Program Deradikalisasi Indonesia Dianggap Lemah

Ahmad Najmi Nasruddin
2016.01.27
160127-MY-IDC-INDON620 Pegawai Kesihatan Polis Jakarta menunjukkan gambar Afif alias Sunakin, militan pernah dipenjarakan, yang terbabit dalam serangan ganas pada 14 Januari di Jakarta.
AFP

Program deradikalisasi militan Indonesia masih lemah kerana tiadanya kesepakatan politik mengenai jenis ekstremisme yang dianggap berbahaya, kata seorang penganalisis konflik kanan dari Jakarta pada Selasa.

Pengasas dan Pengarah Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC) di Jakarta, Sidney Jones berkata, program di negara yang mempunyai rakyat Islam terbesar di dunia itu, “tidak mempunyai sasaran tepat” dan “tidak dihasilkan daripada kajian mendalam tentang di mana dan bagaimana radikalisasi berlaku.”

“Adalah penting menyediakan program-program yang lebih efektif dengan melakukan kajian yang lebih mendalam mengenai bagaimana dan di mana  seseorang itu mula menjadi radikal,” kata beliau pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Menangani Ekstremisme Keganasan 2016 di Kuala Lumpur.

Menteri-menteri, pegawai-pegawai kanan dan pakar menangani keganasan dari 19 negara berkumpul selama dua hari di ibu negara Malaysia bagi membincangkan langkah-langkah meningkatkan lagi strategi menangani militan Negara Islam (IS) dan kumpulan ekstremis keganasan yang lain.

Kewaspadaan tahap tinggi

Jones berkata, dengan penyelidikan bukanlah jaminan kepada kejayaan program, “namun, program yang tidak berdasarkan kepada data kukuh selalunya akan gagal.” Beliau menegaskan bahawa temu bual dan analisis data biograf adalah amat penting.

“Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT) Indonesia dan agensi-agensi kerajaan lain boleh mendapatkan data-data yang lebih sulit. Terutamanya dalam era Negara Islam (IS),  maklumat berkenaan  perlu menjadi asas kepada membentuk strategi-strategi pencegahan,” kata beliau.

Agensi itu-yang dikenali dengan akronim Bahasa Indonesia iaitu BNPT, telah ditubuhkan pada 2010 selepas pengeboman bunuh diri di dua hotel besar di Jakarta dan pendedahan pakatan terhadap presiden ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono, yang kesemuanya berlaku dalam 2009.

Indonesia juga mengalami pengeboman di Bali pada 2002 dan 2005, yang menyasarkan kawasan-kawasan pelancong di selatan pulau itu, dan mengorbankan  230 orang dan mencederakan beratus yang lain. Serangan-serangan itu dilakukan oleh Jemaah Islamiyah (JI), sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara.

Sejak itu, pasukan polis elit menangani keganasan, Densus 88, diberi pujian kerana dapat mengekang ancaman keganasan namun,  turut dituduh menggunakan kekerasan  berlebihan selain menahan orang tidak bersalah.

Sementara itu, BNPT menjemput bekas pengamal radikal dan ulama dari Timur Tengah untuk memberi ceramah di penjara dan sekolah.

Negara itu meneruskan kewaspadaan tahap tinggi selepas serangan bom dan tembakan di Jakarta dua minggu lalu yang menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati. Kumpulan IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang pertama baginya di Asia Tenggara.

Sekurang-kurangnya dua daripada penyerang itu adalah bekas banduan yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara.

Masalah Utama

Jones berkata, kemunculan IS dapat membantu Indonesia memberi fokus terhadap program-program deradikalisasi dengan penekanan kepada menangani naratif dalam media sosial. Tetapi, beliau mengakui hanya beberapa idea baru yang telah dikemukakan.

Beliau menegaskan bahawa kajian meluas perlu dilakukan terhadap kumpulan militan Indonesia yang ditahan atau dihantar pulang ketika dalam perjalanan  ke Syria.

“Kumpulan itu sekarang mempunyai hampir 200 ahli, lebih daripada  separuh adalah wanita dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun,” katanya.

“Berbeza dengan bilangan 600 atau 800 pejuang Indonesia yang  kadang kalanya dilihat, anggaran munasabah ialah 250 hingga 300. Jumlah ini, masih memberi masalah besar kepada Indonesia apabila mereka pulang, walaupun kebanyakan daripada mereka tidak berniat untuk berbuat demikian,” kata beliau.

Di mana sahaja, pada bila-bila masa

Mengenai Kumpulan Pemulihan Keagamaan Singapura, Dr. Mohamed Ali dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata, kerjasama komuniti-kerajaan untuk memerangi keganasan di negara itu “memahami dengan lebih awal” tentang ancaman pengganasan.

“Memandangkan kumpulan ancaman itu aktif di luar Singapura dan tidak dapat dikesan  di dalam Singapura dan tidak dalam jangkauannya, kerajaan perlu mendapatkan penyertaan masyarakat Islam dalam menangami ancaman tersebut,” kata pakar kajian antara agama NTU itu.

Beliau berkata, operasi  IS telah menukar strategi dan kini “rekrut baru tidak perlu ke Syria atau Iraq.”

“Sekarang, mereka tidak perlu lagi melakukan perjalanan itu. Mereka berada di sini dan sedang dipengaruhi untuk membuat serangan mengejut di mana sahaja, pada bila-bila masa,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Ketua Keselamatan Ideologi di bawah Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Dr. Abdulrahman Al Hadlaq berkata, negaranya telah merangka beberapa program deradikalisasi khusus yang dibarisi  pakar-pakar untuk menangani kegiatan keganasan.

“Saya rasa kami mempunyai 200 profesor yang  bekerja sambilan bagi program ini.  Ia adalah program yang sangat besar dan amat berkesan, ” kata Abdulrahman kepada BeritaBenar.

Beliau menambah kata, program itu dilaksanakan oleh pusat-pusat pemulihan seperti Pusat Kaunseling dan Penjagaan Muhammad bin Nayef di luar ibu kota, Riyadh.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.