IDC: Negara-Negara Perlu Bekerjasama Perangi Psikologi Terhadap Radikalisme
2016.01.26
Perang terhadap ektremisme keganasan gagal meraih kemenangan jika ia tidak dapat menyusup masuk minda anak muda yang mudah dipengaruhi untuk terjebak dalam radikalisme, kata penceramah pada akhir persidangan deradikalisasi antarabangsa di Kuala Lumpur.
"Tidak syak lagi ini adalah pertempuran dalam semua ruang-ruang siber, medan dan minda," kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa semasa merasmikan penutupan persidangan dua hari itu yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari 19 negara termasuk semua 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
"Kita mesti memastikan keberkesanan program pemulihan kita, kita mesti melibatkan semua pihak yang berkaitan. Adanya keperluan jelas untuk melibatkan diri dan melibatkan semula belia kita, "katanya.
Adalah penting bagi negara-negara yang memerangi ideologi dan pengaruh kumpulan radikal seperti Negara Islam (IS) untuk saling bekerjasama, kata Ahmad Zahid, untuk mengatasi dan mematahkan apa yang beliau sifatkan sebagai "komitmen ghairah" yang ditunjukkan oleh mereka yang menyertai kumpulan itu.
"(Ini) adalah semangat yang timbul daripada pematuhan amat mendalam dan kesetiaan kabur kepada satu misi, iaitu misi yang, sering kali, kebanyakan daripada mereka tidak memahami dengan sepenuhnya namun, memberikan kesetiaan dan komited [hingga] 100 peratus, "kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia.
Selepas menyampaikan ucapannya, Ahmad Zahid mengadakan sidang akhbar di mana beliau mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka pusat digital serantau pada 1 Mei, yang misinya adalah untuk menangani propaganda dalam talian IS.
Projek bernilai RM200 juta (US$46.8 juta) itu sedang dibina menerusi perjanjian dua hala yang ditandatanganinya dengan Amerika Syarikat pada Oktober lalu. Apabila siap, pusat itu akan menjadi yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, kata beberapa pegawai.
'Penting'
Ahmad Zahid juga mengulas mengenai pentingnya dimensi psikologi yang disuarakan sebelum ini dalam kenyataan oleh pakar keganasan, Rohan Gunaratna, yang membuat pembentangannya pada sesi terakhir persidangan itu.
Kejayaan Malaysia dalam program memulihkan mereka yang telah diradikalkan, boleh digunakan untuk semua negara-negara ASEAN, kata Gunaratna, kolumnis BeritaBenar yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura.
"Ini memerlukan lebih banyak usaha dan kesungguhan, namun ia penting untuk mengurangkan dan mengakhiri ekstremisme, bukan sahaja di peringkat yang boleh dilihat dengan mata kasar, malah yang 'ghaib', di dalam minda, terutamanya dalam kalangan belia, "kata Gunaratna.
"Program Capaian Komuniti, kempen dalam talian, dan lain-lain perlu ditambah dan disebarluaskan, dengan membawa mesej yang IS adalah semata-mata salah tafsir dan salah gambaran tentang Islam ...," katanya.
Gunaratna kemudian memberitahu BeritaBenar bahawa demi kepentingan keselamatan Malaysia, negara itu bekerjasama dengan kerajaan Filipina dalam mencegah IS daripada berkembang ke negerinya, Sabah, dari selatan Filipina yang terletak berhampiran.
Kumpulan militan tempatan di selatan Filipina baru-baru ini melafazkan ikrar taat setia kepada IS dan Abu Bakr al-Baghdadi, yang mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah, kata Gunaratna dalam ruangannya untuk BeritaBenar awal bulan ini.
"Malaysia sepatutnya merasa bimbang kerana ia secara langsung akan berkembang ke sempadan Borneo, bersama-sama dengan Sabah, negeri di negara itu...," kata Gunaratna.
Paradoks Moden
Beliau baru sahaja membuat pembentangan bersama-sama dengan Zaini Othman, yang merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan dan Strategik (SASSREC) di Universiti Malaysia Sabah.
Dalam pembentangannya, Zaini menyentuh mengenai "paradoks global" dan ketegangan yang wujud di antara kemajuan zaman moden dan peningkatan selari dalam ideologi ekstremis dengan teknologi digital membantu menyebarkannya.
"Memandangkan isu radikalisme dan ekstremisme telah melangkaui sempadan negara-negara, begitulah juga dengan penyelesaian," kata Zaini.
"Kesan yang tidak diingini, seperti kehilangan autonomi, kuasa dan kesahihan, mestilah dibendung dengan penuh waspada tanpa konflik yang tidak perlu yang timbul daripada kerjasama telus dan mulia dengan cara yang sistematik dan saling berkait dalam organisasi pelbagai negara," kata Zaini.
Suhana Osman turut menyumbang kepada laporan ini