Malaysia tahan lapan ekstremis IS, termasuk bekas pensyarah

Pesara pensyarah berusia 70 tahun itu merupakan rakan kepada Azahari Husin, pakar bom JI yang terbunuh semasa satu serbuan di tempat persembunyian di Indonesia pada 2005.
Helmi Foad dan Muzliza Mustafa
2024.06.24
Kuala Lumpur
Malaysia tahan lapan ekstremis IS, termasuk bekas pensyarah Bapa suspek kes serangan berdarah di Ulu Tiram, Radin Imran Radin Mohd Yassin dibawa keluar oleh anggota polis Malaysia selepas dia dikenakan pertuduhan menanam ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, 19 Jun 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang bekas ahli Jemaah Islamiyah (JI), juga pensyarah yang sudah bersara dari sebuah universiti adalah antara lapan individu yang ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan ancaman pengganas terhadap Yang di-Petuan Agong dan Perdana Menteri, dalam siri tangkapan terbaharu pada hujung minggu, demikian menurut sumber dalam kerajaan.

Lelaki berusia 70 tahun yang ditahan  itu merupakan rakan kepada Azahari Husin, pakar bom JI yang terbunuh dalam satu serbuan oleh pihak berkuasa di tempat persembunyiannya di Indonesia pada 2005, kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semasa mengumumkan penangkapan tersebut pada Isnin berkata kesemua lapan individu termasuk dua wanita ditahan oleh pasukan Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas (E8) Bukit Aman di empat buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Siasatan awal terhadap kesemua suspek mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi polis.

“Lapan suspek tersebut mempunyai pelbagai latar belakang seperti penganggur, suri rumah serta golongan profesional terpelajar dan penahanan mereka disyaki berkait dengan elemen radikalisme Daesh dan Islamic State (IS).

"Kesemua mereka ditahan susulan daripada operasi yang diadakan pada 15, 17 dan 30 Mei lalu,” kata Saifuddin pada sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan selama 28 hari mengikut Bab VIA - Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), sebelum pihak berkuasa menentukan tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan di mahkamah.

Tangkapan tersebut merupakan susulan daripada kes serangan berdarah mengorbankan dua konstabel polis di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu dan penahanan lima anggota keluarga suspek kejadian tersebut.

Menurut sumber dalam kerajaan, bekas pensyarah yang kini ditahan di bawah SOSMA itu cuba menyebarkan ideologi salafi jihadi iaitu fahaman yang sama dipraktikkan oleh anggota IS.

“Antara yang ditahan termasuk pasangan suami isteri di Johor yang mahu melakukan serangan ke atas balai-balai polis di Johor dengan mahu menggunakan bom yang dibalut pada jaket sebelum meletupkan diri.

"Selain itu ada juga suspek yang mahu meletupkan bangunan berkepentingan kerajaan serta aset negara yang lain disamping melancarkan serangan terhadap tempat keagamaan,” kata sumber itu lagi kepada BenarNews.

Perangi kerajaan

Ditanya apakah yang menyebabkan suspek menjadi radikal, Saifuddin berkata perkara itu bertolak daripada keyakinan bahawa kepimpinan negara ini tidak berteras kepada sistem khalifah.

"Apabila keadaan itu tidak wujud, maka mereka mewajarkan tindakan memerangi pemerintah, itu adalah antara tanda pegangan dan kepercayaan mereka.

“Jadi pasukan E8 (Cawangan Khas Anti Pengganas) dalam tugas menyediakan profil suspek selama ini dapat kenal pasti ciri utama sesuatu idealisme dalam kalangan mereka.

“Rakyat digesa untuk terus peka akan pelbagai ancaman baharu serta mereka diberikan jaminan agar tidak gusar tentang keselamatan dan ketenteraman awam kerana kecekapan serta ketangkasan polis menangkis ekstremisme, radikalisme serta keganasan di negara ini,” kata menteri itu lagi.240624-MY-IS-Nasution.jpg

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan di Putrajaya, 23 Mei 2024. [Ihsan Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook]

Pada 18 Jun lalu, lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis pada Mei lepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan berasingan menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas IS.

Kesemua tertuduh terdiri daripada Radin Imran Radin Mohd Tassin, 62, isterinya Rosna Jantan, 59, dan tiga anak mereka Radin Romyullah, 34, Sobrina, 23, dan Mariah, 19.

Radin Imran didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dengan menggalakkan perbuatan pengganas berkaitan IS kepada semua ahli keluarga.

Antaranya dia dituduh melakukan perkara itu kepada semua anggota keluarganya termasuk anaknya, Radin Luqman, 21, yang terlibat dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Mei lalu.

