Nasib amah Indonesia hampir mati dicabut gigi akhirnya terbela

Setelah sembilan tahun, mahkamah di Malaysia putuskan majikan bebas tuduhan cubaan bunuh tapi diarah bela diri dua dakwaan pemerdagangan orang.
Iman Muttaqin Yusof dan Noah Lee
2024.07.30
Kuala Lumpur
Nasib amah Indonesia hampir mati dicabut gigi akhirnya terbela Pembantu rumah warga Indonesia, Meriance Kabu bercakap kepada media selepas mengikuti keputusan kes penderaan dilakukan bekas majikannya di Mahkamah Sesyen Ampang, Kuala Lumpur, 30 Julai 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Selasa membebaskan seorang wanita daripada dakwaan cuba membunuh pembantu rumahnya dengan mencabut gigi mangsa menggunakan playar kira-kira 10 tahun lalu tetapi mengarahkan majikan tersebut membela diri terhadap pertuduhan penyeludupan manusia yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Mangsa, Meriance Kabu yang berasal dari Indonesia berkata dia berasa gembira kerana keputusan Mahkamah Sesyen Ampang itu akhirnya tercapai setelah menanti selama sembilan tahun walaupun bekas majikan, Ong Su Ping terlepas daripada dakwaan mencederakannya disebabkan senjata yang digunakan dalam kejadian tidak dikemukakan sebagai bukti.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob ketika membacakan keputusannya berkata tiada keterangan yang menyatakan bahawa Ong mempunyai niat untuk membunuh mangsa dalam tindakannya manakala pihak pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan elemen pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Bagi kedua-dua pertuduhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan prima facie,” kata beliau pada Selasa.

Menurut laporan media tempatan, Ong didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan mencabut empat batang gigi Meriance menggunakan playar di sebuah rumah di Pandan Jaya, Kuala Lumpur antara 11 April dan 20 Disember 2014.

Tertuduh juga didakwa cuba membunuh Meriance semasa mencederakan mangsa di tempat sama pada jam 6 petang pada 20 Disember 2014 yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Wan Mohd Norisham mengarahkan Ong dan seorang lagi wanita Sang Yoke Leng supaya membela diri mereka terhadap dua pertuduhan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) kerana mengeksploitasi mangsa menggunakan kekerasan dan Akta Imigresen kerana mengambil mangsa bekerja tanpa permit.

Untuk pertuduhan mengeksploitasi mangsa, Ong dan Sang yang kini masing-masing berumur 56 dan 53 berdepan hukuman penjara antara tiga dan 20 tahun serta boleh didenda.

Bagi dakwaan mengambil pekerja asing tanpa permit sah pula, mereka boleh didenda maksimum RM50,000 [AS$ 10,683] atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurut hakim, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Meriance telah diugut dan diancam oleh Ong yang juga telah berkali-kali mencederakan mangsa sehingga dia takut untuk meminta pertolongan.

Meriance turut didera dengan melakukan senaman dalam keadaan telanjang selain turut dipaksa memakan cili rebus bersama nasi.

“Mahkamah mendapati mangsa tidak bebas bergerak kerana sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, dikawal dan diperhatikan. Mangsa juga terpaksa meminta bantuan jiran secara sembunyi-sembunyi. Jelas dia berada dalam keadaan tertekan.

“Mahkamah mendapati mangsa bersetuju untuk bekerja sebagai pembantu rumah tetapi bukan untuk dijadikan beg tinju,” kata Wan Mohd Norisham.

majikanzalim.jpg
Tertuduh Ong Su Ping dan Sang Yoke Leng (menutup muka) tiba bersama peguam mereka di Mahkamah Sesyen Ampang, Kuala Lumpur, 30 Julai 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Berjuang untuk keadilan

Sementara itu, Meriance, 42, ketika ditemui pemberita pada Selasa merakamkan ucapan terima kasihnya kepada mahkamah dan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan yang dihadapinya selama ini.

Kata mangsa, walaupun perjalanannya untuk mendapatkan keadilan masih panjang, keputusan Mahkamah Sesyen Ampang merupakan langkah pertamanya dan dia akan terus berjuang.

"Kali ini baru saya tahu rakyat Malaysia prihatin terhadap kes saya. Sekarang sudah 10 tahun tapi warga Malaysia amat baik untuk mendampingi saya. Saya pasti dapat keadilan walaupun perjalanan masih jauh untuk perjuangkannya, hari ini mungkin hanya langkah pertama. Saya akan terus melangkah ke depan.

"Saya tidak pernah menyerah, rasa takut atau gementar untuk hadapi semua ini kerana saya tidak pernah rasa bersalah langsung dalam hal ini. Mati atau hidup, saya tidak bersalah maka saya berjuang sampai keadilan itu benar-benar sempurna,” kata Meriance penuh tekad.

CR Selva, peguam pemerhati yang dilantik oleh Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur berkata pihak hakim telah menetapkan tarikh 19 Ogos ini untuk sebutan dan bagi pihak pembelaan menyediakan kes mereka.

“Secara ringkasnya terdapat empat pertuduhan iaitu pemerdagangan manusia, imigresen dan dua kes membabitkan kanun keseksaan.

“Dua kes melibatkan kanun keseksaan telah dibebaskan kerana tidak cukup bukti, pihak pendakwa raya tidak membawa bukti tersebut. Dua lagi pertuduhan perlu untuk membela diri,” katanya kepada BenarNews.

Ditanya mengapa kes itu memakan masa hingga sembilan tahun, beliau berkata, sepanjang tempoh itu berlaku beberapa perkembangan termasuk mahkamah memberikan status dilepaskan tapi tidak dibebaskan (DNAA) dan kemudian pertuduhan dilakukan sekali lagi pada 2023. 

Duta Besar Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono dipetik BBC Indonesia pada Selasa berkata keputusan DNAA itu dibuat dengan alasan bahawa tiada bukti kukuh dibawa ke mahkamah antaranya pihak pendakwaan tidak mengemukakan laporan perubatan dari pihak hospital.

"Hasil laporan perubatan hanya diperoleh pada 2017, tempoh yang terlalu lama antara Disember 2014 hingga 2017, proses serahan laporan itu menjangkau hingga tiga tahun," katanya.

Setelah keputusan DNAA itu, kata Hermono, kes Mariance terbengkalai hingga akhirnya pertuduhan dilakukan semula pada tahun lalu.

“Kes ini baru dibuka semula setelah saya menemui Peguam Negara Malaysia pada waktu itu dan bertanya mengenai status kes Mariance. Setelah itu baru ia ditangani secara serius,” kata Hermono.

Penyelaras Migrant Care, Alex Ong berkata keputusan perbicaraan Meriance itu boleh dijadikan duluan untuk kes-kes lain membabitkan penderaan pembantu rumah pada masa akan datang.

Kata beliau, kes penderaan seperti yang dialami oleh mangsa itu merupakan perkara yang selalu berulang di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya.

"Pertuduhan di bawah ATIPSOM itu merupakan langkah alternatif yang boleh dibuktikan oleh pihak pendakwaan kerana mangsa telah menjadi mangsa sistem migrasi yang bersifat mendera,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.