilih dan berdaya mampan dapat dilaksanakan,” tegas badan itu.
RimbaWatch mengumpul maklumat mengenai pembersihan hutan dari pelbagai sumber antaranya peta-peta rasmi hutan, deskripsi projek, laporan impak alam sekitar, makluman hartanah, serta pelbagai lagi dokumen berkaitan aktiviti di tanah hutan.
Begitupun, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diminta mengesahkan ketepatan laporan berkenaan, gagal memberikan pengesahan yang tepat.
“Kami menghargai usaha oleh badan bukan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu kehilangan hutan.
“Bagaimanapun, kami juga mengambil maklum bahawa dapatan-dapatan tersebut adalah anggaran, dan kami tidak dapat memberi respond kepada penemuan berkenaan tanpa membuat semakan dan pengesahan penuh ke atas kajian itu,” demikian menurut menteri Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu seterusnya menyenaraikan langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian untuk memperkasakan pengurusan hutan termasuk mengenalpasti dan meningkatkan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan menetapkan moratorium kepada ladang-ladang hutan baharu di dalam HSK.
“Kami mengalu-alukan maklumat daripada badan bukan kerajaan, pihak akademik, swasta, kerajaan-kerajaan negeri serta orang awam untuk menambaik tugas kami dengan kerjasama kohesif dan juga para pemegang taruh,” ujarnya.
Pada persidangan Conference of the Parties (COP26) 2021, Konvensyen Kerangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) telah menyatakan komitmen untuk menghentikan pembersihan hutan menjelang 2030 dan menghadkan penghasilan metana. Negara itu turut menyatakan komitmen untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
Sukar capai sasaran
Namun begitu, pencinta alam sekitar Ahmad Ismail berkata adalah sangat sukar bagi Malaysia mencapai sasaran tersebut sekiranya tiada arah tuju yang jelas diambil.
“Kerajaan mesti meletakkan arah tuju yang jelas dan sasaran pencapaian dalam usaha untuk mencapai sasaran dalam menghentikan pembersihan hutan menjelang 2030, menghadkan penghasilan metana, malahan nutral korbon menjelang 2050,” ujar presiden Persatuan Ekologi Malaysia itu kepada BenarNews.
“Jika kita mengambil contoh perancangan plastic sifar 2030, ia kelihatan sangat sukar untuk dicapai.
Ahmad menegaskan kerajaan perlu lebih telus dan memastikan data alam sekitar boleh diakes.
“Ini kerana kami memerlukan data untuk rujukan. Data dari kerajaan mestilah tepat supaya tidak berlaku perdebatan di kalangan orang awam termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
“Selain itu, kerajaan juga seharusnya mengenalpasti semua kawasan yang dilindungi dan sempadan, supaya orang ramai khususnya NGO boleh membantu melindungi kawasan-kawasan tersebut. Dengan adanya teknologi-teknologi baru seperti imej satelit, drone, kami dapat mengakses maklumat berkenaan pembersihan hutan sama ada sah atau haram,” katanya lagi.
Sementara itu, kumpulan alam sekitar, Rakan Bumi Malaysia berkata Malaysia telah gagal menguruskan daya mampan hutan-hutan di negara itu.
“Kegagalan menguruskan daya mampan hutan dan melindungi hak-hak tanah adat sejak empat dekad yang lalu turut menyebabkan peningkatan ketara dalam pembersihan hutan,” ujar S. Mageswari, setiausaha kehormat badan itu.
Ujarnya, Malaysia tidak mempunyai polisi-polisi yang efektif dan undang-undang sedia ada untuk menyatukan hak-hak orang asli dan komuniti asal di dalam pengurusan hutan Malaysia.
“Untuk beberapa dekad, pembalakan besar balak yang besar, ladang monokultur dan aktiviti-aktiviti lain yang sebenarnya berlaku di dalam kawasan tanah adat kami. Tetapi, tanpa komuniti, tidak akan wujud daya tahan,” ulasnya lagi.
Mageswari turut menyatakan sejak awal tahun 1990an, lesen-lesen ladang monokultur, sebahagian besarnya untuk pembalakan dan pokok sawit, telah dikeluarkan kepada kawasan-kawasan hutan yang telah selesai dibalak.