Polis: Video Muslihat Katibah Nusantara IS Beri Amaran Kepada Malaysia

Fahirul N. Ramli
2016.01.25
160125-MY-ISTAHAN620 Seorang daripada tujuh suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) ditahan Polis Malaysia dalam operasi di lima negeri sejak Jumaat, dibawa ke Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut. 24 Januari 2016.
Ihsan Polis DiRaja Malaysia

Kumpulan Militan Negara Islam (IS) telah menyiarkan video dalam talian yang mengeluarkan amaran untuk menyerang Malaysia berikutan penangkapan ahli-ahli dan penyokongnya, kata polis pada Isnin sambil menganggap video tersebut sebagai ‘perbuatan licik’ oleh kumpulan pengganas itu.

Video lebih seminit itu, dalam Bahasa Malaysia dan dikeluarkan oleh unit Melayu IS yang dikenali sebagai Katibah Nusantara (Unit Penggempur Kepulauan Melayu), memberi amaran kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan tindakan terhadap kumpulan itu dan melepaskan mereka yang telah ditahan atau ‘berdepan dengan tindakan balas dendam’.

Katibah Nusantara (KN) disyaki diketuai oleh Bahrun Naim, yang dikenal pasti sebagai dalang di sebalik pengeboman di Jakarta dan kini berpangkalan di Raqqa, pusat rasmi IS di Syria.

Video itu memaparkan dua rakyat Malaysia berpangkalan di Syria, yang dikenal pasti oleh Ketua Polis Malaysia sebagai Abdul Halid Dari dan Mohd Nizam Arifin, yang menyampaikan propaganda  kumpulan militan itu dengan menggunakan logo IS.

"Polis meneruskan langkah-langkah proaktif berhubung hal-hal berkaitan video itu dan tidak memandang ringan mengenainya," kata Khalid Abu Bakar ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur pada Isnin.

BeritaBenar belum dapat mengesahkan kesahihan video berkenaan

Ketua Cawangan Khas Polis Bukit Aman Fuzi Harun pada Isnin memberitahu BeritaBenar, "Ia [video] adalah muslihat ... tidak sepatutnya dipertimbangkan. Malah, tidak patut disebarkan lagi kerana boleh mencetuskan kekacauan dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara,”

Akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Star yang melaporkan mengenai video tersebut memaparkan dua ahli KN berikrar untuk bertindak terhadap Malaysia berikutan penangkapan ramai ahli mereka di negara itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay yang turut mengulas mengenai video itu, memberitahu bahawa KN mungkin tidak menerima arahan terus daripada IS,  sebaliknya mahu menunjuk pergerakan mereka (KN) sebagai lebih teratur berbanding sebelum ini.

Ayub juga berkata, video yang memberi amaran kepada Malaysia itu jelas menunjukkan KN menganggap Malaysia sebagai negara sekular dan sedang mempertimbangkannya sebagai negara sasaran

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.