Sepuluh Orang Disyaki Memberi Maklumat Kepada Abu Sayyaf Ditahan
2016.10.07
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 10 orang di Sabah kerana disyaki membocorkan maklumat mengenai operasi keselamatan serantau kepada kumpulan militan Abu Sayyaf dan penjenayah lain yang berpusat di selatan Filipina, kata Ketua Polis Negara pada Jumaat.
Kesemua mereka yang ditahan pada malam Khamis dipercayai telah menyalurkan maklumat sulit kepada Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan kumpulan bersenjata lain yang terlibat dalam kegiatan penculikan anak kapal Malaysia dan Indonesia di perairan sekitar negeri itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kata media Malaysia memetik Khalid Abu Bakar sebagai berkata.
Suspek ditangkap melalui operasi bersama yang masih dijalankan oleh Polis Sabah, anggota tentera dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), menurut Khalid.
"Mereka yang ditahan adalah orang awam, penduduk Sabah dan individu dari selatan Filipina," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa anggota keselamatan Malaysia turut memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat sensitif mengenai operasi ESSCOM kepada Abu Sayyaf dan kumpulan-kumpulan jenayah lain, menurut laporan.
"Saya tidak menafikan dan ada kemungkinan anggota keselamatan turut terlibat, "kata Khalid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman pada Jumaat.
Rakyat Filipina yang memasuki Sabah tanpa dokumen yang sah juga boleh didakwa kerana melanggar undang-undang imigresen Malaysia, katanya
Pada September 28, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata pembocoran maklumat berlaku apabila maklumat sulit mengenai aktiviti ESSCOM telah disampaikan kepada musuh-musuh negara, akhbar New Straits Times melaporkan.
"Saya tidak menuduh sesiapa tetapi tidak mustahil, maklumat telah disalurkan kepada musuh-musuh kita," kata saluran berita Malaysia memetik Zahid sebagai berkata.
"Mereka [musuh] juga sedar aset yang diperlukan oleh [ESSCOM] dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan mungkin tidak lengkap, dengan itu kekuatan dan kelemahan sudah dikenalpasti," kata Zahid, menurut NST.
Berhampiran
Pantai timur Sabah, di mana ESSCOM berpangkalan, terletak berhampiran dengan kepulauan Sulu di selatan Filipina dan kawasan di mana enam anak kapal Malaysia dan dua kelasi Indonesia diculik dan masih berada di dalam tahanan Abu Sayyaf atau kumpulan militan selatan Filipina yang lain, yang menculik untuk wang tebusan.
ESSCOM, arahan keselamatan serantau, telah diwujudkan selepas serangan pada Februari 2013 di mana 200 pengikut setia Jamalul Kiram III, yang menggelarkan dirinya Sultan Sulu menyerang Lahad Datu di Sabah, mereka menggelarkan diri mereka Tentera Diraja Sulu. Tujuh puluh dua orang terbunuh dalam pertempuran yang tercetus di antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh bersenjata itu.
Tindakan keras yang diambil pihak berkuasa Malaysia dan ESSCOM itu turut mengambil tempat di tengah-tengah serangan tentera Filipina yang diarahkan oleh presiden baru negara itu, Rodrigo Duterte, yang berikrar mengambil tindakan keras terhadap kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpusat di selatan negara berkenaan
Bulan lepas, Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa kerajaan negara itu berhasrat untuk meningkatkan keselamatan di timur Sabah dengan tujuan menghindari ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pelampau yang berpangkalan di Timur Tengah yang menamakan diri mereka Negara Islam (IS) dan juga oleh Abu Sayyaf dan lain-lain kumpulan militan di selatan Filipina.
Perniagaan menguntungkan
Kumpulan Abu Sayyaf, rangkaian militan yang berjanji setia kepada IS, telah mengumpul berjuta-juta dolar hasil daripada kegiatan penculikan sejak kebelakangan ini, menurut laporan dalam talian.
Tahun ini sahaja, Abu Sayyaf telah mengumpul sekurang-kurangnya $354.1 juta peso (AS$7.3 juta) hasil daripada pembayaran wang tebusan, laman web berita yang berpangkalan di Filipina Rappler.com melaporkan.
Kumpulan berkenaan juga telah memancung kepala sekurang-kurangnya tiga lelaki tahun lalu apabila tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi. Dua rakyat Kanada telah dipenggal kepala mereka pada April dan Jun manakala seorang lelaki Malaysia, Bernard Then, juga telah dibunuh dengan memenggal kepalanya pada November 2015.
Sementara itu, Filipina, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan terhadap pelayar di rantau itu. Ketiga-tiga negara jiran berkenaan telah berbincang mengenai keperluan rondaan maritim secara bersama dalam menghentikan penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan lain di laut Sulu dan Sulawesi yang bersempadanan antara kesemua negara, tetapi masih belum melancarkan sebarang rondaan.