Tuntutan sempadan: Malaysia perlu buat persiapan lebih rapi sebelum berunding
2024.01.09
Kuala Lumpur
Malaysia perlu membuat persediaan lebih rapi berbanding sebelum ini dan bersedia untuk bertegas dalam berunding mengenai pertindihan tuntutan sempadan dengan Indonesia, kata para penganalisis, susulan kenyataan Jakarta berhubung sasaran untuk menyelesaikan tiga isu dua hala negara berjiran itu menjelang penghujung tahun ini.
Seorang penganalisis berkata, Putrajaya tidak membuat persediaan yang benar-benar rapi dan tanpa kehadiran kumpulan pakar berhubung kes tuntutan bertindih ke atas Batu Puteh (Pedra Branca) dengan Singapura, yang menyaksikan keputusan mahkamah antarabangsa tidak menyebelahi Malaysia pada 2008.
“Berdasarkan pemerhatian saya, masalah terbesar kerajaan Malaysia adalah sikap, dan tidak membuat persiapan rapi apabila berunding mengenai perkara berkaitan sempadan dan kedaulatan negara.
“Malaysia juga perlu membuat kajian dengan tersusun apabila berunding dengan Indonesia kerana negara jiran kita telah meletakkan sasaran untuk menyelesaikan rundingan menjelang penghujung tahun ini yang sudah semestinya telahpun mendapatkan khidmat nasihat daripada kumpulan pakar,” kata Yazid Zul Kepli, pakar undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi pada Isnin yang memberitahu negara itu menyasarkan untuk menyelesaikan tiga segmen sempadan darat dengan Malaysia menjelang hujung tahun ini.
“Contoh yang paling mudah adalah isu tuntutan ke atas Batu Puteh…. Persiapan Malaysia tidak teratur, tidak dijalankan dengan rapi seperti yang sepatutnya,” katanya sambil merujuk kepada pulau kecil yang terletak lebih kurang 14 kilometer selatan Tanjung Penyusup di Johor dan 44 kilometer di timur Singapura.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpangkalan di The Hague pada Mei 2008 telah memutuskan bahawa pulau yang menjadi rebutan di antara Malaysia dan Singapura adalah milik republik itu.
Keputusan itu menimbulkan kekecewaan rakyat tempatan, khususnya penduduk negeri Johor yang terjejas dengan keputusan apabila kapal tentera Malaysia kehilangan hak untuk mengawal perairan dan nelayan di Pengerang turut kehilangan hak menangkap ikan di sekitar pulau Batu Puteh.
Yazid berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Putrajaya adalah mengumpulkan pakar-pakar perundangan dan sejarah.
“Semestinya kita memerlukan kumpulan pakar perundangan, namun lebih daripada itu kita juga memerlukan pakar-pakar dalam bidang sejarah. Kesemua mereka memainkan peranan yang amat penting dalam mengumpulkan bukti-bukti yang kukuh,” tambahnya lagi.
Jawatankuasa
Beliau seterusnya mencadangkan supaya kerajaan membentuk sebuah jawatankuasa yang melibatkan pakar tempatan dan antarabangsa dalam usahanya untuk menyelesaikan permasalahan persempadanan dan kedaulatan sebelum mengadakan perbincangan dengan negara jiran terlibat.
“Malaysia juga perlu membuat kajian dengan tersusun apabila berunding dengan Indonesia kerana negara jiran kita telah meletakkan sasaran untuk menyelesaikan rundingan menjelang penghujung tahun ini yang sudah semestinya telahpun mendapatkan khidmat nasihat daripada kumpulan pakar,” ujarnya lagi.
Kenyataan Retno itu dibuat semasa sesi pembentangan laporan pencapaian diplomasi Indonesia di Bandung, Jawa Barat yang merujuk kepada tiga segmen di wilayah persempadanan Sabah dan Kalimantan yang melibatkan Pulau Sebatik, Sinapad-Sesai dan West Pillar-AA 2.
Ketiga-tiga segmen tersebut masih menjadi pertikaian Malaysia dan Indonesia terletak di garisan sempadan yang dikongsi oleh kedua-dua di antara Sabah dan Kalimantan di Kepulauan Borneo.
Pulau Sebatik sebagai contoh, terletak di Daerah Nunukan Wilayah Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Malaysia.
