Selepas Tandatangan Protokol ILO, Malaysia Wajib Hapuskan Buruh Paksa

Langkah itu susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan sekatan import terhadap sarung tangan getah dan produk minyak sawit.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-12-01
Share
Selepas Tandatangan Protokol ILO, Malaysia Wajib Hapuskan Buruh Paksa Seorang pekerja memunggah tandan buah kelapa sawit di sebuah ladang di Slim River, Perak Malaysia, 12 Ogos 2021.
Reuters

Malaysia mempunyai kewajipan dari segi undang-undang untuk mencegah semua bentuk buruh paksa dan menghukum pihak yang melanggarnya apabila menandatangani syarat tambahan Konvensyen Buruh Paksa selepas negara itu bersetuju meratifikasi protokol di bawah konvensyen itu, demikian menurut seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.

Perniagaan di negara Asia Tenggara itu, terutama pengeluar produk getah dan pemilik ladang kelapa sawit, telah menjadi sasaran dakwaan bahawa mereka telah menggunakan buruh paksa, dengan Amerika Syarikat mengenakan sekatan import terhadap produk lima syarikat yang didakwa menindas pekerja mereka, kata para pegawai dan penganalisis.

Diperkenal pada 2014, protokol tambahan kepada Konvensyen 1930 itu menyatakan bahawa negara penandatangan perlu menggubal dasar nasional dan pelan tindakan bagi mengekang buruh paksa, menurut Jodelen Mitra daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang merupakan sebuah agensi PBB.

“Dengan meratifikasi protokol itu, Malaysia menerimanya sebagai sesuatu yang mengikat dari segi instrumen undang-undang, menjadikan ia suatu komitmen rasmi untuk melaksanakan kewajipan dalam instrumen itu, dan menerima sistem pengawasan ILO, yang menyaksikan rakan kongsi sosial ILO termasuk kesatuan perdagangan, mungkin campur tangan,” kata Mitra kepada BenarNews.

Pada 26 Nov lepas, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan mengumumkan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk meratifikasi Protocol 29 semasa melancarkan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL). Pelan lima tahun itu menggesa mangsa buruh paksa disediakan dengan akses yang ditambah baik kepada remedi, perkhidmatan sokongan dan perlindungan, katanya.

Pengumuman Saravanan itu susulan dakwaan bahawa pengeluar di Malaysia terlibat dalam amalan buruh paksa. Dakwaan itu telah menyebabkan Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengenakan sekatan import ke atas beberapa syarikat.

Sekatan AS

Pada awal bulan ini, pengeluar sarung tangan getah Smart Glove menjadi syarikat kelima Malaysia dalam tempoh 15 bulan lepas yang dikenakan sekatan itu.

Pengeluar sarung tangan getah Supermax telah menyaksikan eksportnya ke Amerika Syarikat disekat pada Oktober manakala Top Glove pada Julai 2020 namun larangan itu ditarik balik sebelum kemudian selepas para pegawai AS mengesahkan bahawa syarikat itu telah menambah baik keadaan tempat kerja dan penginapan untuk pekerjanya.

Tahun lepas, AS turut mengenakan sekatan ke atas dua syarikat minyak sawit iaitu Sime Darby dan FGV Holdings Berhad daripada mengeksport produk mereka.

Syarikat ATA IMS dari Malaysia menjadi yang terkini menerima tempias dakwaan mengamalkan buruh paksa apabila syarikat pengeluar peralatan Amerika iaitu Dyson menamatkan kontraknya minggu lepas susulan audit berkaitan amalan buruh paksa daripada seorang pemberi maklumat.

Saravanan memaklumkan Ahli Parlimen bahawa jabatan buruh telah memulakan siasatan terhadap syarikat itu selepas menerima aduan, menurut agensi berita Reuters. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai siasatan atau aduan itu dan syarikat terbabit tidak memberikan maklum balas kepada permintaan agensi berita itu untuk mendapatkan komen.

Dalam kenyataannya pada Rabu, Saravanan berkata dakwaan itu menjejaskan pelaburan asing di Malaysia.

“Secara keseluruhan, isu buruh paksa yang dikaitkan dengan syarikat tempatan dalam bidang pembuatan peralatan elektronik, sektor sarung tangan dan ladang kelapa sawit telah memberikan imej buruk kepada negara serta mempengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap bekalan produk oleh Malaysia,” katanya.

