Malaysia Tahan Pasangan Suami Isteri Dera Pembantu Rumah Indonesia
2020.11.30
Kuala Lumpur
Sepasang suami isteri rakyat tempatan yang berada dalam tahan polis sejak Rabu lepas, akan didakwa di mahkamah atas kesalahan mendera, pengurung pembantu rumah warga Indonesia yang semasa diselamatkan anggota keselamatan mengalami kecederaan parah seluruh anggota badan, demikian kata pihak berkuasa Malaysia pada Isnin.
Wanita berusia 26 tahun yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas cedera di muka, kaki dipercayai disiram air panas turut didera menggunakan pisau dengan terdapat kesan kecederaan di bahagian dagu dan tangannya, kata Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai kepada Berita Benar.
Selain itu menurut sumber polis, pembantu rumah itu juga ditinggalkan di luar rumah dan dipaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak diberikan kebenaran ke tandas dengan alasan majikan mahu mengawal pergerakannya.
“Pihak polis berjaya menyelamat wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada sepasang suami isteri rakyat tempatan, iaitu selepas mendapat maklumat daripada Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan hak asasi manusia yang terdahulu itu menerima panggilan di talian hotline Tenaganita memaklumkan mengenai penderaan yang berlaku di rumah tersebut pada 23 November lepas.
“Semasa diselamatkan wanita warga Indonesia itu mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan badan....sehubungan itu, polis menahan sepasang suami isteri berusia 42 tahun, untuk siasatan dan keduanya telah direman sejak 25 November sehingga 4 Disember.
“Pasangan itu akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 sebelum tarikh reman tamat," kata Beh sambil menambah jika didapati bersalah, pasangan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda.
Beh berkata, siasatan awal mendapati mangsa bekerja di rumah pasangan berkenaan dengan permit yang sah sejak 13 bulan lalu namun mula didera selepas tidak berpuas hati dengan prestasi kerja malah mangsa juga tidak dibayar gaji sebanyak RM1,200 (AS$295).
"Polis Sentul bersama sepasukan anggota dari Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman membuat pemeriksaan di rumah pasangan itu di Taman Batu Jinjang, Sentul pada 24 November jam 3 petang dan selepas menyelamatkan mangsa, kedua-dua majikannya ditahan manakala pisau, gunting, kerusi serta periuk yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas," tambah Beh.
Sumber polis yang dekat dengan siasatan mengesahkan kepada BeritaBenar memberitahu selain dibiarkan tinggal diluar rumah dan terpaksa memakai lampin pakai buang, mangsa juga pernah dibiarkan kebuluran lebih lapan hari majikannya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das memberitahu BeritaBenar semasa diselamatkan mangsa yang sangat kurus dipercayai tidak diberi makan bagi tempoh yang lama, berkudis di kedua-dua kaki serta berada dalam kesakitan dan terdapat kecederaan di seluruh badannya.
"Tenaganita bersama beberapa kumpulan hak asasi termasuk Inisiatif Utara-Selatan ingin membuat tuntutan supaya satu undang-undang khusus diwujudkan bagi pembantu rumah berikutan undang-undang yang sedia ada tidak dapat melindungi mereka sepenuhnya.
"Pembantu rumah juga dikecualikan dari banyak peruntukan mengikut akta yang sedia ada, meskipun Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan garis panduan untuk majikan yang menggajikan pembantu rumah ini, namun wujud banyak persoalan mengenai keberkesanan peraturan dan mekanisme pemantauan," kata Glorence semasa dihubungi pada Isnin.
Dalam pada itu, Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira memberitahu BeritaBenar yang rakyat Malaysia tidak akan belajar dari kesilapan lampau.
"Amerika Syarikat (AS) patut mengenakan sekatan keatas Malaysia dan menurunkan piawaian ke tahap 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara itu. Malaysia juga memerlukan undang-undang khas bagi melindungi pembantu rumah mengikut peruntukan undang-undang negara, dengan memberi gaji setaraf pekerjaan dan layanan adil," kata Adrian semasa dihubungi.
Kes penderaan pembantu rumah di Sentul itu, bukanlah satu kes baru, malah terdapat beberapa kes pembantu rumah didera sehingga meninggal dunia, dan pada Februari 2018, seorang pembantu rumah Indonesia, Adelina Lisao, ditemui mati di luar rumah majikannya di Pulau Pinang, dengan kepala dan mukanya bengkak.
Majikannya telah didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kematian tetapi dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Adeline oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas kes berkenaan dibawa ke mahkamah tersebut, pada 21 September lalu.
Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Ambila MA Shan, 62, majikan Adelina itu telah mendapat kritikan hebat daripada kumpulan hak asasi manusia di Malaysia dan Indonesia yang melihat keputusan itu sebagai memberi isyarat merbahaya kepada pengeksploitasi manusia, kegagalan menegak keadilan dan penguatkuasaan yang lemah melibatkan hak pembantu rumah.