Polis Malaysia: Rancangan Pesimpati IS Bunuh PM Mahathir Digagalkan Tahun Lalu
2021.03.25
Kuala Lumpur

Seorang pegawai kanan polis Malaysia mendedahkan pada Khamis bahawa pihak berkuasa itu telah menggagalkan rancangan pesimpati Negara Islam untuk membunuh Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, pada Januari 2020.
Polis mendapat tahu mengenai rancangan itu apabila menahan Wan Amirul Azlan bin Jalaluddin yang merupakan pemimpin kumpulan Anshorullah At-Tauhid pada 6 Januari tahun lalu, kata Azman Omar, penolong pengarah cawangan khas antipengganas Polis Diraja Malaysia pada perbincangan meja bulat mengenai ekstremisme Islam di Kuala Lumpur.
"Semasa disoal siasat, Wan Amirul mengakui bahawa dia berhasrat melancarkan serangan terhadap beberapa pemimpin kerajaan dengan menikam mereka dengan pisau atau benda tajam sebagai tanda sokongan terhadap Daesh," kata Azman, yang menggunakan nama lain untuk kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Islamic State atau IS.
Azman berkata mereka yang menjadi sasaran lelaki itu ialah Mahathir dan tiga anggota kerajaan Pakatan Harapan iaitu Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Peguam Negara Tommy Thomas dan menteri bagi hal ehwal agama Mujahid Yusuf Rawa.
Kubu terakhir IS di Syria tumbang pada Mac 2019, dan pemimpinnya ketika itu, Abu Bakar al-Baghdadi, terbunuh dalam satu serbuan Pasukan Khas AS pada Oktober tahun itu.
Kematiannya telah dapat mengurangkan pengaruh IS dan - dengan kawalan ketat di sempadan Syria - menggagalkan usaha merekrut ahli baru kumpulan itu di Malaysia, kata Azman pada perbincangan itu. Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia menganjurkan forum itu yang bertajuk "Islam, Radikalisme & Ekstremisme di Era Pandemik."
"Kematian Wanndy Jedi dan pemimpin lain turut mematahkan semangat Daesh di Malaysia," katanya.
Ahli IS Muhammad Wanndy Mohamad Jedi berada dalam senarai militan global kerajaan AS, dan didakwa sebagai dalang serangan bom tangan di sebuah bar berhampiran Kuala Lumpur yang menyebabkan lapan orang cedera pada Jun 2016. Polis mengumumkan pada Mei 2017 bahawa lelaki itu telah terbunuh di Syria.
Azman memberitahu bahawa pada masa ini, terdapat 56 rakyat Malaysia di Syria terdiri daripada 19 lelaki, 12 wanita dan 25 kanak-kanak.
Sumber pegawai kanan polis, yang tidak mahu namanya dinyatakan berikutan sensitiviti isu itu, memberitahu BeritaBenar bahawa Wan Amirul bekerja sebagai tukang urut dan ditangkap di negeri Perak setelah kumpulannya memuat naik video yang mengancam keempat-empat pemimpin kerajaan berkenaan dalam WhatsApp.
Selain Wan Amirul, polis turut menahan lima suspek Anshorullah At-Tauhid yang lain termasuk seorang warganegara Indonesia, kata sumber polis itu sambil menambah kesemua enam suspek ditangkap mengikut akta berkaitan keganasan Malaysia, SOSMA.
Wan Amirul telah dibicarakan dan dijatuhi hukuman tiga tahun penjara selepas disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan, kata sumber tersebut, tanpa menyatakan tarikh.
Seorang lagi sumber keselamatan pula memberitahu BeritaBenar bahawa dua daripada lima suspek lain turut disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman “penjara antara 3 dan 4 tahun” kerana memiliki barang-barang yang berkaitan dengan keganasan, manakala tiga lagi dibebaskan kerana bukti tidak mencukupi.
Sumber keselamatan itu berkata Anshorullah At-Tauhid adalah kumpulan yang sangat kecil dan "tidak mempunyai hubungan" dengan Jemaah Islamiyah (JI) iaitu rangkaian militan Asia Tenggara yang bersekutu dengan al-Qaeda.
Dalam reaksi terhadap pendedahan penolong pengarah cawangan khas antikeganasan PDRM itu, Pakatan Harapan, yang pernah dipimpin oleh Mahathir, mengkritik Muhyiddin Yassin yang merupakan menteri dalam negeri ketika itu dan kini perdana menteri, kerana tidak memberitahu kabinet mengenai rancangan pembunuhan berkenaan.
"Kami mendesak Muhyiddin supaya memberikan penjelasan mengenai perkara ini dengan segera," kata Pakatan Harapan, yang kini pembangkang, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook.
JI di Malaysia
JI ialah kumpulan militan Asia Tenggara, yang menurut pihak berkuasa Indonesia, melakukan serangan maut pengganas paling buruk di negara itu setakat ini - dua serangan bom yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 - dan membantu merancang pengeboman Hotel J.W. Marriot di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 12 orang terbunuh.
Pada perbincangan meja bulat itu, Azman menolak dakwaan polis negeri Sabah bahawa JI aktif merekrut dan mengumpulkan dana di situ.
"Apa yang kami tahu, kami tidak mempunyai bukti kukuh bahwa JI masih ada sekarang walaupun Abu Bakar Bashir telah dibebaskan di Indonesia. Sehingga kini, kami tidak mempunyai maklumat bahawa JI membuat kemunculan semula, kerana jika ada, kami pasti sudah tahu mengenainya,” kata Azman.
Bashir ialah pengasas bersama JI dan pemimpin kerohanian kumpulan militant itu. Dia dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia pada Januari setelah menjalani hukuman hampir 10 tahun daripada 15 tahun yang dikenakan kerana membiayai kem latihan militan. Dia dibebaskan setelah pihak berkuasa mengurangkan hukuman penjara itu kepada 55 bulan kerana berkelakuan baik.
Bulan lalu, sebuah akhbar tempatan di Sabah memetik Pesuruhjaya Polis negeri Hazani Ghazali sebagai berkata bahawa ahli JI aktif di negeri itu yang terletak di Kepulauan Borneo, dengan merekrut ahli dan mengumpulkan dana untuk kumpulan tersebut.
Hazani juga memberitahu Daily Express bahawa Sabah akan melihat serangan yang serupa dengan pengeboman Bali pada 2002 dan serangan terhadap J.W. Hotel Marriott di Jakarta setahun kemudian, sekiranya pihak berkuasa tidak memantau dan menghentikan kegiatan JI.