Malaysia Umum Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis [IPCMC]
2018.09.21
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia pada Jumaat mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis [IPCMC] yang disambut baik oleh aktivis hak asasi manusia di negara itu selepas menunggu lebih 12 tahun.
Pengumuman mengenai penubuhan suruhanjaya itu dibuat Perdana Menteri Mahathir Mohamad selepas beliau mempengerusikan mesyuarat kali keempat Kabinet Khas mengenai Anti-Rasuah bersama Pusat Tadbir Urus Negara, Integriti dan Anti Rasuah [GIACC] di Putrajaya.
Mahathir berkata, IPCMC yang akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan [EAIC] akan menjadi badan bebas untuk meneliti aduan terhadap pihak berkuasa terutamanya polis dengan lebih menyeluruh.
“IPCMC akan menjadi sebuah badan bebas untuk mengkaji aduan terhadap pihak polis secara holistik, ekoran banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai polis,
“Penubuhan IPCMC juga merupakan usaha untuk membersihkan nama polis dan menentukan mereka juga mendapat layanan baik sebagai anggota polis dalam masa sama mereka perlu membersihkan imej mereka,” kata Mahathir.
Berita mengenai pengumuman kerajaan itu disambut baik oleh mereka yang sudah lama mendesak supaya IPCMC ditubuhkan. Antaranya peguam hak asasi terkenal Latheefa Koya.
"Saya gembira dan berpuas hati dengan pengumuman itu. Kami sudah menunggu begitu lama dan kami sangat berharap IPCMC akan menjadi badan bebas dan adil dan juga diberi kuasa untuk mendakwa dan menyiasat," katanya.
Seorang lagi aktivis, Sevan Doraisamy bersetuju dengan Latheefa sambil berkata bahawa IPCMC akan menjadi tiitk tolak untuk membawa perubahan didalam PDRM.
Sevan, yang juga pengarah ekskutif untuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram) gembira dengan keputusan kerajaan itu dengan berkata, "Kami menyokong keputusan kerajaan dan berharap akan ada kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri, Polis DiRaja Malaysia [PDRM] bersama Suaram,”
Sevan juga turut bersetuju agar IPCMC diberi kuasa untuk mendakwa kerana ianya sangat penting.
Idea penubuhan sejak 2005
Idea menubuhkan IPCMC dicadangkan oleh sebuah suruhanjaya siasatan diraja yang mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong serta dibentuk pada 2005 bagi menambah baik operasi dan pengurusan PDRM.
Langkah itu dicadangkan selepas PDRM menerima banyak aduan mengenai salah guna kuasa termasuk melibatkan kematian dalam tahanan, penderaan fizikal serta dianggap kurang telus.
IPCMC juga menjadi topik hangat di kalangan aktivis hak asasi manusia di Malaysia, dan dilengahkan pembentukannya oleh kerajaan dahulu atas alasan idea tersebut mendapat bantahan pemimpin PDRM yang berpendapat suruhanjaya tersebut tidak memberi peruntukan untuk rayuan.
Malah, bekas ketua polis negara, Musa Hassan dan Khalid Abu Bakar telah menolak idea perlaksanaan IPCMC itu kerana menurutnya, pihak polis mempunyai jabatan untuk menangani masalah berhubung dengan pegawai dan anggotanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata bahawa pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka sambil menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan kepentingan anggota dan pegawai polis turut terjaga.
"Kami mengalu-alukan keputusan itu tanpa bantahan tetapi pada masa sama kita perlu pastikan hak anggota polis juga dilindungi,” katanya pada Jumaat petang, selepas satu program di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun meminta kerajaan mempertimbangkan beberapa isu sebelum suruhanjaya itu ditubuhkan dengan turut menyuarakan kebimbangannya kepada pentadbiran Putrajaya, terutamanya apabila berdepan dengan hak anggota polis yang dituduh terlibat dalam salahlaku.
"Polis juga mempunyai hak dan kami tidak mahu hak kami diketepikan sebaik sahaja suruhanjaya itu ditubuhkan. Kami tidak membantah pembentukan IPCMC. Malah, kami juga telah menghantar cadangan kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kebimbangan dari pihak polis yang mesti ditangani terlebih dahulu sebelum suruhanjaya itu dibentuk,” kata Fuzi yang merupakan Ketua Polis Negara pertama bersetuju dengan penubuhan IPCMC.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebelum ini memberi jaminan yang IPCMC akan ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan [PH], selepas PH berjaya mengambilalih Putrajaya daripada kerajaan Barisan Nasional pada bulan Mei lepas.
Ahli Parlimen Pagoh dari Johor itu berkata, suruhanjaya berkenaan adalah sebahagian daripada janji yang dibuat oleh PH dalam manifesto pilihan raya oleh gabungan empat parti yang berjanji untuk memperbaharui struktur pasukan polis.
Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia [Suhakam] pada 2017 menyatakan bahawa terdapat sebanyak 633 kematian dalam tahanan imigresen dan penjara dari 2015 hingga 2016.
Suhakam turut menyatakan sebanyak 100 kematian di laporkan di pusat tahanan imigresen manakala 521 di dalam penjara dan 12 orang mati di dalam lokap polis dalam laporan tahunannya bagi 2016.