Kontraktor Dipenjara Tiga Tahun Rekrut Ahli Baru IS
2017.02.24
Kuala Lumpur
Seorang kontraktor telah di jatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menggalakkan keahlian kumpulan pengganas Negara Islam (IS) tiga tahun lalu.
Saidin Yaacob, 50, yang merupakan seorang kontraktor dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah itu bermula tarikh tertuduh ditangkap, 18 Julai tahun lalu.
Hakim Nordin Hassan ketika menjatuhkan hukuman berkenaan selepas kontraktor berkenaan mengaku bersalah, menegaskan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius kerana kerajaan Malaysia telah menyifatkan kumpulan pengganas itu sebagai haram.
''Malaysia sebuah negara yang aman dan kita tidak mahu negara ini terjerumus dalam ketidaktentuan kerana IS dan pihak mahkamah juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa melakukan kesalahan itu boleh menjejaskan keamanan negara ini,'' katanya sebelum menjatuhkan hukuman.
Menurut kertas pertuduhan, Saidin didakwa melakukan kesalahan antara Januari dan September 2014 dengan menggalakkan keahlian kumpulan IS di sebuah rumah di Rancangan Pinggir Padang Besar, Jeneri, Sik, di negeri utara Kedah.
Beliau didakwa dibawah Seksyen 130G(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang merupakan ayah kepada dua orang anak didakwa merekrut dua individu untuk menjadi anggota kumpulan IS dengan menayangkan video mengenai kumpulan pengganas itu kepada tetamu yang hadir ke rumahnya untuk makan malam bagi menggalakkan mereka untuk menyertai kumpulan berkenaan.
Peguam Faizal Rahman yang mewakili Saidin memohon kepada mahkamah agar diberikan hukuman ringan memandangkan beliau menanggung keluarga dan ibunya yang berusia 79 tahun.
“Saya berharap mahkamah juga mengambil pertimbangan bahawa ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan beliau telah bertaubat apabila diberi penjelasan mengenai perkara sebenar pengganas IS,” kata peguam berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon hukuman setimpal dikenakan kerana ia berkaitan kesalahan yang serius yang boleh menggugat kepentingan awam.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 271 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dimana 66 individu telah pun dibebaskan, menurut angka terbaru daripada kerajaan.
Ramai dikalangan anggota baru yang direkrut di Malaysia mempercepatkan upacara angkat sumpah menyertai kumpulan IS melalui aplikasi dalam talian, kata Ketua Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Sumpah kesetiaan dikenali sebagai "Bai'ah", dalam Bahasa Arab bermaksud "kesetiaan" - hanya mengambil masa kira-kira seminit melalui aplikasi seperti Telegram, dan ini membolehkan IS meningkatkan jumlah anggota barunya dengan lebih cepat kerana mereka tidak perlu lagi mengangkat sumpah secara tradisional di hadapan seorang pemimpin IS, kata Ayob Khan Mydin Pitchay.
Kebanyakan mereka yang menyertai kumpulan dan telah ditangkap oleh cawangan khas PDRM, dipercayai telah bersumpah dalam talian tanpa menemui pemimpin IS, kata pegawai kanan polis itu.
"Pada masa dahulu, anggota baru perlu menghadiri satu majlis dan bersalaman dengan pemimpin. Hari ini, mereka boleh melakukannya dalam talian, dengan hanya menggunakan aplikasi, " kata Ayob tanpa memberi angka berapa ramai anggota IS Malaysia telah berbuat demikian.