Kumpulan Hak Asasi Malaysia, Indonesia Kecewa Dengan Keputusan Mahkamah Rayuan
2020.09.22
Kuala Lumpur, Malaysia

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia yang pada Selasa mengekalkan keputusan membebaskan seorang majikan warga emas yang dituduh membunuh pembantu rumah rakyat Indonesia oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tahun lalu.
Pengerak kebebasan hak manusia bagi kedua-dua negara – Malaysia dan Indonesia – melihat keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai memberi isyarat merbahaya kepada pengeksploitasi manusia, kegagalan menegak keadilan dan penguatkuasaan yang lemah melibatkan hak pembantu rumah.
Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das mendesak pihak pendakwaan Malaysia supaya membuat pertuduhan semula terhadap Ambila MA Shan yang mendera pembantu rumah Adelina Lisao, 26, sehingga mati akibat daripada kecederaan dan kegagalan.
“Keputusan Mahkamah Rayuan jelas sekali mengirimkan pesanan yang sangat merbahaya kepada semua orang yang menyalahgunakan dan mengeksploitasi manusia lain.
“Adelina dianiaya dengan kejam sehingga parah dan kemudiannya mati akibat daripada penderaan sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala dan muka, luka pada tangan dan kakinya.
“Tenaganita percaya satu-satunya cara yang efisien untuk menghapuskan penderaan dan eksploitasi serius terhadap mana-mana individu adalah pelaku didakwa dan dipenjara untuk jangka masa panjang,” kata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Beliau yang terkejut dengan keputusan mahkamah itu sangat berharap pihak pendakwaan yang diberi tempoh 10 hari untuk menuduh kembali pelaku dengan tuduhan lain serta dapat didakwa di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
Pada 19 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh Adelina, pembantu rumahnya yang berasal daripada Nusa Tenggara, Indonesia selepas mendera mangsa di sebuah rumah di Bukit Mertajam.
Alex Ong, seorang aktivis Migrant CARE, yang memperjuangkan nasib pekerja migran Indonesia berkata pembebasan Ambika adalah satu kegagalan dalam menegakkan keadilan hanya kerana masalah teknikal.
"Pembebasan ini adalah satu kegagalan dalam menegakkan keadilan, kerana ia disebabkan oleh proses teknikal dan prosedur berkaitan dengan masalah dalam siasatan," katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi.
Hormati tapi tidak berpuas hati
Dalam pada itu, Konsulat Indonesia di Pulau Pinang berkata Jakarta menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia itu walaupun tidak berpuas hati kerana menyifatkan keadilan terhadap Adelina belum ditegakkan.
“Kami menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia tetapi kami tidak berpuas hati dengannya yang sekaligus bermaksud keadilan belum dapat ditegakkan lagi.
“Sehubungan itu Pejabat Konsul akan menunggu keputusan balas dari Peguam Negara Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dalam tempoh 10 hari seperti yang diberikan,” demikian kata Esther Rajagukguk dalam satu kenyataan kepada BeritaBenar.
Beliau menambah Jakarta akan terus berusaha mencari keadilan buat Adelina dan keluarganya.
Terdahulu itu, semasa prosiding di Mahkamah Rayuan barisan tiga hakim yang diketuai oleh Yaacob Md Sam berkata tiada kesilapan dalam keputusan Hakim Akhtar Tahir di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Ambika mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah.
“Kami berpuas hati bahawa hakim menjalankan kuasanya dengan betul. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi betul dan wajar,” katanya ketika menolak rayuan pihak pendakwaan pada Selasa seperti dipetik dari laman portal berita tempatan.
Yaacob yang mempengerusikan sidang di Mahkamah Rayuan itu bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Nordin Hassan berkata tiada apa dalam rekod yang menunjukkan pihak pendakwaan berhasrat untuk meneruskan perbicaraan selepas memanggil tiga saksi.
Ambika, yang didakwa melakukan kesalahan itu, bagaimanapun tidak hadir di mahkamah semasa keputusan dibacakan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Dusuki Mokhtar berhujah bahawa hakim ketika itu terkhilaf dalam keputusannya untuk membebaskan responden, walaupun pihak pendakwaan meminta tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Peguambela kepada Ambika, Y Anbananthan telah berhujah dengan berkata hakim diberi budi bicara untuk membebaskan atau memberi DNAA sekiranya tiada lagi saksi daripada pihak pendakwaan selepas perbicaraan bermula.
Akhtar dalam penghakimannya semasa di Mahkamah Tinggi menjelaskan tertuduh dibebaskan di tengah-tengah perbicaraan kerana peguam kerajaan tidak memberikan alasan yang sah untuk DNAA.
Hakim itu semasa membacakan keputusannya seterusnya menambah dengan berkata Ambika hanya dibebaskan daripada tuduhan membunuh, dan pihak pendakwaan masih boleh mendakwanya atas kesalahan lain jika mahu.
Keputusan Akhtar itu telah mencetuskan lebih 30,000 orang menandatangani petisyen menuntut penjelasan daripada pihak pendakwaan tentang pembebasan Ambika daripada pertuduhan membunuh itu.
Adrian Pereira, daripada Inisiatif Utara Selatan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan membuktikan Malaysia jelas sekali tidak mempunyai tunjang dalam penyelesaian terhadap kes penderaan pembantu rumah yang wujud sejak 30 tahun lalu dengan Putrajaya perlu segera menggubal undang-undang yang dapat dikuatkuasakan berhubung pembantu rumah.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.