Indonesia Tuntut Keadilan Selepas Rakyat Malaysia Dibebaskan Dalam Kes Penderaan Maut Pembantu Rumah
2019.04.23
Jakarta
Para pegawai di Indonesia pada Selasa berkata mereka telah mendesak pendakwa raya Malaysia supaya membuat rayuan terhadap keputusan sebuah mahkamah tinggi membebaskan seorang wanita yang dituduh mendera hingga menyebabkan kematian seorang pembantu rumah Indonesia dan memaksanya tidur di luar rumah dengan seekor anjing pada tahun lepas.
Pembantu rumah itu, Adelina Lisao, 21, diselamatkan pada Februari 2018 selepas ditemui sedang tidur di luar rumah majikannya di Bukit Mertajam di negeri utara Malaysia, Pulau Pinang. Dia mengalami kecederaan pada wajah, tangan dan kakinya sebelum meninggal dunia akibat kegagalan organ di sebuah hospital pada hari berikutnya.
Majikannya, Ambika M.A. Shan, didakwa dengan pertuduhan membunuh dan berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan, tetapi Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah membebaskannya pada Khamis lalu tanpa sebarang sebab.
"Kami telah menyampaikan harapan kami agar pihak pendakwa raya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu," kata Lalu Muhammad Iqbal, pengarah bagi perlindungan pekerja Indonesia di luar negara di Kementerian Luar Negeri.
"Memandangkan ini adalah kes jenayah, ia adalah antara pendakwa raya menentang defendan. Hanya pendakwa raya sahaja yang boleh membuat rayuan, oleh itu, kami hanya mampu meminta pendakwa raya supaya membuat rayuan," katanya kepada BeritaBenar sambil memberitahu bahawa kerajaan Indonesia menghormati sistem perundangan Malaysia.
"Peguam Negara Malaysia masih menyiasat keputusan itu. Kami berharap akan ada hasilnya tidak lama lagi, "katanya.
Matlamat kementerian itu adalah supaya keluarga Adelina mendapat keadilan sewajarnya, katanya sambil memberitahu bahawa beliau terkejut dengan keputusan mahkamah tinggi itu.
"Pada masa keputusan itu dibuat, beberapa saksi utama tidak dipanggil pun memberi keterangan," katanya.
Polis dan beberapa pegawai lain menyelamatkan Adelina kita-kira 14 bulan lalu setelah pihak berkuasa menerima aduan daripada jiran majikan pembantu rumah itu, kata ahli majlis tempatan Joshua Woo Sze Zeng ketika itu.
Woo berkata beliau menemui pembantu rumah itu sedang tidur di ruang luar rumah dan mendapatinya mengalami kecederaan.
Dia dipaksa tidur beralaskan tikar hampir dua bulan bersama-sama seeekor anjing Rottweiler yang diikat berhampirannya, menurut seorang jiran.
Polis menahan Ambika, 61, dan dua anaknya selepas Adelina dibawa keluar dari rumah mereka.
Peguam Ambika, Anbananthan Yathiraju, berkata keputusan mahkamah itu wajar kerana Adelina telah memberitahu kakitangan hospital bahawa dia tidak didera tetapi mengalami alahan "bahan kimia" semasa membersihkan tandas, lapor Free Malaysia Today.
"Tidak ada apa yang mencurigakan berhubung pembebasan itu. Tertuduh dibebaskan mengikut lunas undang-undang, "katanya.
Sementara itu, aktivis Indonesia, Sarah Lerry Mboik berkata, beliau amat berharap adanya keadilan untuk wanita itu. Beliau mewakili ibu Adelina, yang tinggal di daerah terpencil di wilayah Nusa Tenggara Timur.
"Dia hanyalah seorang gadis miskin yang mencari nafkah untuk menanggung keluarganya di kampung, tetapi dia tidak pernah dibayar gaji. Hanya kerana dia miskin, ini tidak bermakna dia tidak layak mendapat keadilan," kata aktivis Yayasan Perkumpulan Pengembangan Inisiatif dan Advokasi Rakyat itu kepada BeritaBenar.
"Saya harap adanya keadilan untuk Adelina. Saya berharap penyokong hak asasi di sana dapat mendedahkan kes ini, yang berpunca daripada pemerdagangan manusia. Adelina adalah mangsanya," kata beliau.
Sokongan Malaysia
Gesaan kerajaan Indonesia supaya rayuan dibuat terhadap keputusan mahkamah itu mendapat sokongan Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Tenaganita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia yang memperjuangkan hak-hak wanita dan pendatang asing.
Sim berkata beliau telah menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas, dan Thomas berjanji untuk menyiasat sendiri kes itu.
"Saya percaya Peguam Negara dan sistem perundangan akan menegakkan keadilan," kata Sim dalam satu kenyataan.
Sim berkata Malaysia memerlukan undang-undang yang lebih baik untuk pekerja asing kerana hak asasi manusia perlulah dilindungi.
"Apa yang lebih penting, kita perlu memastikan tragedi itu tidak berulang di negara ini lagi," katanya.
Tenaganita pula menyalahkan sistem mahkamah.
"Kami amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Kami tidak dapat membayangkan kesedihan yang ditanggung oleh keluarga Adelina," kata Tenaganita dalam satu kenyataan. "Pejabat Peguam Negara perlu menjelaskan mengapa pihak pendakwaan gagal mendapatkan keadilan untuk Adelina, walaupun terdapat bukti jelas dalam kes ini."
Pembantu rumah di Malaysia sering menjadi mangsa penderaan lisan dan fizikal majikan dengan perbuatan buruk itu berleluasa akibat kurangnya perlindungan undang-undang untuk mereka.
Mangsa-mangsa yang dapat melarikan diri daripada pekerjaan yang bersifat mendera dan eksploitasi pula dihukum pihak berkuasa mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen sah, kata Tenaganita.
Ia berkata satu petisyen dalam talian yang dilancarkan pada Ahad telah mengumpul lebih daripada 12,000 maklum balas.
Sebuah kumpulan yang memperjuang hak buruh Indonesia turut mengecam keputusan mahkamah tinggi itu.
"Migrant Care mendesak kerajaan Indonesia supaya membantah dan membuat rayuan terhadap keputusan itu dengan mengumpul keterangan dan bukti yang boleh membatalkan keputusan itu," kata Pengarah Eksekutif Migrant Care Wahyu Susilo kepada BeritaBenar.
Penderaan pembantu rumah berleluasa
Tidak lama selepas kematian Adelina, The Straits Times melaporkan bahawa 250,000 wanita, yang kebanyakannya dari Indonesia dan Filipina, bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
Akhbar itu yang berpejabat di Singapura melaporkan mengenai penderaan pembantu rumah yang berlaku sejak lebih sedekad lalu.
Antaranya ialah kes yang dilaporkan pada 2004 di mana seorang pembantu rumah berusia 20 tahun "diseksa oleh majikannya dengan seterika panas," kes 2010 di mana seorang pembantu rumah berusia 26 tahun dipukul dengan tali pinggang, tubuhnya melecur akibat dicurah dengan air panas dan payudaranya ditekan dengan seterika panas, "dan kes pada 2016 di mana seorang pembantu rumah berusia 19 tahun tidak dapat dikenali berikutan “ kecederaan teruk yang dialaminya selepas dia dipukul majikannya setiap hari. "
Tenaganita melaporkan bahawa ia mengendalikan 120 kes pekerja asing yang didera dari Jun hingga Disember 2017. Daripada kes tersebut, sebanyak 82 melibatkan wanita dan kebanyakannya bekerja sebagai pembantu rumah.