Wanita Malaysia Dihukum Penjara 5 Tahun Kerana Simpan Buku Pro-Militan
2017.04.26
Mahkamah Malaysia mendapati seorang bekas penuntut lepasan ijazah pengajian agama bersalah dan mengenakan hukuman lima tahun penjara pada Rabu bagi pertuduhan memiliki buku-buku yang didakwa mempromosikan ideologi kumpulan ekstremis termasuk Negara Islam dan al-Qaeda.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa hukuman tertuduh, Siti Noor Aishah Atam Jusoh, 30, berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan pada Mac 2016 dan 12 buku yang dirampas daripadanya dimusnahkan.
"Saya tidak pandai mengulas keputusan ini tetapi akan memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari," kata Atam Jusoh, bapa tertuduh, kepada BeritaBenar kemudian.
Semasa menjatuhkan hukuman terhadap Siti Noor Aishah, bekas penuntut lepasan ijazah pengajian Islam di Universiti Malaya, sebuah universiti terkemuka di Malaysia, hakim berkenaan berpendapat tidak munasabah bagi tertuduh untuk menyatakan bahawa buku-buku berkenaan adalah untuk penyelidikan akademiknya.
"Anda mendakwa buku-buku itu adalah untuk tesis anda tetapi anda tidak pernah mendaftarkan tajuk tesis," kata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohamad Shariff Abu Samah.
"Ini tidak masuk akal sama sekali. Kamu tidak dapat membuktikan kesungguhan kamu untuk meneruskan kursus ini. "
Hakim itu memerintahkan Siti Aishah supaya bertaubat.
"Keganasan adalah jenayah serius yang juga jijik. Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini, mahkamah melihatnya dengan amat serius,” kata hakim itu.
Siti Noor Aishah dijatuhi hukuman itu sehari selepas mahkamah tinggi memenjarakan Azizi Abdullah, seorang pembantu kedai berusia 21 tahun, selama 13 tahun kerana memiliki bahan-bahan yang pro-IS dalam telefon bimbitnya dan menghantar mesej yang menyokong perbuatan pengganas dalam media sosial.
Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 294 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, dengan 66 orang daripadanya telah pun dibebaskan, menurut perangkaan kerajaan yang diperoleh BeritaBenar.
'Masa depan cerah'
Siti Noor Aishah didapati bersalah mengikut Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) Malaysia, menurut laporan.
Dia diwakili oleh peguam Mohd Kamaruzaman A. Wahab manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli mengendalikan pendakwaan.
Terdahulu, Mohd Kamaruzaman telah meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan untuk anak guamnya kerana dia masih muda.
"Siti Aishah mempunyai masa depan yang cerah. Dia kini telah bertaubat. Dia membeli buku-buku itu kerana dia suka membaca, dan sebelum buku-buku itu diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri," kata peguam itu.
Ahmad Nazneen, bagaimanapun, meminta hukuman yang lebih berat dikenakan dengan berhujah bahawa Siti Aishah dan orang lain yang menyokong kumpulan militan perlu mengambil iktibar daripadanya.
Antara buku yang menyebabkan dia dipenjarakan adalah "“Al-Zarqawi – Al-Qaeda’s Second Generation,” “Political Vision of the Jihad Movement,” dan “From Osama to Activists at-Large.”
Berikutan kes itu tahun lepas, Siti Noor Aishah telah digantung daripada Universiti Malaya dan kemudian dibuang universiti kerana gagal menghadiri kuliah.
Pada September 2016, dia dibebaskan daripada pertuduhan itu di mahkamah yang sama. Bagaimanapun, pada hari yang sama, dia ditangkap semula dan ditahan selama 60 hari di bawah undang-undang lain, Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Setelah dibebaskan, dia diletakkan dalam tahanan di rumah dan dipasang dengan peranti pengawasan elektronik.
Mahkamah yang lebih tinggi, Mahkamah Rayuan kemudian mengarahkan Siti Noor Aishah supaya membela diri. Pada 29 Mac lalu, dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditempatkan di Penjara Kajang.
Kedukaan seorang bapa
Selepas dia ditahan buat kali kedua, bapanya telah mengadakan satu sidang media di bangunan Parlimen, di mana beliau membuat rayuan sambil menangis supaya anak perempuannya dibebaskan.
Atam, 61, berkata anaknya diarahkan oleh seorang pensyarahnya supaya melakukan penyelidikan menggunakan buku-buku itu yang kemudian membawa kepada penahanannya.
"Saya kecewa dengan apa yang berlaku kepada anak perempuan saya. Saya menggesa pihak berkuasa supaya melepaskannya dengan segera supaya dia boleh meneruskan pengajiannya,"kata Atam, sambil menangis teresak-esak, menurut laporan tempatan.
Aktivis masyarakat dan Ahli Parlimen pembangkang juga memberi sokongan kepadanya dengan mengadakan nyalaan lilin di luar Penjara Kajang dan menyeru Kementerian Dalam Negeri supaya melepaskan Siti Noor Aishah.