Malaysia buru lebih ramai suspek susulan penahanan warga Israel bersama senjata, peluru

Suspek yang ditahan di Kuala Lumpur itu berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah memiliki senjata api.
Iman Muttaqin Yusof
2024.04.02
Kuala Lumpur
Malaysia buru lebih ramai suspek susulan penahanan warga Israel bersama senjata, peluru Ketua Polis Negara Razarudin Husain bercakap kepada pemberita pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, 2 April 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pihak berkuasa Malaysia sedang memburu beberapa individu lagi termasuk rakyat asing untuk membantu siasatan susulan penahanan seorang warga Israel bersama sejumlah senjata api dan peluru di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Negara pada Selasa.

Ketika mendedahkan nama suspek dalam satu sidang media, polis berkata lelaki itu disiasat di bawah undang-undang penyeludupan senjata api dan masih dalam tahanan reman yang dilanjutkan hingga 7 April.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan terhadap warga Israel itu yang diberkas bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru perlu dijalankan dari segenap aspek.

"Kita sedang dalam proses menangkap lebih daripada dua orang termasuk warga asing dan tempatan.

"Kita perlu menyiasat motif lelaki Israel itu dahulu dalam pelbagai aspek," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Malaysia di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai individu yang sedang diburu polis.

Pada Sabtu lepas, Razarudin memberitahu BenarNews bahawa polis turut menahan sepasang suami isteri warga tempatan kerana disyaki membekalkan senjata dan peluru kepada warga Israel itu. Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pemandu kepada warga Israel itu sejak suspek tiba di Malaysia pada 12 Mac lepas.

Razarudin berkata suspek warga Israel itu dipercayai telah membayar pasangan suami isteri berkenaan sebanyak RM10,000 (AS$2,104) bagi setiap pucuk pistol terbabit yang diseludup masuk melalui Thailand.

Suspek ditangkap di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu selepas pihak berkuasa mendapat maklumat mengenainya dan memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac selepas tiba dengan penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu, demikian menurut Ketua Polis Malaysia itu.

Semasa disoal siasat, lelaki tersebut menunjukkan dokumen perjalanan Israel kepada pihak polis.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Pasport 1966 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media memaklumkan pasport Perancis yang digunakan suspek adalah dokumen sah yang dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis di Tel Aviv, Israel. Ini membolehkan suspek menunjukkan dokumen perjalanan yang sah ketika melalui pemeriksaan keselamatan di pintu masuk negara.

Saifuddin berkata Akta Imigresen Malaysia membenarkan kemasukan individu yang memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menafikan bahawa suspek berjaya memasuki negara kerana kelemahan di pintu masuk negara.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Warga Israel dilarang memasuki Malaysia kecuali dengan kebenaran khas daripada Kementerian Dalam Negeri.

BenarNews cuba menghubungi Kedutaan Israel di Singapura berhubung penahanan suspek namun gagal kerana ia belum memberikan sebarang maklum balas kepada soalan yang dihantar melalui e-mel.

Kaitan gengster

Akhbar The Times of Israel pada Sabtu memetik laporan beberapa media berbahasa Hebrew yang mendakwa suspek mempunyai kaitan dengan penjenayah adik-beradik Musli.

Menurut portal berita Mako, suspek dikatakan datang ke Malaysia untuk membunuh ketua kumpulan jenayah saingan mereka yang bernama Eran Haya.

Kedua-dua sindiket dikatakan terlibat dalam pertempuran ganas sesama mereka sejak beberapa bulan lepas seperti dilaporkan stesen televisyen Israel Channel 12 yang menyatakan rumah suspek di kawasan Bavli di Tel Aviv sebelum ini telah diserang beberapa kali dengan bom tangan oleh pengikut Haya, yang kini dikatakan berada di Malaysia.

Walaupun Razarudin mengesahkan suspek memaklumkan pihak berkuasa bahawa dia datang untuk membunuh seorang warga Israel lain, ketua polis itu berkata mereka masih sangsi dengan kenyataan tersebut dan tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai agenda lain.

"Kita masih menyiasat motif di sebalik pemilikan senjata api berkenaan," kata beliau pada Selasa.

"Timbul persoalan mengapa suspek memerlukan enam pucuk senjata api untuk membunuh satu individu. Jadi ada keperluan untuk polis meningkatkan tahap keselamatan pemimpin negara terutama Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan lain-lain," katanya.

Susulan itu, Razarudin berkata Malaysia mengambil langkah memperketat kawalan di sempadan negara.

"Pihak polis di kawasan sempadan memang menguatkan pasukan kita terutamanya yang dijaga oleh Pasukan Gerakan Am. Maksudnya sempadan kita ini kita perlu tentukan bahawa tiada ketirisan ataupun penyeludupan masuk.

"Bagaimanapun, kita tahu di sebelah Kelantan tidak berpagar. Sempadannya adalah sungai sahaja, kalau kita sukat tempat yang boleh diseludup itu ada dalam 100 kilometer tidak ada pagar.

"Kalau musim kemarau boleh lintas macam itu sahaja sungai itu tak payah pakai bot. Jadi kita masih menguatkuasakan, menentukan keselamatan dan penyeludupan tidak berlaku. Sama ada penyeludupan dari Thailand atau masuk ke Thailand," katanya kepada pemberita.

Ejen Mossad?

Ketika ditanya sama ada suspek seorang ejen agensi perisikan Israel Mossad atau dia menyasarkan penyokong Hamas di negara ini kerana Malaysia merupakan penyokong kuat Palestin dalam peperangannya menentang Israel di Gaza, Razarudin berkata polis masih menyiasat perkara itu.

Enam tahun lepas, seorang jurutera Palestin yang menetap di Malaysia, Fadi Mohammad al-Batsh, telah ditembak mati oleh individu dipercayai dari Eropah yang mempunyai kaitan dengan agensi perisikan asing menggunakan motosikal berkuasa tinggi berhampiran sebuah surau di Setapak, Kuala Lumpur. Keluarganya telah menyalahkan Mossad atas pembunuhan itu.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim merupakan seorang yang lantang bersuara menentang Israel sejak rejim itu menyerang Gaza susulan serangan oleh Hamas pada 7 Okt 2023 yang menyaksikan kira-kira 1,100 warga Israel mati. Sejak itu, lebih 30,000 warga Palestin telah dibunuh Israel melalui serangan udara dan kempen ketenteraan rejim zionis di Semenanjung Gaza.

Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke Jerman baru-baru ini mengkritik sikap hipokrit negara Barat dalam menangani konflik di Asia Barat dan menolak bahawa ia bermula sejak pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Okt lepas sebaliknya berkata konflik kedua-dua pihak bermula selepas pendudukan yang berlaku lebih lima dekad.

Malaysia yang mempunyai penduduk majoriti Islam merupakan pendukung kuat Palestin dan konsisten menentang kezaliman Israel yang menduduki tanah Palestin.

Pada Oktober 2023, Anwar enggan melabel Hamas sebagai kumpulan pengganas walaupun berdepan tekanan Amerika Syarikat supaya Malaysia mengubah pendiriannya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.