Rundingan kedua-dua negara berjiran itu berhubung sempadan di ketiga-tiga kawasan itu telah berlanjutan sejak 24 tahun yang lalu dan pentadbiran republik itu berhasrat menyelesaikan isu berkenaan sebelum penghujung 2024.
“Perjanjian di antara Indonesia dan Malaysia berhubung dua segmen sempadan maritim di Laut Sulawesi dan bahagian selatan Selat Melaka telah dimeterai pada Jun 2023, selepas rundingan selama 18 tahun.Tiga segmen sempadan darat dengan Malaysia di Kalimantan-Sabah telah disepakati sejak 2017 sehingga 2019.
“Sementara itu, tiga lagi segmen sempadan darat iaitu segmen Pulau Sebatik, segmen Sinapad-Sesai dan West Pillar-AA 2 yang terletak di Kalimantan-Sabah, disasarkan penyelesaian pada 2024 selepas rundingan berlanjutan selama 24 tahun,” kata Retno pada pembentangan tersebut.
Menurut Menteri Luar Indonesia itu lagi, kementeriannya akan terus memberi keutamaan kepada diplomasi kedaulatan atas semangat menghormati kedaulatan dan integriti wilayah negara lain berdasarkan prinsip yang harus dihormati oleh semua negara tanpa kecuali.
Beliau mengakui rundingan sempadan antara negara bukan perkara yang mudah dan memerlukan komitmen yang tinggi untuk diselesaikan.
Enggan lepas tuntutan
Dalam pada itu, pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Salawati Mat Basir berkata, rundingan mengenai Pulau Sebatik sukar dipersetujui kerana Indonesia enggan melepaskan tuntutannya.
“Pulau Sebatik terbahagi kepada dua bahagian, satu bahagian di Indonesia dan satu bahagian lagi di bawah Malaysia namun Indonesia bertegas menuntut kedua-dua bahagian pulau.
“Indonesia menggunakan kedua-dua bahagian pulau kerana ia merupakan laluan perdagangan yang penting kepada mereka. Banyak barangan dari Indonesia melalui kepulauan ini.
“Pada masa sama, agensi penguatkuasa Malaysia juga ditempatkan di situ setiap masa bagi memantau pulau tersebut dan kawasan sekitarnya bagi mengekang aktiviti penyeludupan. Kita cuba mencari penyelesaian dengan mereka,” kata Salawati kepada BenarNews.
Beliau berkata isu yang sama turut merumitkan rundingan bagi sempadan Sinapad-Sesai kerana Indonesia meluaskan tuntutannya ke atas sempadan di Kalimantan.
Menurutnya lagi, Malaysia telah memasang kamera keselamatan di sempadan tersebut dan terdapat bukti Indonesia melebarkan sempadan dengan pelbagai objek sebagai tanda.
“Sikap Indonesia adalah mereka berterusan menuntut had sempadan yang lebih besar. Mengapa kita perlu mengalah? Tidak sepatutnya kita mengalah. Ini adalah wilayah kita dan kita perlu bertegas.
“Ia seharusnya telah diselesaikan lama dulu selagi mana wujud situasi menang-menang. Namun, mereka mendesak kita untuk menuruti [kehendak] mereka. Bagaimana untuk diselesaikan?” soalnya lagi.
Azmi Hasan, pakar geo-strategis berpandangan rundingan untuk sempadan di Kalimantan dan Sabah tidak diberikan penekanan sebelum ini kerana ketiadaan kepentingan untuk dipercepatkan, selain bertujuan memelihara hubungan baik kedua-dua negara.
“Isu yang rumit mampu diselesaikan tetapi bergantung kepada kemahuan seseorang pepimpin sekiranya mahu mempercepatkannya. Kita masih ada masalah di Sulawesi di mana Indonesia menggelarnya sebagai blok Ambalat.
“Ini adalah isu sensitif kerana kawasan ini memiliki sumber minyak, gas dan mineral. Biarpun terdapat pertindihan tuntutan sempadan darat, ia tidak menjejaskan hubungan dua hala dengan Indonesia dan rundingan masih berjalan tanpa sebarang tekanan, melainkan perdana menteri mahu menjadikan ia sebagai isu yang perlu diberikan keutamaan,” katanya kepada BenarNews.