Malaysia Mulakan Program Untuk Sahkan Pendatang Asing Tanpa Dokumen

Hadi Azmi & Nisha David
2020.11.16
Kuala Lumpur, Malaysia
201116-MY-PlanImmigration620.jpg Pendatang asing tanpa dokumen menunggu untuk mengemukakan permohonan mereka menyertai program pengampunan Malaysia di ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, Malaysia, 27 Disember 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Isnin membuka ruang dan peluang selama enam setengah bulan kepada pendatang asing tanpa dokumen untuk memohon kepada kerajaan, menerusi majikan masing-masing, supaya mereka dibenarkan tinggal dan bekerja secara sah dalam sektor-sektor yang dianggap "sukar, berbahaya atau kotor" di negara itu.

Namun, sebuah kumpulan hak asasi manusia Malaysia meminta pekerja asing berkenaan supaya tidak membayar sesiapa pun bagi program pengesahan itu sehinggalah kerajaan mengumumkan maklumat lanjut mengenainya.

"Majikan perlu mengemukakan surat permohonan yang dilampirkan dengan latar belakang syarikat dan maklumat mengenai pekerja asing yang dimohon untuk mengikuti Program Kalibrasi Tenaga Kerja ini," kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan pada Jumaat selepas Menteri Dalam Negeri mengumumkan program tersebut.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ingin memaklumkan semua majikan yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghantar permohonan mereka melalui emel rekalibrasi@imi.gov.my bermula 16 November 2020.”

Hanya majikan daripada empat sektor sahaja yang dibenarkan memohon iaitu perkilangan, pembinaan, pertanian dan perladangan, kata Khairul Dzaimee.

Satu lagi program untuk pekerja tanpa dokumen yang memohon kembali ke negara asal turut bermula pada Isnin dan berlangsung selama enam setengah bulan juga.

“Pelan bagi memberi status sah kepada pekerja yang terlibat dalam empat sektor yang ditentukan itu "adalah penting untuk pemulihan semua sektor ekonomi yang terjejas akibat kesan negatif COVID-19," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Khamis.

Bank Dunia menganggarkan bahawa antara 1,23 juta hingga 1.46 juta pendatang asing tanpa dokumen bekerja di Malaysia pada 2017 manakala agensi berita Reuters melaporkan bahawa terdapat dua juta lagi adalah pekerja asing berdaftar.

Pekerja asing boleh berada di Malaysia sementara menanti majikan memohon pengesahan status mereka, kata kenyataan menteri berkenaan pada minggu lalu. Program ini juga terbuka kepada pekerja asing yang sedang ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen menyatakan pada minggu lalu bahawa majikan yang disenarai hitam bagi kesalahan yang berkaitan dengan imigresen tidak akan dibenarkan memohon program menjadikan pendatang asing sebagai pekerja sah mereka itu.

Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia akan bekerjasama dalam menentukan kelulusan permohonan selepas Jabatan Imigresen mengesahkannya, kata beliau.

Majikan perlu membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) jabatan itu, yang akan memproses permohonan tersebut dalam masa tujuh hari, menurut maklumat di laman web berkenaan.

Mengenai ePPAx, kelayakan majikan yang memohon ditentukan daripada beberapa aspek termasuk nilai dan jangka masa projek yang diperlukan majikan untuk menggunakan khidmat pekerja asing. Bagi majikan perladangan, jabatan itu akan mempertimbangkan jenis tanaman dan keluasan ladang serta jumlah pekerja tempatan dan asing yang sudah pun diambil bekerja oleh majikan.

‘Persoalan tidak berjawab’


Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Imigresen tidak pula menyatakan berapa lama pekerja asing berkenaan boleh berada di Malaysia selepas status mereka disahkan. Pihak kementerian dan jabatan itu juga tidak memaklumkan jumlah bayaran yang perlu ditanggung majikan bagi setiap permohonan, atau sama ada terdapat denda yang perlu dilunaskan bagi setiap permohonan pekerja itu.

Tiada makluman juga mengenai sama ada pekerja asing tanpa izin yang memilih untuk pulang ke negara asal mereka perlu membayar denda atau bayaran permohonan.

Bagi program Back for Good (B4G) yang diumumkan pada Julai 2019, pekerja asing tanpa izin boleh pulang secara sukarela ke negara  asal mereka tanpa berdepan tindakan undang-undang dengan syarat mereka menunjukkan tiket perjalanan pulang dan membayar denda RM700 (AS$170) seorang.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada Khamis hanya berkata bahawa kerajaan berharap dapat mengutip RM90 juta ($27.9 juta) "melalui kompaun dan pembayaran lain" yang dikenakan kepada  pendatang asing dan majikan.

Pada Isnin, BeritaBenar menghubungi beberapa pegawai di Jabatan Imigresen bagi mendapatkan semua maklumat tersebut. Tetapi, mereka memberitahu belum ada butiran yang boleh diberikan pada masa ini selain daripada apa yang dinyatakan dalam kenyataan Khairul Dzaimee pada Jumaat.

Kekurangan butiran ini menggusarkan kumpulan hak asasi, Tenaganita.

“Kami masih mempunyai banyak persoalan yang belum terjawab mengenai program legalisasi (rekalibrasi) baru untuk pekerja asing tanpa dokumen. Jangan terburu-buru membayar sesiapapun. Sila tunggu sehingga kami mempunyai maklumat rasmi dan sah,” kata Tenaganita, dalam beberapa poster yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya pada Jumaat.

Poster-poster itu dimuat naik dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Nepal, Bengali, Tagalog, Indonesia dan Inggeris.

