1MDB: Malaysia sahkan penahanan bekas peguam dalam buruan Jasmine Loo

Peguam wanita yang juga merupakan orang kanan ahli perniagaan dalam pelarian Jho Low, dipercayai ditahan selepas beberapa hari beliau tiba dari Macau.
Iman Muttaqin Yusof & Iskandar Zulkarnain
2023.07.12
Kuala Lumpur
1MDB: Malaysia sahkan penahanan bekas peguam dalam buruan Jasmine Loo Bekas pengarah eksekutif 1MDB Tang Keng Chee (kiri) yang masih lagi bebas dan Jasmine Loo Ai Swan (kanan) peguam wanita yang ditahan pihak berkuasa Malaysia berkaitan kes 1MDB di Kuala Lumpur, 12 Julai, 2023.
[Ihsan Bank Negara Malaysia]

Malaysia telah menahan bekas peguam 1MDB yang juga dipercayai sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, dalang di sebalik kecurian berbillion-billion dollar dari dana pelaburan negara, kata Menteri Dalam Negeri pada Rabu.

Jasmine Loo Ai Swan, yang menjadi pelarian sejak 2015, telah ditahan oleh pihak berkuasa pada Jumaat atas dakwaan pecah amanah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian disahkan oleh Saifuddin Nasution Ismail pada satu sidang media di Putrajaya.

Menurut menteri itu, Loo menerusi peguamnya memberitahu yang beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan pihak berkuasa Malaysia.

“Loo telah ditahan oleh pihak polis pada Jumaat dan telah direman di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Polis DiRaja Malaysia telah mengenalpasti beberapa perkara yang memerlukan siasatan lanjut dan peguam yang mewakili Loo telah menyatakan kesediaan Loo untuk memberi kerjasama kepada pihak polis dan Kerajaan,” kata Saifuddin.

Loo, bekas peguam 1MDB disiasat atas dakwaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan melibatkan perbuatan pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen.

Saifuddin, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan Loo serta butiran berkaitan, tetapi difahamkan wanita itu memasuki Malaysia dari Macau beberapa hari sebelum beliau ditahan pihak berkuasa di mana laporan penangkapan Loo telah diklasifikasikan sebagai sulit.

BenarNews cuba mendapatkan maklumat tambahan dari pihak polis Malaysia, namun tiada maklum balas.

Loo telah menghilangkan diri sejak 2015, tiga tahun sebelum siasatan besar-besaran dilancarkan bagi mengesan dan menahan mereka yang disyaki terlibat dalam penyelewangan wang berbilion ringgit dari 1MDB, dana pelaburan awam yang ditubuhkan bertujuan mempromosikan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Wanita itu juga telah diletakkan dalam senarai dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia pada tahun yang sama dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya serta beberapa lagi sekutu rapat Jho Low yang telah menghilangkan diri, pada Julai 2018.

Dua tahun lalu kerajaan telah memfailkan permohonan mahkamah untuk merampas aset-aset milik Loo yang terdiri daripada wang di dalam akaun bank miliknya dan dua buah kenderaan mewah, di bawah Akta Penggubahan Wang Haram, dan pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberi kebenaran terhadap permohonan kerajaan itu.

Sehingga kini pihak berkuasa Malaysia masih aktif memburu individu-individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, termasuk Jho Low, yang dipercayai menjadi dalang dalam skandal penyelewangan tersebut.

Putrajaya sedang berunding

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mei lalu berkata yang Putrajaya sedang berunding dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses ekstradisi Jho Low.

“Pastinya proses membawa pulang Jho Low adalah rumit memandangkan ia melibatkan beberapa negara serta risikan, Interpol dan sebagainya,” ujar Anwar kepada media.

Dalam pada itu, awal bulan Mei lalu, Malaysia telah berjaya membawa pulang seorang lagi individu yang juga sekutu kepada Jho Low dan turut berada dalam senarai dikehendaki, namun, kurang sebulan kemudian, lelaki tersebut, Kee Kok Thiam, telah jatuh sakit secara tiba-tiba dan meninggal dunia semasa dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Firma guaman yang mewakili keluarga Lee mengeluarkan satu kenyataan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atas kematiannya dan menghormati privasi ahli keluarga yang meratapi kehilangannya.

Kee, 56, sebelum itu dilaporkan telah kembali ke Malaysia selepas dihantar pulang dari Macau, di mana dia telah menetap untuk satu tempoh yang lama.

Menurut laporan Al-Jazeera, Kee, antara lain telah bertemu dengan Jho Low di sana dan beliau juga telah memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siri pertemuan dengan beberapa individu yang dikehendaki oleh Malaysia antaranya Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Menurut laporan tersebut, Jho Low telah mengarahkan Kee supaya tidak pulang ke Malaysia untuk menjadi saksi dalam kes 1MDB.

Sementara itu, sumber pihak berkuasa Malaysia yang dihubungi BenarNews memberitahu, berdasarkan maklumat yang diperolehi, dapat disahkan bahawa Jho Low memang berada di Macau, tetapi tidak dapat disahkan jika beliau masih berada di sana pada ketika laporan ini ditulis.

Low, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa antarabangsa, sedang berdepan pendakwaan di Malaysia dan Amerika Syarikat atas penglibatannya dalam skandal penyelewengan berbilion-bilion dari 1MDB, yang didakwa dilakukan menerusi hubungan rapatnya dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Jabatan Peguam Negara pada Julai tahun lalu memaklumkan pihak media yang Jho Low telah menawarkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes jenayahnya di Malaysia, namun kerajaan telah menolak cadangan tersebut.

Taktala Jho Low, sekutu-sekutu rapatnya dan anggota keluarga masih hidup dalam pelarian, Najib telah didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana dari anak syarikat 1MDB dan sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Kes-kes lain yang terkait dengan 1MDB bagaimanapun masih berjalan.

Pihak pendakwaan di Malaysia dan Amerika Syarikat percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 billion telah diseleweng dari 1MDB, sekaligus menjadikannya sebagai “skandal kleptokrasi terburuk” di dunia.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.