IS: Malaysia Tahan 7 Lelaki Dipercayai Rancang Mencetuskan Keganasan
2016.01.24
Sehari sebelum menteri, pegawai kanan dan pakar bidang menangani keganasan dari 19 buah negara bertemu di Kuala Lumpur untuk merangka strategi dalam menentang radikal ekstremis kumpulan militan Negara Islam (ÌS), polis Malaysia mengumumkan mereka menahan tujuh lelaki yang dipercayai merancang melakukan serangan keganasan di negara itu.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, mereka dipercayai anggota kumpulan IS di Malaysia dan mempunyai kaitan dengan Bahrum Naim, lelaki yang dikenal pasti sebagai dalang di sebalik serangan di Jakarta, Indonesia pada 14 Januari lepas.
Katanya kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 50 tahun, ditahan di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Johor dan Pahang oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) antara Jumaat dan Ahad.
“Kesemua suspek dipercayai merancang untuk melancarkan serangan keganasan di beberapa lokasi strategik di seluruh negara.Tangkapan ini adalah susulan daripada tangkapan ke atas seorang suspek di Ampang pada 15 Jan lalu,” kata Khalid dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada Ahad.
Pada Sabtu lalu, beliau berkata, seorang rakyat Malaysia berusia 28 tahun ditangkap di Stesen LRT Setiawangsa di Kuala Lumpur pada Jumaat, dan dia mengaku telah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri di Malaysia selepas menerima arahan daripada anggota IS warga asing di Syria.
Tangkapan suspek IS itu dibuat sehari selepas Malaysia mengeluarkan amaran keselamatan negara tahap tinggi susulan beberapa siri kejadian pengeboman dan tembak menembak dipercayai anggota IS di ibu negara Indonesia, Jakarta, pada Khamis.
Malaysia memperketatkan lagi kawalan keselamatan di kesemua kawasan tumpuan awam dan pelancong serta pintu masuk negara dan sempadan bagi menyekat aktiviti yang mempunyai elemen keganasan.
Jakarta digegarkan dengan beberapa siri letupan dan tembak menembak dalam kejadian di tengah-tengah kota raya itu pada pagi Khamis, yang mengakibatkan empat orang awam dan empat penyerang mati.
Dalam kenyataan itu, Khalid menjelaskan bahawa operasi antara 22 dan 24 Jan itu menjurus kepada rampasan barang-barang seperti 30 butir peluru pelbagai jenis, buku-buku jihad, bendera dan video propaganda IS.
“Seorang daripada tujuh lelaki itu menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi@Abu Hamzah, warga tempatan yang menyertai IS di Syria.
“Sementara seorang lagi pula mendapat arahan daripada Bahrom Naim, pemimpin kanan Khatibah Nusantara, warga Indonesia di Syria yang turut bertanggungjawab mengarahkan anggota sel IS di Indonesia untuk melancarkan serangan di Jakarta pada 14 Jan lepas,” katanya.
Khalid berkata, dua individu ditahan dalam operasi di Johor yang terdiri daripada penolong pengurus berusia 31 tahun dan berasal dari Sabah yang bekerja di bahagian 'housekeeping' (perkemasan) sebuah hotel di Nusajaya.
“Dia dipercayai berperanan sebagai ‘Amir’ kepada sel (IS) ini,” katanya, sambil menambah individu kedua ialah penyelia stor kilang yang berusia 33 tahun.
Dua tangkapan di Kedah pula melibatkan seorang penjual cendol berusia 50 tahun yang disyaki bertanggungjawab mengumpul dan menyalurkan dana kepada mana-mana rakyat Malaysia yang berhasrat menyertai IS di Syria.
"Dana yang dikumpulkan itu juga akan digunakan untuk membiayai operasi serangan ganas di Malaysia," kata Khalid.
Beliau berkata, turut ditahan di negeri utara itu ialah seorang lelaki berusia 26 tahun berasal dari Terengganu, yang merupakan pembantu penjual cendol terbabit, yang merancang menyertai IS di Syria.
Menurutnya tiga lagi lelaki ditahan di Selangor (Gombak), Kuala Lumpur dan Pahang, yang berusia antara 30 hingga 33 tahun, dan masing-masing bekerja sebagai pembantu makmal, jurupasang unit Sistem Pengesan Global (GPS) dan pengawal keselamatan.
"Ketiga-tiga suspek itu turut terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia," kata beliau.
Menurutnya kesemua mereka ditahan di bawah Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Dalam pada itu, Prof Dr. P. Sundramoorthy, pakar jenayah dan profesor di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang yang diminta mengulas mengenai beberapa kejayaan tangkapan oleh Polis selepas serangan di Indonesia, beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang lebih kecil, berbanding jirannya Indoensia, maka risikan polisnya mempunyai kelebihan dalam mengesan pergerakan mereka yang disyaki sebagai penyokong atau anggota militan.
"Ia tidak bermakna bahawa polis boleh mengesan setiap penyokong atau anggota IS, tetapi setakat ini mereka telah melakukan kerja yang baik serta sangat berharap mereka dapat mengekalkan tahap kecekapan yang tinggi dalam menangani ancaman ini," kata Sundramoorthy kepada BeritaBenar semasa dihubungi.
Beliau turut menegaskan bahawa tumpuan harus diberikan kepada membanteras kumpulan pengganas dan bukan mempolitikkan usaha polis.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur akan menjadi tuan pada Persidangan Antarbangsa Deradikalisasi yang objektif utama adalah untuk meningkatkan kerjasama di kalangan agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia.
S. Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini.