Pesara Guru Didakwa Sokong IS, Simpan Barangan Keganasan
2017.08.30
Kuala Lumpur
Seorang pesara guru di Kelantan berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas kesalahan memberi sokongan kepada organisasi pengganas antarabangsa Negara Islam [IS].
Abu Chan Hasan, 63, menghadapi dua pertuduhan di mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini kerana memberikan sokongan terhadap perjuangan IS serta memiliki barangan bersangkut dengan keganasan.
Tiada pengakuan direkodkan.
Pesara guru itu kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atas beliau dihadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.
Abu Chan dituduh atas kesalahan memberikan sokongan terhadap IS melalui laman Facebook beliau yang menggunakan nama Abu Hasan pada 1 Ogos lalu.
Beliau turut didakwa memiliki pelbagai barangan yang berkaitan dengan keganasan pada hari yang sama.
Bagi kesalahan pertama, Abu Chan didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda.
Manakala bagi kesalahan kedua, pesara guru itu didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Pendakwaraya bagi kes itu ialah Amira Sariyati bagi pihak kerajaan manakala Abu Chan tidak diwakili.
Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk mendengar semula pertuduhan.
Pihak berkuasa Malaysia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan pelbagai usaha dijalankan untuk meningkatkan keselamatan terutama semasa berlangsungnya temasya Sukan SEA ke-29 di mana Malaysia adalah tuan rumah bagi acara sukan terbesar bagi Asia Tenggara itu. Pelbagai acara sukan yang sedang berjalan melibatkan 11 buah negara yang berlangsung sejak 19 Ogos lepas berakhir hari ini.
Pada Jun 2016 Malaysia menjadi sasaran serangan pengganas apabila sebutir bom tangan dilemparkan ke arah kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang.
Dua lelaki tempatan mengaku bersalah melakukan serangan berhampiran Kuala Lumpur itu dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun setiap seorang.
Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, perekrut nombor satu di Malaysia, yang berpangkalan di Syria, sebelum beliau terbunuh dalam satu serangan pesawat ‘drone’ di Syria pada April, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Tindakan keras terhadap keganasan dalam tempoh empat tahun yang lalu juga telah menyebabkan penangkapan 310 orang yang mempunyai kaitan dengan keganasan, menurut data kerajaan yang diperolehi BeritaBenar. Kira-kira 66 suspek telah dibebaskan, kata pegawai.