Tahanan Pengganas Burukkan Lagi Kesesakan Penjara Thailand

Haireez Azeem
2016.01.26
160126-MY-IDC-TH620 Nathee Chitsawang dari Institut Keadilan Thailand berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Menangani Ekstremisme Keganasan 2016 di Kuala Lumpur. 26 Januari 2016.
BeritaBenar

Bilangan suspek keganasan dalam penjara yang penuh sesak di Thailand semakin meningkat, hingga memberi kesan kepada pengurusan dan pemulihan banduan, kata seorang pegawai institut yang dibiayai kerajaan pada persidangan menangani keganasan antarabangsa hari ini.

Kebanyakan daripada suspek itu dipercayai ditahan  di kawasan pemberontakan di  selatan Thailand, di mana pemberontak di wilayah yang majoriti penduduknya Islam dan bersempadan dengan Malaysia, telah melancarkan serangan bom dan tembakan sejak 2004, dengan  kebanyakannya menyasarkan kepada  tentera atau polis serta orang awam.

Populasi penghuni penjara pada masa ini adalah tiga kali lebih besar daripada jumlah kapasitinya, kata Timbalan Pengarah Eksekutif  Institut Keadilan Thailand  (TIJ) Nathee Chitsawang pada hari terakhir persidangan dua hari mengenai deradikalisasi dan menangani ekstremisme keganasan, yang dianjurkan oleh Malaysia.

Nathee tidak menyatakan bilangan penghuni penjara di negara itu atau di mana-mana wilayah selatan di Thailand, namun beliau mengakui ia sedang  menghadapi "krisis kesesakan penjara" bagi tempoh lebih daripada satu dekad.

Namun, beliau berkata,  walaupun lebih daripada 50 peratus daripada banduan di Thailand merupakan pesalah berkaitan dadah, "keadaan nampaknya semakin teruk apabila jumlah tahanan pengganas dalam penjara terus meningkat."

"Kesesakan dalam pusat pemulihan mempunyai kesan yang besar kepada ruang yang ada dan sumber yang terhad untuk menyediakan mereka dengan program dan aktiviti rawatan yang betul," katanya.

Di samping itu, proses mengklasifikasi banduan "tidak boleh dilakukan dengan berkesan dalam keadaan penjara yang penuh sesak," keluh beliau.

Nathee berkata, kebanyakan penjara tidak direka bentuk  untuk menahan suspek keganasan, sambil menambah kata bahawa "penempatan bagi  pemulihan perlu direka khas dan dirancang untuk banduan pengganas."

Tahanan sebelum perbicaraan

Satu lagi kekangan dalam usaha memulihkan suspek pengganas adalah sebahagian besar daripada mereka tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah, katanya.

"Kira-kira 90 peratus daripada pengganas itu adalah tahanan sebelum perbicaraan kerana [mereka] belum dijatuh hukuman," katanya.

"Masalahnya ialah apabila mereka masih tahanan sebelum perbicaraan, mereka mungkin menolak untuk menghadiri program-program rawatan," katanya sambil menambah kata bahawa hanya "dialog tidak rasmi" diadakan untuk "merubah tingkah laku mereka."

Nathee juga menggesa supaya pengharmonian program deradikalisasi dilakukan di dalam dan di luar penjara Thai.

Beliau berkata, majoriti banduan di wilayah selatan Thailand ditahan bersama-sama dengan suspek pengganas.

"Pengasingan rawatan boleh membantu untuk menghalang mereka daripada merekrut lebih ramai ahli dalam kalangan banduan," katanya.

TIJ, yang bergabung dengan Kementerian Keadilan Thailand, melaksanakan kerja-kerja pembaharuan penjara dan melakukan usaha untuk meningkatkan penyelidikan dan pembinaan keupayaan dalam memerangi jenayah dan menegakkan keadilan.

Pusat Antarabangsa bagi Kajian Penjara yang berpejabat di London melaporkan dalam laman webnya bahawa terdapat 314,858 banduan di Thailand, dengan memetik statistik penghujung Disember 2015.

Menurut seorang bekas pemimpin pemberontak Islam, yang hanya dikenali sebagai Ma-ae, terdapat lebih 300 pemberontak dalam penjara di selatan Thailand dan di penjara Bang Kwang yang mempunyai kawalan keselamatan maksimum  di Bangkok.

Ma-ae, bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang dibebaskan dari penjara pada tahun lepas, berkata pada September, bahawa beliau percaya terdapat 40 tahanan pemberontak di Yala, seramai 40 hingga 50 orang di Narathiwat dan kira-kira 80 lagi di Pattani. Ketiga-tiga wilayah dan empat daerah bersempadanan dengan Songkla itu membentuk wilayah Selatan Thailand.

Terdapat juga sejumlah 150 tahanan pemberontak di penjara Songkla dan dalam penjara Bang Kwang.

Belas Kasihan

Menteri-menteri dan pegawai-pegawai dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan kongsi strategik blok 10 negara anggota itu - Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, China dan Itali - menghadiri  persidangan dua hari itu.

Nathee berkata, pihak berkuasa penjara Thailand membahagikan suspek pengganas kepada tiga kumpulan - pemimpin tegar dengan "motivasi  dan ideology kuat,  "kakitangan atau "tentera" dan penyokong kumpulan militan.

Beliau berkata, penyokong dan tentera pengganas tidak mengguna pakai sebarang ideologi tetapi lazimnya menyertai kumpulan itu untuk "bayaran tingginya" dan dipercayai berkaitan dengan pengedaran dadah secara haram. Pemulihan mereka ditumpukan kepada melengkapkan mereka dengan kemahiran vokasional dan membaiki sikap peribadi mereka bagi "meningkatkan peluang pekerjaan selepas dibebaskan daripada penjara."

Beliau berkata, para pemimpin kumpulan militan sedang dipulihkan dengan menunjukkan rasa belas kasihan ‘yang tulen’, mengurangkan rasa bimbang terhadap ahli keluarga mereka, memindahkan mereka ke pusat pemulihan di kampung halaman mereka serta memberi hak lawatan dan bantuan peribadi.

Pimuk Rakkanam menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.