Imigresen Malaysia asingkan tahanan Rohingya selepas rusuhan di Perak

Seorang tahanan mati dalam kemalangan di lebuhraya selepas cuba melarikan diri.
Ahmad Mustakim Zulkifli dan Ili Shazwani Ihsan
2024.02.02
Kuala Lumpur
Imigresen Malaysia asingkan tahanan Rohingya selepas rusuhan di Perak Polis mengiringi dua etnik Rohingya yang ditangkap ke sebuah van selepas lebih 100 melarikan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Bidor, di Perak, 2 Feb 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Jabatan Imigresen Malaysia merancang untuk mengasingkan tahanan Rohingya tanpa dokumen di depot-depot tahanan untuk mengurangkan sikap "agresif" dan menghalang mereka daripada melarikan diri, seperti insiden yang berlaku di Perak yang melibatkan lebih 100 tahanan minggu ini.

Seorang warga Rohingya daripada 131 tahanan yang melarikan diri dari Depot tahanan Imigresen di Bidor maut selepas dilanggar kereta di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada Khamis malam apabila cuba melarikan diri selepas membaling batu kepada kakitangan jabatan itu yang mengawal depot berkenaan.

Sehingga pukul 6 petang, empat warga Rohingya dilaporkan ditahan semula di sebuah kampung Orang Asli kira-kira 15 kilometer dari depot tersebut.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata susulan kejadian itu, pihak polis melaksanakan Op Tutup untuk mengesan baki tahanan yang masih melarikan diri.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ruslin Jusoh berkata lebih 300 anggota pelbagai agensi membabitkan JIM, polis, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dikerahkan untuk mengesan tahanan.

"Mereka bertindak secara beramai-ramai merempuh pintu jeriji besi dan melepasi pagar keselamatan dan keluar dari depot tersebut. Dua anggota RELA cedera kerana dipukul oleh tahanan yang menggunakan batu yang ada disekitar untuk membaling kearah petugas.

"Mereka yang melarikan diri menggunakan jalan belakang iaitu jalan kelapa sawit dan menuju ke lebuhraya. Mereka juga dipercayai berpecah kepada tiga kumpulan, di mana salah seorang cuba melepasi lebuhraya PLUS sehingga berlaku kemalangan dan meninggal dunia," katanya semasa sidang media pada Jumaat.

Tambah Ruslin, pihaknya akan mengasingkan tahanan-tahanan Rohingya yang dilihat lebih agresif berbanding tahanan lain, selain mempertingkat kawalan di semua 12 depot tahanan JIM di Semenanjung Malaysia.

Ujarnya, tahanan-tahanan itu mempunyai rekod cuba mencari jalan untuk keluar dari depot yang lengkap dengan pagar anti-panjat dan kawat berduri dan depot di Bidor itu ditutup buat sementara waktu.

Sebagai rekod, depot tersebut mempunyai 566 tahanan dengan 297 tahanan merupakan etnik Rohingya, diikuti Myanmar (110), Indonesia (82), Bangladesh (22) dan lain-lain warganegara.

JIM telah mengambil tindakan memindahkan baki tahanan di Bidor yang tidak melarikan diri.

MY-pic-2 (3).JPG

Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di pintu masuk di Pusat Tahanan Imigresen Bidor, di Perak, di mana berpuluh-puluh tahanan melarikan diri, 2 Februari 2024. [Hasnoor Hussain/Reuters]
Tahan tanpa tindakan

Sementara itu, tahanan yang melarikan diri pada Khamis, menurut aktivis hak asasi pelarian Mahi Ramakrishnan, bukan PATI tetapi pelarian yang mahu melepaskan diri daripada kekejaman di Myanmar.

"Jika Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dibenarkan untuk akses di kem-kem tahanan Imigresen, mereka boleh melakukan penentuan status pelarian (RSD), dan mendaftarkan mereka.

"Sebaliknya kita menahan mereka tanpa apa-apa tindakan undang-undang dan tiada siapa yang tahu sama ada mereka dihantar pulang ke Myanmar atau tidak," katanya kepada BenarNews.

Jelas Mahi yang mengasaskan pertubuhan Beyond Borders, tindakan melarikan diri terbaharu itu sudah boleh dijangka kerana mereka dilayan seperti penjenayah.

Beliau juga menegaskan yang Malaysia memerlukan sistem yang membolehkan laluan selamat untuk pencari suaka.

Ketika ini, terdapat kira-kira 180,000 pelarian di Malaysia yang mana lebih 50 peratus adalah etnik Rohingya yang berdepan pembunuhan di Myanmar. Malaysia, bagaimanapun tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, sekali gus tidak mengiktiraf status mereka sebagai pelarian.

Justeru, pelarian diklasifikasikan sebagai PATI yang memegang kad UNHCR. Pemegag kad UNHCR di Malaysia tidak dibenarkan bekerja, bersekolah atau mendapatkan penjagaan kesihatan seperti mana rakyat negara itu.

Sebagai rekod, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Deklarasi New York.

Mahi berkata, adalah ironi bagi Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim menjuarai hak rakyat Palestin di persada antarabangsa tetapi gagal memastikan keselamatan dan perlindungan pelarian di negara ini.

"Adakah kita hipokrit yang hanya mahu menjaringkan 'brownie point' untuk kekal berkuasa?"

Cari sebab rusuhan

Sementara itu, aktivis daripada North-South Initiative, Adrian Pereira berkata, pencari suaka dan pelarian tidak sepatutnya berada dalam tahanan depot.

"Apa yang menyebabkan mereka merusuh? Ini soalan penting. Pusat tahanan sememangnya direkodkan berada dalam keadaan yang teruk. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia perlu siasat apa puncanya," soal beliau.

Adrian berkata, kerajaan wajar mencari alternatif selain pusat tahanan yang disifatkannya membazir wang.

Dalam pada itu, Mahi menggesa kerajaan meletakkan moratorium untuk operasi serbuan JIM sehingga pihak Kementerian Dalam Negeri bertemu dengan organisasi masyarakat awam (CSO) yang bertugas di lapangan.

Sejak sebulan lalu, kerajaan giat melaksanakan serbuan besar-besaran di ibu kota dan beberapa negeri lain dalam usaha menangkap migran tanpda dokumen dan PATI yang bekerja di negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.