Dalam kejadian pada awal pagi 17 Mei lalu, dua konstabel polis maut sebelum suspek turut mati ditembak manakala seorang lagi anggota berpangkat koperal cedera parah.

Susulan itu, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga lelaki berkenaan yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum disambung tahanan di bawah SOSMA.

JI merupakan sebuah organisasi pelampau yang ditubuhkan pada awal 1990-an untuk membentuk ‘negara Islam’ meliputi Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.

Kumpulan pengganas itu digerakkan oleh dua rakyat Indonesia iaitu Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir yang melarikan diri ke Malaysia pada tahun 1983 dan terlibat dengan pengendalian sebuah sekolah agama di Ulu Tiram.

Sementara itu, IS buat pertama kali muncul pada April 2013 dan kumpulan itu melancarkan serangan pada awal 2014 dengan menghalau tentera kerajaan Iraq keluar manakala di Syria, ia memerangi kedua-dua pasukan kerajaan dan puak pemberontak dalam perang saudara Syria.

Pada Jun 2014, kumpulan itu mengisytiharkan penubuhan khalifah yang diketuai Abu Bakr al-Baghdadi, namun mereka telah ditumpaskan oleh kerajaan Iraq dan Syria pada 2017 meskipun masih menguasai sebahagian kecil wilayah hingga 2019.

Cabaran hapus akar umbi ekstremisme

Ahmad El-Muhammady, penolong profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) berkata cabaran menguruskan masalah ekstremisme ialah dari segi menghapuskan ideologi yang berakar umbi di bawah termasuk naratif yang mereka bawa.

"Ia lebih sukar untuk diuruskan berbanding dari segi organisasi dan kumpulan pengganas dengan menggunakan pendekatan tangkapan, pendakwaan di mahkamah, menyekat dana dan menyita aset-aset fizikal mereka.

"Cabarannya ialah bagaimana hendak menghadapi pemikiran yang boleh kekal di dalam minda dan penulisan… saki baki mereka ibarat pokok kalau dicantas di bahagian atas masih ada lagi akar di dalam tanah yang boleh kita anggap sebagai ideologi," katanya kepada BenarNews.

Jelas Ahmad masalah salah faham terhadap konsep-konsep dalam Islam seperti jihad dan khilafah Islamiah turut menyebabkan timbulnya tindakan mahu menentang menggunakan kaedah 'persenjataan' bagi mencapai cita-cita tersebut.

"Khalifah Islam itu adalah sistem yang ideal, yang kini tidak lagi wujud. Jadi apabila timbul suasana di peringkat global berlaku penindasan terhadap rakyat Palestin, umat Islam jadi mangsa dan Islamofobia, itu menjadikan mereka risau, keadaan semakin teruk.

"Lalu mereka memilih untuk bertindak menggunakan kaedah persenjataan, ini merupakan salah faham terhadap ajaran dalam Islam," ujarnya yang bekerjasama rapat dengan Bahagian Cawangan Khas dan Jabatan Penjara dalam melaksanakan program pemulihan terhadap tahanan membabitkan terorisme.

Sementara itu, Abdul Hakim Mohad dari Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia berkata faham ekstremisme agama secara umumnya berpunca daripada sikap tidak toleran dalam hal berkaitan kehidupan beragama.

"Golongan ini berpendapat bahawa agama versi mereka adalah yang paling benar dan pada masa sama cuba memaksakan kefahaman mereka ke atas orang lain.

"Hal inilah yang cuba dibawa oleh kumpulan Daesh di Malaysia. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk menguasai pemerintahan dan memaksakan Islam versi mereka ke atas orang lain. Mereka menghalalkan segala tindakan atas nama perjuangan Islam," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu cuba mempengaruhi masyarakat dengan menyatakan bahawa kerajaan sekarang adalah tidak berteraskan kepada sistem khalifah.

"Hal ini berlaku disebabkan pemikiran mereka yang bersifat literal dan sempit. Mereka tidak melihat kepada prinsip-prinsip Islam yang lebih luas dan universal.

"Mereka juga gagal memahami konsep khalifah yang mereka perjuangkan. Sebenarnya konsep khalifah yang wujud sejak kewafatan Rasulullah adalah bersifat “ijtihad” sesuai dengan keadaan pada zaman itu.

"Apa yang kita lakukan adalah adaptasi daripada prinsip pemilihan khalifah yang pertama dahulu. Hal inilah yang gagal difahami oleh penyokong Daesh," kata beliau. 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.