Pada Jun lepas, Jabatan Negara AS telah menurunkan kedudukan Malaysia daripada Tahap 2 Senarai Pemantauan kepada Tahap 3 dalam laporan tahunannya mengenai Pemerdagangan Manusia (TIP).

Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah badan pemikir Washington, menyifatkan Malaysia sebagai “pesalah tegar.”

Sementara itu, Mitra berkata ILO telah menjalin kerjasama dengan kerajaan Malaysia berhuung isu buruh paksa sejak 2018.

“Malaysia sudahpun meratifikasi Konvensyen Buruh Paksa 1930 dan protokol tambahan itu,” katanya.

Keraguan

Aktivis hak asasi buruh dan migranAdrian Pereira pula berkata beliau tidak menjangkakan sebarang perubahan dalam layanan Malaysia terhadap pekerja asing.

“Saya telah putus asa dengan janji atau tindakan mereka dalam meratifikasi itu dan ini. Mereka telah melancarkan NAPTIP dan NAPFL … terlalu banyak Pelan Tindakan Nasional namun kes asas berkaitan buruh belum lagi diselesaikan,” kata Pereira kepada BenarNews.

Kementerian Dalam Negeri telah melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang (NAPTIP) pada Julai sebelum Kementerian Sumber Manusia melancarkan NAPFL.

Para pegawai berkata pelan itu bertujuan menghapuskan buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam tempoh lima tahun.

Pereira melahirkan keraguan meskipun terdapat komitmen oleh pihak kerajaan.

“Buruh paksa adalah satu isu yang amat kompleks dan daripada kes asas hinggalah yang paling terkehadapan yang kami kemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia sejak bertahun-tahun, kesemuanya belum lagi diselesaikan,” kata Pereira.

Beliau berkata Malaysia tidak memberikan hak secara rasmi untuk bekerja kepada pelarian dan pencari suaka.

“Ini bermakna beribu-ribu orang dalam golongan ini terpaksa bekerja sebagai buruh paksa disebabkan oleh dasar negara kita yang lemah,” katanya.

Sependapat dengan Pereira, Tashny Sukumaran yang merupakan seorang penganalisis politik dan buruh asing tempatan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berkata kerajaan boleh mengubah dasar untuk menghapuskan keadaan ini.

“Meskipun meratifikasi perjanjian yang melindungi bukan hanya pekerja asing malah semua pekerja adalah penting, hakikatnya terdapat banyak lagi yang boleh kita lakukan di lapangan,” kata Tashny kepada BenarNews.

Ini termasuk pemeriksaan rapi di kilang-kilang dan penalti sewajarnya terhadap majikan yang menindas pekerja domestik mereka. Tashny berkata kerajaan seharusnya menguatkuasakan Akta Pasport bagi menghalang majikan daripada amalan menyimpan pasport pekerja.

“Juga penting jika kerajaan boleh memastikan bahawa pekerja asing mempunyai akses kepada mekanisme ketidakpuasan hati dan prosedurnya bagi membolehkan mereka menentukan apa yang mereka ingin lakukan, sebagai contoh sama ada mereka ingin dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Dalam meletakkan Malaysia di ranking paling bawah iaitu Tahap 3, laporan TIP mengambil maklum bahawa pekerja asing sering dieksploitasi oleh majikan, ejen pekerjaan dan subejen yang tidak sah dengan mengenakan bayaran tambahan selepas ketibaan mereka yang membawa kepada buruh paksa menerusi pemerasan berdasarkan hutang.

Beliau berkata sikap sambil lewa Malaysia dalam melindungi hak pekerja melangkaui isu moraliti dan amat menjejaskan ekonomi negara.

“Tanpa pekerja asing, pemulihan ekonomi pasca COVID Malaysia akan terbantut dan memaksa kita sekali lagi bergantung harap kepada jiran kita yang tidak berdepan dengan masalah ini,” Tashny said.

Pada Oktober, Kementerian Kewangan berkata pandemik koronavirus menonjolkan penurunan ketara berhubung keluaran dalam negara kasar disebabkan kebergantungan negara kepada buruh asing.

“Rakyat Malaysia secara amnya agak keberatan untuk mengisi jawatan bagi pekerjaan dalam kategori 3D (kotor, bahaya, sukar) yang menyebabkan monopoli oleh pekerja asing dalam sektor tertentu,” menurut kementerian berkenaan ketika itu.

“Kebanyakan pekerja asing bekerja dalam sektor berintensif buruh seperti pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan pembantu rumah.”

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh