Sindiket Penyeludupan Pendatang Tanpa Izin Cuba Lobos Perairan Malaysia Setiap Malam

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia berkata cubaan membolos berlaku hampir setiap malam sejak pandemik COVID-19.
Noah Lee & Nisha David
2021.12.17
Kuala Lumpur
Sindiket Penyeludupan Pendatang Tanpa Izin Cuba Lobos Perairan Malaysia Setiap Malam Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat dipercayai pendatang tanpa izin yang ditemui di sekitar perairan Tanjung Pungai, di Johor, 17 Disember, 2021.
[Ihsan Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia pada Jumaat berkata sindiket penyeludupan manusia dan golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) didapati cuba menyelinap masuk ke dalam negara itu melalui jalan laut hampir setiap hari sejak Mei 2020, dan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk tujuan tersebut dengan belayar ketika cuaca buruk dan laut bergelora.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Mohd Zubil Mat Som mendedahkan mengenai perkara tersebut dalam satu kenyataan media yang dibuat dua hari selepas sebuah bot pancung dari Indonesia yang membawa 50 penumpang dipercayai PATI karam di perairan Tanjung Balau di Johor berikutan cuaca buruk.

Sehingga Jumaat, agensi pengawal pantai itu melaporkan jumlah mangsa yang terkorban telah mencecah 21 orang, sementara 13 telah berjaya diselamatkan manakala 16 lagi masih hilang.

“Tragedi malang seperti ini boleh dielakkan sekiranya PATI dan sindiket penyeludupan manusia tidak bersekongkol menyeludup masuk melalui pintu haram dan mempertaruhkan nyawa dengan belayar ketika cuaca buruk, ombak setinggi antara tiga ke lima meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam,” kata Mohd Zubil dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, walaupun kawalan ketat di sempadan merupakan satu perkara yang sudah diketahui umum, masih terdapat PATI yang cuba menyeludup masuk sehingga sanggup memudaratkan diri sendiri.

"Sindiket penyeludupan tidak berhati perut dengan sentiasa mencari ruang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa,” katanya.

Tambah Mohd Zubil, bot-bot kecil seperti bot pancung yang sering digunakan penyeludup tidak mempunyai keupayaan untuk mengharungi gelora laut dan tidak dilengkapi dengan peralatan keselamatan.

"Maritim Malaysia berharap tragedi menyayat hati ini dapat menjadi pengajaran dan membuka mata PATI serta sindiket penyeludupan supaya tidak mempertaruhkan nyawa dengan melalui jalan yang tidak sah," tegas Ketua Pengarah itu.

Mohd Zubil berkata Sistem Pengawasan Laut Malaysia milik APMM telah berjaya mengesan 1,110 sasaran yang mencurigakan sejak Mei 2020, dengan 689 daripadanya telah berjaya diusir keluar daripada perairan Malaysia.

Dalam satu kenyataan berasingan, Timbalan Pegarah Operasi APMM Negeri Johor Simon Templer Lo Ak Tusa berkata dua buah kapal dan tiga bot milik APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin telah dikerah untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu, di kawasan seluas 79 batu nautika persegi.

Selain itu, pihak berkuasa juga turut menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Gerakan Udara Polis bagi menjalankan pencarian dari udara meliputi kawasan seluas 135.8 batu nautika persegi.

Namun, kata beliau, pasukan pencarian di laut menghadapi cabaran berikutan cuaca yang kurang baik dengan ombak besar setinggi tiga hingga lima meter.

211017-MY-Inside-ID-Karam.jpg

Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] membuat pemantauan bagi mengesan mangsa bot karam pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat di perairan Tanjung Balau, Johor, 17 Disember, 2021. [Ihsan APMM]

Proses kenalpasti

Dalam pada itu, pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Johor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata proses mengenalpasti identiti semua mangsa yang terkorban sedang dijalankan.

Pejabata itu memaklumkan bahawa angka kematian telah meningkat kepada 21 selepas satu lagi mayat ditemui terapung di laut manakala seorang lagi mangsa yang ditemui hidup telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Sehingga 17 Disember, jumlah korban ada 21 orang iaitu 15 lelaki dan enam perempuan manakala jumlah korban yang terselamat adalah 13 orang," kata kenyataan pada lewat Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, tiga mangsa yang terkorban telah berjaya dikenalpasti dan proses untuk penghantaran jenazah pulang sedang diuruskan.

"Bagi 13 warganegara Indonesia yang terselamat, mereka berada dalam keadaan baik dan kini ditempatkan dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia di Johor.

“Berdasarkan proses verifikasi yang dilakukan, sembilan daripada mereka berasal dari Lombok manakala selebihnya berasal dari Pekanbaru, Jember dan Tanjung Balai Karimun,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambah pejabat Konsulat itu lagi, pihak mereka akan memastikan kesihatan serta hak warga Indonesia yang berada di dalam tahan terus terjaga dan turut menggesa supaya tidak menggunakan jalan haram untuk masuk mahupun keluar dari Indonesia ataupun Malaysia.

Menurut pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, lebih 2.7 juta pekerja Indonesia bekerja di Malaysia dengan lebih 700,000 memiliki dokumen yang sah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.