50,000 Hanya Pengikut Di Laman Facebook
2015.12.14

Seorang jurucakap Polis Malaysia pada Isnin, percaya terdapat kira-kira 50,000 rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kumpulan militant Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq menerusi laman Facebook bagi menjelaskan kenyataan seorang pemimpin kerajaan bahawa mereka merupakan pihak yang bersimpati dengan kumpulan militan itu.
Mengulas kenyataan Presiden Parti Malaysia Chinese Association (MCA) Liow Tiong Lai, pegawai yang enggan namanya disiarkan berkata “Jumlah 50,000 adalah berdasarkan kepada yang mengikuti perkembangan pejuang jihad rakyat Malaysia di Syria dan Iraq menerusi laman Facebook termasuk Facebook Ustaz Lotfi”
Ustaz Lotfi Ariffin adalah seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah pondok di Kedah dan beliau juga adalah bekas Ketua Penerangan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menyertai kumpulan IS di Syria hingga terkorban dalam pertempuran di negara itu.
Liow pada Ahad berkata, sekurang-kurangnya 50,000 rakyat Malaysia yang bersimpati dengan kumpulan pengganas di Syria dan Iraq.
"Jika hanya satu peratus daripada mereka yang bersimpati ini berubah menjadi radikal dan jika mereka menyerang mana-mana bahagian di Malaysia, kita akan berdepan dengan masalah," kata Liow semasa berucap di satu majlis berkaitan keselamatan negara dan ancaman kumpulan pengganas di Kuala Lumpur.
Liow turut memberi amaran bahawa ancaman radikal di Malaysia tidak boleh diabaikan.
Semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington, pegawai kanan Polis itu berkata “Kebanyakan mereka tidak semestinya bersimpati… hanya mengikuti laman Facebook rakyat Malaysia yang berada di kedua-dua negara berkenaan,”
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Kriminologi Prof Madya Dr P. Sundramoorthy semasa dihubungi BeritaBenar berkata, penyokong kepada ideologi ekstremis, terutamanya IS, terbahagi kepada tiga kumpulan.
Mereka terdiri daripada kumpulan pertama yang yang bersedia untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti militan seperti mengambil bahagian dalam pertempuran dan menjadi pengebom berani mati, katanya
Kumpulan kedua pula adalah mereka yang membantu secara senyap, serta memberi bantuan kewangan dan dana bagi membiayai pergerakan kumpulan itu dengan turut menyebarkan ideologi mereka tanpa terlibat secara fizikal dalam gerakan militant.
‘Kumpulan ketiga adalah mereka yang bersimpati secara senyap. Mereka ini tidak menunjukkan secara terbuka sokongan mereka terhadap IS tetapi mereka mengambil sikap berdiam diri dengan tidak berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa, contohnya identiti individu-individu dalam komuniti mereka yang terlibat dalam gerakan pengganas,” kata pegawai itu.
Sambil memberi contoh kumpulan pelampau Ku Klux Klan (KKK) yang memperjuangkan ketuanan rakyat kulit putih di Amerika Syarikat, beliau berkata, mereka yang bersimpati dengan IS bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana keliru dengan permainan IS yang menyalahgunakan Islam sebagai alat mencapai agenda mereka itu.
Menurutnya, segelintir kecil dalam kalangan masyarakat akan terpengaruh dengan dakyah IS yang memainkan sentimen agama untuk memancing simpati dan sokongan.
"... dan situasi itu turut berlaku di Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina,"jelasnya.
Bagaimanapun, katanya mereka yang bersimpati dengan IS bukanlah satu ancaman besar kerana mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk terlibat secara langsung dengan aktiviti keganasan.
“Memang ada segelintir kecil rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan propaganda IS, tetapi jumlah mereka jauh terlalu kecil untuk mewujudkan ancaman besar kepada keselamatan negara,” tambah beliau.
Beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia mengambil pelbagai langkah proaktif dalam menangani penyebaran propaganda IS dan ini terbukti dengan penangkapan dan pendakwaan mereka yang cuba mempromosikan ideologi itu.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad sehingga Oktober lepas, seramai 128 individu yang dikaitkan dengan kegiatan ‘jihad’ di Iraq dan Syria telah ditahan mengikut undang-undang di Malaysia dan 69 rakyat Malaysia dilaporkan telah ke Timur Tengah untuk menyertai IS.
S. Adie Zul turut menyumbang kepada laparon ini.