Malaysia Tahan Penggodam IS Warga Kosovo
2015.10.16
Polis Malaysia telah menahan seorang rakyat Kosovo atas dakwaan menggodam butiran peribadi lebih daripada seribu orang anggota tentera dan kakitangan kerajaan Amerika Syarikat (AS), dan menyalurkan butir-butir penting tersebut kepada militan Negara Islam (IS) di Syria bagi tujuan menyasarkan individu-individu tersebut.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar memberitahu, Ardit Ferizi, 20, memasuki Malaysia pada Ogos tahun lepas, berselindung sebagai pelajar bidang sains komputer dan forensik komputer di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur.
Khalid berkata, suspek ditahan dalam satu operasi oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Bukit Aman pada 15 September, dengan kerjasama agensi penguatkuasa AS, Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
"Siasatan awal menunjukkan suspek telah berkomunikasi dengan salah seorang pemimpin tertinggi IS di Syria dalam cubaan untuk menggodam beberapa pengkalan data (server) yang menyimpan maklumat angkatan tentera US."
"Maklumat tersebut kemudian disalurkan kepada Bahagian Operasi Kumpulan Militan IS untuk tindakan susulan mereka," menurutnya dalam kenyataan media pada lewat Khamis.
Khalid berkata, suspek pada mulanya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan kemudiannya ditahan di bawah perintah tahanan sementara oleh mahkamah.
Katanya, suspek kini ditahan di bawah Akta Ekstradisi 1992 sementara menanti proses ekstradisi daripada AS.
"Tangkapan ini adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan FBI Amerika Syarikat dalam menangani ancaman keganasan khususnya ancaman IS yang bersifat rentas sempadan.
Godam pengkalan data
Sementara itu Jabatan Keadilan AS dalam satu kenyataan memberitahu, Ferizi di dakwa memberi maklumat kepada IS dan menggodam komputer berkaitan kemudian mencuri serta menyebarkan maklumat peribadi anggota Tentera dan kakitangan kerajaan AS.
“Ferizi didakwa menyalurkan maklumat kepada IS, iaitu sebuah kumpulan militan asing dan menggodam komputer dan maklumat peribadi yang merupakan satu kesalahan. Suspek juga mencuri serta memberikan maklumat maklumat peribadi (Personally Identifiable Information atau PII) anggota tentera AS dan para petugas kerajaan kepada kumpulan militan,’’ menurut kenyataan itu
Dakwaan ke atas Ferizi itu diumumkan oleh Penolong Peguam Negara untuk Keselamatan Kebangsaan, John P. Carlin, Peguam Negara untuk Daerah Timur Virginia, Dana J. Boente dan Penolong Pengarah Bertugas Pejabat, FBI Washington, Paul Abbate.
"Seperti dakwaan, Ferizi yang juga dikenali dengan ‘’Th3Dir3ctorY’ dipercayai merupakan ketua kumpulan penggodam komputer Kosovo yang dikenali sebagai Kosova Hacker’s Security (KHS).
"Ferizi menggodam komputer syarikat mangsa di AS dan mencuri 1,000 data PII anggota tentera AS dan kakitangan kerajaan kepada IS untuk digunakan terhadap para petugas terbabit,’’ kata kenyataan itu.
Ferizi didakwa menyerahkan maklumat tersebut kepada anggota IS, Junaid Hussain aka Abu Hussain al-Britani antara Jun hingga Ogos 2015.
Hussain pada 11 Ogos lepas membuat hebahan twitter bertajuk “NEW: US Military And Government Hacked by Islamic State Hacking Division’’ yang mengandungi pautan kepada dokumen 30 muka surat.
Dokumen itu mengandungi 27 mukasurat yang tercatat nama, alamat email, kata kunci email, lokasi dan nombor telefon 1,351 tentera AS dan para petugas kerajaan.
Sebahagian daripada dokumen itu mengandungi ancaman daripada pihak IS terhadap para penjawat awam, yang berbunyi: "kami berada di dalam emel dan sistem komputer, memerhati dan merakam setiap pergerakan kamu.
“Kami mempunyai nama dan alamat kamu, kami berada di dalam emel dan akaun media sosial, Kami sedang membuka data rahsia dan menyalurkan maklumat peribadi kamu kepada pejuang khalifah, yang dalam masa terdekat, dengan izin Allah akan menyerang negara kamu!"
Dokumen itu bertujuan untuk memberi maklumat kepada penyokong IS di AS dan negara lain untuk menggalakkan serangan pengganas keatas individu-individu terbabit.
"Kes ini adalah yang pertama sepertinya, dan dengan maklumat ini, kita bercadang mendakwa Ardit kerana mencuri maklumat berkenaan dan peranannya dalam IS untuk menyasarkan penjawat awam AS.
"Penahanan ini menunjukkan usaha kita untuk menghalang gerakan militan menyasarkan rakyat Amerika, dalam bentuk apa sekalipun dan di mana-mana sekalipun," menurut kenyataan itu.
Kerjasama Malaysia dan AS perangi IS
Pada hujung September Malaysia telah menyertai Gabungan Anti-IS Global pada Sidang Kemuncak Pemimpin bagi Menangani ISIL dan Ekstremisme Ganas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di ibupejabat PBB.
Minggu lalu, Malaysia telah mencapai persetujuan dengan AS untuk menubuhkan sebuah pusat serantau di Kuala Lumpur untuk memerangi propaganda kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) melalui Internet dan media sosial.
Persetujuan itu disahkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry semasa pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Zahid Hamidi di Washington, yang mengukuhkan lagi kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam usaha membanteras keganasan.
AS sebelum ini telah menubuhkan pusat serantau yang sama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bertujuan membantu AS dan negara Timur Tengah untuk memerangi propaganda IS dalam media sosial bagi membendung pengambilan pejuang baru kumpulan ekstremis itu.
Apabila ditubuhkan kelak, pusat serantau di Kuala Lumpur itu akan menjalankan fungsi yang sama untuk memerangi penularan pengaruh IS di Asia Tenggara.