IDC: Pentingnya Masyarakat Tempatan Perangi Ekstremisme
2016.01.25

Masyarakat tempatan perlu lebih aktif dalam program-program yang bertujuan menamatkan keganasan pihak ekstremis militan, kata pegawai-pegawai tinggi kerajaan pada persidangan antarabangsa bagi menangani pandangan ekstremis Negara Islam (IS).
Menerusi kerjasama dengan masyarakat tempatan, kerajaan boleh membantu mematahkan keganasan IS dari akar umbinya dan mempercepatkan pemulihan militan yang dipenjarakan akibat tindakan membawa maut mereka, kata pegawai berkenaan pada perasmian persidangan dua hari mengenai Deradikalisasi dan Menangani Ekstremisme Keganasan anjuran Malaysia.
David Gersten, seorang pegawai kanan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, meminta para perwakilan supaya mendalami dengan lebih lanjut "tentang bagaimana kita boleh bekerjasama dengan masyarakat untuk mencegah tragedi daripada berlaku."
Sebagai contoh, katanya, masyarakat tempatan boleh dilatih untuk mendedahkan sebarang "tanda-tanda amaran yang boleh dilihat yang menunjukkan seseorang bergerak menuju keganasan ekstremis."
"Ini mungkin turut membantu ahli komuniti dan ibu bapa memahami bagaimana untuk mengenal pasti seorang anak muda yang mahu mewajarkan keperluan melakukan tindakan ganas berdasarkan propaganda pengganas, mengumpul wang seperti menjual barangan elektronik bagi membiayai perjalanan antarabangsa, atau memohon pasport dengan hasrat mengunjungi wilayah dikuasai pengganas, "katanya.
Beberapa tingkah laku ini mungkin disedari oleh rakan-rakan rapat dan ahli keluarga sebelum individu berkenaan menuju kepada keganasan, katanya.
"Apabila keluarga dan rakan-rakan menyedari kebimbangan ini, adalah penting bagi mereka untuk melaporkannya kepada pihak berwajib, termasuk pihak penguatkuasaan undang-undang," kata Gersten pada persidangan itu di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.
'Malaysia: daftar ulama dan bekas radikal'
Menteri-menteri dan pegawai-pegawai dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan kongsi strategik perkumpulan 10 anggota itu - Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, China dan Itali - menghadiri persidangan itu.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi pula memberitahu para perwakilan bahawa "penyelesaian pencegahan" memerlukan penglibatan lebih mendalam masyarakat – selain daripada tindakan punitif - untuk membendung keganasan militan ekstremis.
Beliau berkata, Malaysia melibatkan ulama Islam dan bekas pengganas dalam program bersepadu untuk membantu memulihkan mereka yang ditahan tanpa perbicaraan di bawah undang-undang ketat.
Ulama "mempunyai pengaruh yang lebih baik ke atas masyarakat setempat dan dianggap lebih berwibawa dalam memberi penerangan betul mengenai jihad dari sudut perspektif agama" manakala bekas pengganas "boleh menjadi contoh yang baik dan mampu memujuk bekas rakan-rakan seperjuangan untuk meninggalkan perjuangan yang telah disalah tafsir itu. "
Ahmad Zahid berkata, masyarakat tempatan juga memainkan peranan penting dalam mengintegrasi semula tahanan yang dibebaskan ke dalam masyarakat.
"Kita perlu memastikan risiko mereka diradikalkan lagi dapat dihapuskan atau dikurangkan semasa integrasi semula itu."
Pegawai Australia pula berkata, program Canberra bagi memerangi ekstremisme keganasan bertujuan, antara lainnya, mengurangkan “kelemahan” komuniti kepada pengaruh sedemikian.
Kerajaan telah membangunkan pelbagai latihan dan projek pendidikan untuk keluarga, sekolah, masyarakat, institusi dan profesional barisan hadapan bagi membina kesedaran radikal, kata mereka.
'Kami percaya bahawa masyarakat yang kukuh, berpendidikan dan diperkasakan adalah penting - penting bagi melaksanakan pencegahan dan jika perlu, penting bagi pemulihan," menurut kertas kerja Australia yang dibentangkan pada persidangan itu.
'Maklumat adalah kunci'
Selain daripada penglibatan masyarakat, perkongsian risikan dan kerjasama di kalangan negara juga penting bagi memerangi ancaman IS, kata pegawai-pegawai yang menghadiri persidangan itu.
"Lebih banyak kita menjalinkan kerjasama dan berkongsi maklumat risikan mengenai aktiviti ekstremis radikal dan ganas, lebih mudah ia menyekat ekstremisme keganasan dan mencegah keganasan masa depan," kata Menteri Dalam Negeri Thailand Anupong Paojinda.
Beliau berkata, risikan penting bagi persediaan dan tindakan pegawai-pegawai kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani ancaman ideologi radikal.
"Kami percaya maklumat adalah amat penting," katanya.
Duta Jepun bagi menangani keganasan dan jenayah terancang Tsukasa Kawada memberitahu persidangan itu bahawa masyarakat Islam perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memerangi ancaman IS.
Beliau berkata, apabila IS menahan dua rakyat Jepun sebagai tebusan tahun lalu, umat Islam yang tinggal di Jepun, yang kebanyakannya dari Asia, merayu supaya mereka dibebaskan segera dan mendoakan kepulangan mereka dengan selamat.
"Melihat perbuatan ini melalui berita TV, beberapa rakyat Jepun kagum dengan usaha murni dan simpati mereka, kerana kebanyakan rakyat Jepun kurang berhubung dengan masyarakat Islam pada masa itu selain ia juga agak terhad dalam masyarakat Jepun," kata Kawada.
Sejak itu, perhubungan antara orang Islam dan masyarakat tempatan telah meningkat, kata beliau sambil menambah kata, usaha itu akan membantu mewujudkan "masyarakat yang inklusif" dan "menyumbang kepada pencegahan radikal."