Glorene A. Das, pengarah eksekutif Tenaganita, berkata pada Isnin bahawa program untuk menjadikan sesetengah pekerja asing tanpa izin itu sebagai sah kelihatan memanfaatkan pada sekilas pandang namun ia boleh membawa kepada eksploitasi pendatang asing dalam banyak industri yang kurang dikawal selia.

"Kita mugkin dikaitkan lagi dengan naratif pencabulan hak asasi manusia dan tenaga kerja dalam industri-industri ini," kata Das kepada BeritaBenar sambil memberitahu kerajaan  tidak boleh menjadikan hakikat menjadikan pekerja asing tanpa izin sebagai pekerja sah sebagai alasan untuk tidak mahu bertanggungjawab berhubung pencabulan hak.

"Oleh itu, adalah amat penting bagi kerajaan untuk mengadakan rundingan dengan para majikan, wakil pekerja asing, kedutaan dan pertubuhan masyarakat yang bekerja dengan pekerja asing di peringkat akar umbi mengenai cara terbaik untuk membangunkan dan melaksanakan program 'legalisasi' ini. ''

Das  berkata bahawa pelan untuk mengesahkan status pekerja asing tanpa dokumen tidak boleh digunakan hanya sebagai mencari pendapatan kerajaan.

"Pertimbangan untuk "mengesahkan" pekerja asing tanpa dokumen dengan permit berkerja satu atau dua tahun memerlukan komitmen tegas pihak kerajaan dalam memastikan pekerja migran tidak dijadikan sebagai ATM (Mesin Juruwang Automatik) sekali lagi,” kata Das.

"Komitmen ini perlu disokong dengan pelan pelaksanaan yang telus dan dirancang dengan teliti untuk memastikan pekerja migran yang mahu memohon permit kerja sementara dapat melakukannya tanpa sebarang kerumitan dan tanpa perlu ditanggung mereka sendiri."

Das berkata semua maklumat itu juga perlu disebarkan kepada pekerja asing berkenaan dalam bahasa yang difahami mereka supaya  mereka tidak perlu menggunakan ejen dan perantara.

Minggu lalu, Hamzah berkata bahawa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia akan berhubung dengan kedutaan dan suruhanjaya tinggi serta pemain industri untuk memaklumkan majikan dan pendatang asing tanpa dokumen mengenai apa sebenarnya program rekalibrasi dan pelan penghantaran pulang itu.

Suraya Ali, seorang aktivis hak asasi manusia, menyatakan bahawa langkah kerajaan itu boleh diperhalusi lagi.

"Program yang mahu dijalankan kerajaan ini bagus tetapi ia perlu diperhalusi bagi memastikan pekerja dan majikan dapat mematuhi prosedur," kata aktivis itu.

Minggu lalu, Hamzah berkata bahawa selepas tarikh permohonan bagi mendapatkan status pengesahan itu tamat pada 30 Jun 2021, Jabatan Imigresen akan mula melaksanakan Pelan Penguatkuasaan Holistik terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin.

Pelan itu menetapkan bahawa majikan yang didapati bersalah menggaji pendatang asing tanpa permit sah akan dikenakan hukuman maksimum RM50,000 atau hukuman penjara 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang diambilnya berkerja, kata Hamzah.

Majikan yang didapati bersalah kerana menggaji lebih daripada lima pekerja asing tanpa izin boleh juga dikenakan hukuman sebatan, katanya.

Menteri itu juga memberitahu bahawa beliau dan Menteri Sumber Manusia M. Saravanan akan mempengerusikan jawatankuasa khas yang akan bermesyuarat setiap tiga bulan bagi membincangkan sama ada pelan legalisasi itu perlu diperluaskan untuk pendatang asing tanpa dokumen dalam sektor lain.

Mesyuarat pertama dijadualkan pada 3 Disember ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Anonymous
Nov 22, 2020 06:56 AM

Bagi Pati yang tidak ada majikan, bagaimana caranya Pati ini mandapatkan informasi untuk dapat majikan yang baru untuk menguruskan program rekalibrasi tenaga kerja ini??? Terimakasih..

Harun
Jan 08, 2021 10:57 PM

Ingin buat permit

Mohd ridduan
Jan 14, 2021 09:36 PM

Sya rasa bimbang dgn nasib negara sekarang yg telah di banjiri dgn pendatang asing ni,..pihak kerajaan harus lah menapis dulu dan mengkaji dgn lebih details lagi tentang kemasukan warga asing d negara kita yg terlampau ramai ini,..mereka sudah kurang ajar d negara kita skrg oleh kerana undang-undang dan ada pihak yg memberi muka terlebih kepada mereka sampai mereka berani d negara kita sekarang ini,.
Skrang dah ramai warga asing menjadi boss n org melayu menjadi kuli,..ni negara siapa?
Ada warga asing berniaga tampa ambil tindakan sedang kan org melayu berniaga di ambil tindakan
Ni negara siapa?
Wanita melayu skrg dah ghairah dgn warga asing pihak kerajaan duk buat apa,?
Undang-undang Malaysia dah lemah oleh kerana politik tidak matang.,.,.,

Adammalik
Jan 16, 2021 11:41 AM

mohon bertanya saya mau daftar Permid saya bayar Rm.6500 Sudah 6bulan
Pertama saya sambung Permid ke11. Tetapi tetapi Kata majikan saya Emigresen tutup Saya tunggu sampai bulan 11 belum juga siap di sambung Permid saya lepas tu kerajaan umumkan Akan ada Lekalebrasi jadi Saya mintak ke majikan saya Di ganti ke Permid yg baru ini tetapi katanya Kerjaan belum lagi di resmikan ini Lekalebrasi jadi saya mohon ke Pada Tuan Apakah betul belum d Resmikan