Pembantu domestik asing di Malaysia berdepan masalah eksploitasi - PBB

Kajian ILO menunjukkan berlakunya buruh paksa, kerja lebih masa yang berlebihan dan gaji rendah.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.15
Kuala Lumpur
Pembantu domestik asing di Malaysia berdepan masalah eksploitasi - PBB Seorang pembantu rumah warga Indonesia sedang bekerja di rumah majikannya di Kuala Lumpur, 26 Jun, 2009.
[Zainal Abd Halim/Reuters]

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab mengenai isu buruh pada Khamis melaporkan bahawa hampir satu pertiga daripada tenaga kerja asing yang berkhidmat sebagai pembantu domestik di Malaysia berdepan suasana kerja yang mengeksploitasi mereka termasuk dikawal pergerakan dan berlakunya insiden pengasingan.

Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di antara Julai dan September 2022 turut menemukan beberapa indikator buruh paksa seperti waktu bekerja yang begitu panjang, tidak dibayar untuk kerja lebih masa, gaji rendah serta dihalang berhenti kerja.

Kajian membabitkan 1,201 pekerja wanita asing di Malaysia, Singapura dan Thailand itu mendapati Malaysia mempunyai kadar tertinggi dari segi keadaan kerja di bawah takrifan ILO mengenai buruh paksa domestik iaitu 29 peratus manakala Singapura dan Thailand lebih rendah dengan masing-masing 7 dan 4 peratus.

"Di Malaysia, hasil kajian menunjukkan tahap pengasingan dan sekatan yang tinggi terhadap kebebasan pekerja domestik termasuk kebebasan bergerak dan menukar majikan.

“Impak ini berkemungkinan berlaku kerana kurangnya perlindungan terhadap pekerja domestik dari segi undang-undang, kekurangan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, kekurangan orientasi selepas ketibaan dan kepayahan dihadapi pekerja untuk menukar majikan disebabkan permit kerja mereka yang terikat dengan majikan sedia ada.

"Selain itu, majikan yang ingin menghalang pembantu domestik mereka daripada meninggalkan pekerjaan berkemungkinan mengunci atau mengawal pergerakan pekerja, satu langkah yang diharap mampu membuatkan pembantu rumah kekal tetapi sebenarnya menyebabkan pekerja terbabit meningkatkan usaha mencari jalan untuk melarikan diri," menurut laporan tersebut.

Menurut ILO, sehingga April tahun ini, dianggarkan 300,000 hingga 400,000 pembantu domestik migran bekerja di Malaysia dengan kira-kira 80 peratus adalah warga Indonesia, 15 peratus dari Filipina dan selebihnya dari Kemboja.

Laporan itu turut mendapati kebanyakan pembantu domestik migran, terutama di Malaysia dan Thailand, bekerja secara tidak formal dan oleh itu, tidak dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang buruh.

Ramai pekerja di Malaysia dan Thailand mempunyai status migran yang tidak teratur sehingga menyebabkan mereka lebih terdedah kepada eksploitasi.

“…tetapi terdapat juga bukti bahawa sejumlah besar pekerja domestik tetap, sepenuh masa dan tinggal bersama majikan berdepan situasi buruh paksa serta terdedah kepada eksploitasi lain – dengan 27 peratus pekerja berstatus tetap yang dikaji berdepan situasi buruh paksa, ” menurut kajian itu.

BenarNews telah menghubungi Menteri Sumber Manusia bagi mendapatkan komen namun tiada sebarang respons diterima sehingga artikel ini diterbitkan.

Sudah menjadi kebiasaan bagi keluarga di Asia untuk mengupah pembantu domestik, yang kebanyakannya adalah wanita dari negara seperti Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina, bagi membantu tugasan seperti menjaga kanak-kanak atau warga emas, memasak, membersihkan premis, berkebun serta menguruskan isi rumah.

Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia diletak di bawah pengawasan susulan dakwaan melakukan penganiayaan terhadap pekerja migran, termasuk penderaan ke atas pembantu domestik asing.

Pada Julai tahun lepas, Indonesia telah menggantung penghantaran pekerja ke Malaysia kerana mendakwa Kuala Lumpur melanggar perjanjian pengambilan pekerja asing dan meletakkan mereka dalam keadaan berisiko dijadikan sebagai buruh paksa. Bagaimanapun, Indonesia menyambung semula penghantaran pekerja pada Ogos.

‘Perhambaan domestik’

Sementara itu, Malaysia naik satu anak tangga dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2023 Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dikeluarkan di Washington pada Khamis, daripada Tahap 3 kepada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian, tempat paling bawah yang didudukinya selama dua tahun lepas.

Negara dalam Senarai Pemerhatian Tahap 2 ialah yang kerajaannya tidak memenuhi piawaian minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Amerika Syarikat 2000 tetapi sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mematuhi piawaian itu, menurut laporan Jabatan Negara.

Laporan itu dalam makluman khas menyatakan bahawa "perhambaan domestik" adalah satu bentuk buruh paksa di mana penyeludup meminta mangsa bekerja di kediaman persendirian.

“Keadaan sedemikian mewujudkan kerentanan yang unik. Pekerja domestik sering diasingkan dan mungkin bekerja bersendirian di dalam rumah,” menurut laporan itu.

“Pekerja domestik asing amat terdedah kepada penderaan kerana halangan bahasa dan budaya, serta kurangnya hubungan masyarakat. Sesetengah pelaku mengambil kesempatan daripada keadaan ini untuk menjebak pembantu rumah sebagai buruh paksa dengan sedikit risiko pengesanan."

Glorene A Das, pengarah eksekutif kumpulan pejuang hak pekerja Tenaganita, bersetuju dengan dapatan ILO namun percaya ia harus turut merangkumi pembantu domestik tanpa dokumen yang dibawa masuk ke Malaysia secara haram.

"Oleh itu, saya merasakan bahawa bilangan mereka yang berdepan keadaan buruh paksa mungkin lebih tinggi," katanya kepada BenarNews.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, pula memaklumkan BenarNews bahawa hasil tinjauan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana aduan yang diterima tidak jauh berbeza dengan laporan ILO.

"Kebanyakan kes yang dilaporkan oleh pembantu domestik kami adalah tidak dibayar gaji, kerja berlebihan, dihalang daripada berkomunikasi serta dokumen peribadi mereka dirampas," kata beliau.

Minggu lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan pertemuan dan antara isu yang dibincangkan ialah perlindungan serta kebajikan pekerja warga Indonesia.

"Kedua-dua pemimpin mengakui komitmen kedua belah pihak untuk memperbaiki perlindungan hak asasi, kebajikan dan pekerjaan semua migran Indonesia di Malaysia," demikian menurut Jokowi dan Anwar dalam kenyataan bersama mereka.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.