Jerebu: Indonesia sasar syarikat besar yang didakwa sebabkan kebakaran hutan

Malaysia gesa ASEAN berganding bahu tangani isu kualiti udara yang semakin memburuk.
Pizaro Gozali Idrus
2023.10.05
Jakarta
Jerebu: Indonesia sasar syarikat besar yang didakwa sebabkan kebakaran hutan Pelanggan sedang berbual di sebuah gerai makan yang menghadap pusat bandar Kuala Lumpur yang diselubungi jerebu, 3 Okt, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Indonesia telah bertindak menutup tanah milik hampir sedozen syarikat yang didakwa melakukan pembakaran di kawasan hutan di wilayah Sumatera Selatan di mana ekologinya sensitif selepas jerebu akibat asap kebakaran itu merebak secara domestik dan melanda beberapa negara jiran.

Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia turut melakukan persiapan untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk mengenakan pertuduhan jenayah terhadap syarikat terbabit, kata Rasio Ridho Sani, Ketua Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang di kementerian itu. Beliau menamakan syarikat terbabit melalui inisial masing-masing.

“Kami akan mengguna pakai semua undang-undang sedia ada sama ada dari segi pentadbiran, sivil atau jenayah,” menurut Rasio dalam satu kenyataan. “Kami tidak akan berhenti daripada mengambil tindakan yang keras terhadap pesalah kebakaran hutan dan tanah pertanian ini.”

Para pesalah berdepan hukuman berat termasuk tempoh pemenjaraan yang panjang serta denda yang tinggi namun penguatkuasaan yang lemah menyaksikan kebakaran hutan dan tanah pertanian berlaku saban tahun di negara terbesar di Asia Tenggara itu.

Sementara itu, pada awal minggu ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau telah meminta Indonesia serta negara anggota ASEAN yang lain berganding bahu menangani kualiti udara yang semakin memburuk di beberapa bandar di Malaysia.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan seolah-olah jerebu adalah sesuatu yang normal,” kata beliau.

Baru-baru ini, Indonesia dilaporkan berkata ia tidak mengesan sebarang asap akibat kebakaran hutan dan tanah pertanian dari negara itu yang telah merebak ke Malaysia.

Bagaimanapun, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia dilihat mula menyasarkan syarikat-syarikat besar yang didakwa menjadi punca kebakaran itu berlaku.

Tindakan terbaharunya menyasarkan 11 syarikat yang mempunyai kawalan ke atas kawasan hutan seluas lebih 24,000 ekar di Sumatera Selatan, kata Ardy Nugroho, Pengarah Penyeliaan Pentadbiran dan Sekatan di kementerian itu.

“Jumlah kawasan yang ditutup dijangka meningkat kerana pasukan kementerian sedang meneliti data lokasi panas dan imej satelit,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Sumatera Selatan pula berkata ia telah menemukan banyak lokasi kebakaran di Kabupaten Ogan Ilir dan Ogan Komering Ilir.

“Tanah yang terbakar kebanyakannya adalah kawasan paya gambut dan ladang,” menurut agensi itu pada Khamis.

Jerebu rentas sempadan merupakan masalah berulang yang melanda Asia Tenggara meskipun terdapat perjanjian dan kerjasama serantau.

ID-MY-fires-haze-2.jpg

Pandangan dari udara menunjukkan Jambatan Ampera di atas Sungai Musi River susulan jerebu akibat kebakaran hutan yang berterusan di Palembang, Sumatera Selatan pada 14 Sept 2023. [Al Zulfikli/AFP]

Pada 2002, semua negara anggota blok ASEAN menandatangani satu perjanjian mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan bagi mencegah dan memantaunya dengan berkongsi maklumat serta mengambil tindakan undang-undang dan lain-lain terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi kebakaran itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar daripada perjanjian itu tidak berkesan kerana insiden kebakaran terus berlaku hampir saban tahun.

Episod terburuk insiden jerebu dalam sejarah baru-baru ini berlaku pada 2015, yang menyaksikan asap daripada kebakaran tanah pertanian di Indonesia telah merebak beratus-ratus batu ke bandar raya yang padat penduduk sehingga menyebabkan penyakit pernafasan manakala sekolah dan perniagaan terpaksa ditutup, penerbangan dibatalkan serta tahap penglihatan merosot.

Pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa sejumlah 24 orang terkorban akibat kebakaran itu.

Bagaimanapun, kajian lanjut oleh Universiti Harvard dan Universiti Columbia yang menggunakan model matematik menganggarkan bahawa pendedahan asap akibat kebakaran hutan itu telaha menyebabkan 100,300 kematian pramatang di seluruh Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Pada 2019, Indonesia berkata sesetengah kebakaran hutan dalam wilayahnya bermula dari tanah yang digunakan oleh anak syarikat minyak sawit Malaysia dan tuduhan itu menyaksikan kedua-dua negara jiran saling menuding jari.

Bagaimanapun setahun selepas itu, Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan mengambil tindakan keras terhadap kegiatan pembakaran hutan dan menangani isu jerebu.

Uli Arta Siagian, Pengurus Kempen Perhutanan dan Perladangan di Forum Alam Sekitar Indonesia, sebuah badan bukan kerajaan yang mempromosi keadilan alam sekitar, berkata negara itu masih berdepan masalah menguatkuasakan keputusan mahkamah terhadap syarikat yang terlibat dengan kebakaran hutan.

Beliau berkata mahkamah mendapati beberapa syarikat di wilayah Riau bersalah melakukan kerosakan terhadap alam sekitar namun mereka tidak membayar denda atau memulihkan hutan seperti yang diarahkan sekali gus menimbulkan teraguan terhadap keberkesanan tindakan keras semasa yang dilaksanakan di Sumatera Selatan.

“Jika kerajaan pusat gagal memastikan bahawa mereka membayar saman yang telah dikenakan maka keputusan mahkamah adalah sia-sia dan tidak berguna,” katanya.

Nazarudin Latif di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.