Persidangan Deradikalisasi Antarabangsa, Malaysia Sudah Bersiap Sedia

Ahmad Najmi & Fahirul N. Ramli
2016.01.22
160122-MY-DERADICALIZATION620 Pihak berkuasa Indonesia mengusung keranda warganegara Kanada, Tahar Amer-Ouali, mangsa serangan pengganas di Jakarta pada 14 Januari lepas. 21 Januari 2016.
AFP

Menteri, pegawai kanan dan pakar bidang menangani keganasan dari 19 buah negara bersedia untuk saling berbincang di ibu negara Malaysia mulai Isnin, dengan matlmat merumuskan strategi bagi menangkis pandangan radikal ekstremis militan Negara Islam (ÌS).

Persidangan dua hari itu yang bertema 'meradikalisasi dan menangani ekstremisme ganas' akan diadakan di Kuala Lumpur di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat susulan serangan IS di Jakarta, ibu negara jirannya Indonesia,  yang menunjukkan peningkatan ancaman kumpulan militan itu di rantau berkenaan.

"Objektif utama persidangan ini ialah untuk meningkatkan kerjasama dalam program diradikalisasi antara agensi-agensi keselamatan diseluruh dunia," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada Jumaat.

"Negara-negara peserta akan berkongsi dan menganalisis amalan baik dalam program-program deradikalisasi dan mengenal pasti kumpulan-kumpulan sasaran yang mudah terdedah kepada ideologi militan ekstremis, serta peranan kerajaan dalam memulihkan mereka untuk diserap kembali kepada masyarakat." kata kenyataan itu.

‘Syaitan baru’

Persidangan itu dijangka dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab memerangi ancaman militan ekstremis dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan-rakan strategik 10 negara anggotanya - Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Jepun, China dan Italy, kata kenyataan itu.

Menurutnya persidangan itu akan dibahagikan kepada dua sesi utama - satu, untuk merumuskan satu kenyataan bersama menteri mengenai deradikalisasi dan kedua, sesi plano dimana menteri-menteri berkenaan akan menjelaskan program deradikalisasi negara masing-masing.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, yang telah menyifatkan IS sebagai "syaitan baru" yang mengkufuri Islam, akan menyampaikan ucapan perasmian beliau pada persidangan dua hari itu.

Najib telah mengarahkan supaya ditingkatkan bilangan anggota polis dan tentera di kawasan kawasan awam dan pelancongan di Kuala Lumpur selepas pengeboman di Jakarta pada 14 Januari lalu yang menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati.

"Kami mahu rakyat berasa selamat dan tenang," kata beliau. "Kami mahu rakyat meneruskan perniagaan mereka seperti biasa dan tidak terlalu bimbang kerana pihak berkuasa dapat mengawal keadaan, " beliau dipetik berkata demikian oleh media tenpatan.

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, telah menangkap lebih 100 orang  kerana terlibat dengan IS di Syria dan Iraq, yang daripada jumlah itu, seramai 17 orang telah terbunuh, menurut media tempatan yang memetik sumber risikan sebagai berkata.

Malaysia berada dalam skrin radar IS, kata Pengarah dan Felo Kanan Institut Jenayah dan Kriminoligi Universiti HELP, Akhbar Satar, kepada BeritaBenar sambil merujuk kepada laporan mengenai negara itu dalam majalah  propaganda dalam talian IS, Dabiq.

Beliau berkata ideologi IS adalah berasaskan simpati umat Islam berhubung keganasan yang berlaku di Palestin, Syria, Iraq dan negara negara Islam lain.

Prof Dr. Atory hussain, seorang pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia mengingatkan bahawa penuntut-penuntut Malaysia di Timur Tengah adalah terdedah kepada pengaruh IS, dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

‘Standard baru’

Malaysia mula merancang mengadakan persidangan itu seawal September tahun lalu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, persidangan itu bertujuan merangka prosedur operasi standard bagi menangani tindakan rafikalisasi oleh kumpulan militan IS dan yang lain.

"Program deradikalisasi sememangnya penting bagi membolehkan contoh yang standard boleh diguna pakai di peringkat antarabangsa," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi Berita Nasional, Bernama, September lepas.

"Malaysia mempunyai pengalaman panjang dalam diradikalisasi," katanya sambil menyatakan contoh pengalaman panjang dan kejayaan negara itu dalam memerangi pemberontakan komunis, yang bermula selepas berakhirnya Perang Dunia ketika ia berada di bawah pemerintahan British, dengan para pemberontak menyerang ladang-ladang getah, lombong timah dan pekan.

Minggu ini, Majlis Keselamatan Negara Malaysia membincangkan tentang penubuhan sebuah pusat bagi memerangi propaganda ekstremis IS dalam talian.

Pusat menangani mesej digital serantau akan ditubuhkan tidak lama lagi, walaupun lokasinya belum ditetapkan, kata Najib seperti yang dilaporkan media tempatan.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.