Buruh Paksa: Malaysia Bekerjasama Dengan ILO Rangka Pelan Empat Tahun
2021.07.28
Kuala Lumpur

Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sedang merangka pelan tindakan nasional empat tahun dalam usahanya untuk menangani isu buruh paksa dalam pelbagai sektor termasuk perladangan dan pembuatan yang dijangka akan dilancarkan sebelum penghujung tahun ini, demikian menurut Kementerian Sumber Manusia.
Langkah Putrajaya menjalinkan kerjasama dengan ILO itu bertujuan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi isu berkaitan buruh paksa selepas Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu mengenakan sekatan import terhadap tiga syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor pemprosesan produk getah dan kelapa sawit, atas dakwaan menggunakan buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sedang dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) bagi tahun 2021 hingga 2025.
“Pembangunan NAPFL ini telah melalui beberapa siri perbincangan bermula sejak tahun 2019 dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” kata kenyataan media oleh Kementerian Sumber Manusia yang dikeluarkan di Putrajaya pada Rabu.
Kementerian itu berkata NAPFL yang bakal dilancarkan sebelum penghujung tahun 2021, boleh dijadikan panduan oleh semua pihak terutamanya majikan dalam memastikan tiada elemen buruh paksa dalam rantaian perniagaan mereka.
“Pelancaran NAPFL mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan isu buruh paksa dalam negara dapat ditangani secara kolektif dan efektif... selain menjadi pelengkap kepada Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP) yang telah dilancarkan oleh Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri pada 31 Mac 2021,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, seorang jurucakap KSM memberitahu BenarNews kajian selama dua tahun itu akan digunakan sebagai rujukan asas bagi melihat situasi buruh paksa dalam sektor kelapa sawit dan cadangan daripadanya akan diambil kira semasa merangka deraf NAPFL.
“Cadangan daripada kajian ini akan diambil kira dalam merangka deraf NAPFL, dengan kementerian cuba melibatkan sebanyak mungkin pihak yang berkepentingan serta mengalu-alukan pandangan orang awam terhadap deraf dokumen NAPFL yang telah dimuatnaik di laman sesawang kementerian,” kata jurucakap itu yang enggan dinamakan kepada BenarNews kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap kepada media.
Malaysia menguasai 33 peratus daripada pasaran global dalam industri pemprosesan getah dan kelapa sawit dunia, dan amat bergantung kepada kira-kira dua juta pekerja migran terutamanya dari Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Nepal dalam industri perladangan dan pengeluaran sarung tangan getahnya.
Pada Julai tahun lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) telah mengenakan sekatan import terhadap produk pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove, atas dakwaan penggunaan buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.
Beberapa bulan selepas itu, dua lagi syarikat pengeluar iaitu FGV Holdings Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad, juga telah dikenakan tindakan sekatan import bagi semua minyak sawitnya dan produk berkaitan yang dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat dari Malaysia itu, atas dakwaan wujud elemen buruh paksa di ladang milik syarikat-syarikat tersebut.
Undang-undang Persekutuan AS melarang pengimportan barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa dan buruh tanpa jaminan termasuk buruh kanak-kanak.
Berikutan langkah sekatan oleh CBP yang telah merugikan itu, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan pada Oktober tahun lepas telah memberi jaminan yang kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang melanggar undang-undang buruh.
Saravanan juga dipetik sebagai berkata oleh media tempatan bahawa Malaysia akan menghantar laporan komprehensif mengenai situasi dalam sektor minyak sawit negara itu kepada AS untuk mengelakkan sekatan tambahan keatas komoditinya.
“Pada waktu ini negara amat bergantung kepada pasaran eksport (barangan) khususnya minyak sawit, untuk hasil negara dan ia (larangan import) bukan petanda yang baik kepada negara,” katanya ketika mengulas sekatan oleh CBP.
Dalam pada itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan komitmen kerajaan Malaysia untuk memastikan Top Glove sentiasa mematuhi peraturan ILO berkaitan buruh paksa.
“Amalan buruh yang baik sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia di semua sektor agrikomoditi kerana Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan kebajikan pekerja, sekaligus menyatakan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa,” katanya dalam satu kenyataan pada April lepas.
Terbaharu pada awal Julai, Amerika Syarikat telah menurunkan kedudukan Malaysia kepada tahap paling corot, iaitu Tahap 3 (Tier 3) dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021, dengan berkata Putrajaya gagal menangani isu buruh paksa melibatkan pekerja migran dan tidak mendakwa pegawai terlibat dalam jenayah berkaitan.
KSM tidak punya kuasa
Dalam pada itu, pakar antarabangsa dalam hak asasi migran Andy Hall melahirkan kebimbangannya terhadap pelan tindakan yang akan dilancarkan oleh Putrajaya itu, dengan berharap ia tidak sekadar berakhir di atas kertas di tangan KSM yang tidak mempunyai kuasa, walaupun usaha itu menurutnya adalah sesuatu yang amat baik.
“Untuk menangani isu buruh paksa secara holistik di Malaysia, ia menuntut kepada memberi keutamaan terhadap isu asas seperti amalan rasuah secara sistematik dan kekebalan terhadap tindakan keatas pegawai kerajaan dan ahli politik yang secara jelasnya dikaitkan dan menjadi punca kepada kewujudan buruh paksa di peringkat awal,” katanya kepada BenarNews, sambil merujuk kepada kelemahan para pegawai di KDN.
Menurutnya, KSM tidak mempunyai kuasa untuk mengawal agenda atau polisi berkaitan migrasi dan buruh paksa di negara itu, kerana hampir semua kuasa yang mampu memastikan perubahan yang lebih baik, berada dalam bidang kuasa KDN.
Beliau mendakwa KDN yang memberi keutamaan kepada keselamatan negara berbanding ekonomi dan keselamatan manusia, dan secara tidak langsung membuka ruang kepada amalan rasuah secara sistematik dan kekebalan dari tindakan.
“Amalan rasuah sistematik, kekebalan dari tindakan dan kelemahan akauntabiliti serta penguatkuasaaan undang-undang berhubung pemerdagangan manusia, buruh paksa dan penganiayaan terhadap buruh paksa di tempat kerja, tempat tinggal dan dalam proses
pengambilan, pendaftaran, regulasi dan penahanan serta deportasi – semua ini adalah isu utama yang seharusnya diberikan perhatian segera oleh kerajaan Malaysia,” tambahnya.