Polis Malaysia selamatkan amah Indonesia dikurung di balkoni kondominium
2024.06.10
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 11.50 pagi waktu tempatan ETS - 2024-07-02
Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin berkata mereka telah menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dikurung di balkoni sebuah kondominium di negeri Selangor dan menahan majikannya, dalam kes terbaru penderaan terhadap seorang pekerja rumah asing.
Penyelaras Migrant Care, Alex Ong berkata, pertubuhan itu pada tahun lalu merekodkan empat kes pemerdagangan dan penyalahgunaan pembantu rumah domestik Indonesia dan 59 kes lain membabitkan pekerja asing tanpa izin dari republik itu.
Mangsa berusia 21 tahun yang diselamatkan oleh pihak berkuasa pada Ahad lepas, baru seminggu bekerja di sebuah kondominium di Mutiara Damansara, Petaling, Selangor.
Ketua Penolong Pengarah Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman, Soffian Santong mendedahkan yang mangsa hanya dibenarkan masuk ke bahagian dalam rumah itu dari pukul 5 hingga 11 pagi untuk mengemas sebelum diarahkan berada semula di balkoni yang kemudian dikunci oleh majikan.
"Mangsa hanya dibekalkan bantal dan tilam serta terpaksa tidur dalam keadaan basah ketika hujan. Bagi menyelamatkan diri, mangsa menulis mesej meminta bantuan pada sekeping kertas sebelum mencampakkannya ke luar dari balkoni rumah itu," kata Soffian semasa dihubungi BenarNews pada Isnin.
Beliau berkata siasatan mendapati mangsa baru seminggu bekerja dengan majikan yang merupakan warga tempatan dan belum menerima sebarang bayaran gaji, selain mengadu dikurung dan dimarahi majikan setiap hari.
Katanya lagi, susulan daripada itu, polis menahan seorang wanita berusia 69 tahun dipercayai majikan mangsa yang kini disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
"Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63 iaitu kesalahan menggaji warga asing dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun," katanya.
Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, wanita itu telah direman selama satu hari pada Isnin sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dengan kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya.
Dalam pada itu Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang dihubungi BenarNews melahirkan rasa kesal dengan kes eksploitasi terbaru ke atas pembantu rumah warga Indonesia dan mahu tindakan lebih tegas diambil ke atas majikan supaya boleh dijadikan pengajaran kepada yang lain.
"Sungguh menyedihkan melihat penderaan terhadap pembantu rumah warga Indonesia terus berlaku. Saya berpandangan bahawa tindakan pantas dan lebih tegas perlu diambil ke atas majikan seperti ini sebagai langkah pencegahan.
"Saya telah membangkitkan isu ini dalam pertemuan dengan Peguam Negara Malaysia minggu lepas. Insiden tidak berperikemanusiaan ini juga menggariskan keperluan terdesak bagi kedua-dua negara untuk memeterai perjanjian persefahaman mengenai memerangi pemerdagangan manusia dan mengukuhkan pusat pemeriksaan sempadan," katanya kepada Benarnews.
Rekod kedutaan
Dalam kejadian berasingan di Klang, Selangor, tiga majikan iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia 30-an ditahan polis kerana disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia namun telah dibebaskan pada Sabtu lalu, berdasarkan maklumat yang dikongsi polis kepada Kedutaan Indonesia.
"Mangsa berusia 40 tahun berasal dari Jawa Barat dan kes dilaporkan kepada polis pada 1 Mei lalu.
"Tiga majikan itu ditahan pada 4 Jun di Bukit Tinggi, Klang dan kami dimaklumkan mereka direman selama empat hari untuk membantu siasatan," kata Hermono.
BenarNews telah menghubungi Polis Selangor untuk mendapatkan pengesahan berhubung kes berkenaan tetapi belum mendapat maklum balas.
Dalam rekod Kedutaan Indonesia yang dikongsikan dengan BenarNews, terdapat sebanyak 15 kes penderaan dan eksploitasi ke atas pembantu rumah warga Indonesia yang masih aktif dalam perbicaraan di mahkamah sejak 2014 hingga Mei lalu.
Sebanyak 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia dilaporkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak 2020 hingga Jun 2022.
Daripada jumlah itu, 22 kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, demikian menurut rekod kedutaan tersebut.
Menurut kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sehingga April 2023, dianggarkan 300,000 hingga 400,000 pembantu domestik migran bekerja di Malaysia dengan kira-kira 80 peratus adalah warga Indonesia, Filiipina (15 peratus) dan selebihnya Kemboja.
Kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia pernah menggemparkan Malaysia membabitkan Nirmala Bonat dari Nusa Tenggara Timur yang cedera parah akibat didera oleh majikannya di Villa Putera, Taman Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 2003.
Majikannya, Yim Pek Ha dilaporkan telah melekapkan seterika panas di beberapa bahagian tubuh Nirmala dan menyiram mangsa dengan air panas.
Nirmala yang kini berumur 40 tahun menerima ganti rugi RM349,496 (AS$74,360) setelah menang tuntutan sivil terhadap bekas majikannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 2015 atas kecederaan dan kesakitan yang dialami manakala Pek Ha menjalani hukuman 12 tahun penjara di Penjara Kajang
Satu lagi kes yang tragis membabitkan Adelina Lisao, pembantu rumah yang juga berasal dari Nusa Tenggara Timur.
Dia yang bekerja dengan majikannya sejak 2014 meninggal dunia jam pada 10 Februari 2018 di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas dijumpai di dalam keadaan parah dipercayai dicurah air panas.
Abai undang-undang imigresen
Alex mendakwa ramai mangsa yang tiba di Malaysia tidak dapat memohon permit kerja ekoran ramai majikan mengabaikan undang-undang imigresen hingga menyebabkan mereka tinggal lebih masa.
Berdasarkan rekod pihaknya, terdapat lebih 200 kes pemerdagangan pembantu rumah dalam talian dari 2018 hingga 2020.
"Malangnya kebanyakan kes sebegini, mangsa akan diklasifikasikan sebagai pelawat tinggal lebih masa.
"Kita sering berhadapan dengan dilema jurang dasar dan kemahuan politik birokrat Malaysia dalam memerangi pemerdagangan manusia.
"Pemerdagangan manusia adalah terlalu menguntungkan manakala penguatkuasaan undang-undang terlalu lemah untuk melindungi pekerja asing wanita,” tambah Alex lagi.
Presiden Persatuan Pekerja Rumah Tangga Indonesia Migran (PERTIMIG), Uli Rini berkata pembantu rumah Indonesia sering menjadi mangsa pemerdagangan manusia kerana kekurangan maklumat mengenai migrasi selamat dan prosedur di Indonesia.
Jelas beliau sepanjang tahun ini, PERTIMIG menerima aduan 10 kes berkaitan gaji tidak dibayar dan penderaan fizikal dan mental.
“Di Malaysia, terdapat kekurangan perlindungan undang-undang terhadap pembantu rumah dengan mereka tidak menikmati hak yang sama seperti pekerja lain.
“Penguatkuasaan undang-undang yang lemah tidak memberikan kesan pencegahan terhadap pelaku termasuk agensi dan majikan,” katanya yang sudah 14 tahun tinggal di Malaysia.
Uli Rini berkata ramai pembantu rumah Indonesia tidak menerima hak untuk mendapat satu hari cuti setiap minggu.
“Mereka diasingkan, dilarang berkomunikasi dengan orang luar dan apabila menghadapi masalah, amat sukar untuk mereka mendapatkan bantuan,” ujarnya.