Beri alatan pengawasan maritim kepada Malaysia cara Jepun kekang kehadiran agresif China, kata penganalisis

Jepun berkata bantuan bernilai AS$2.8 juta dapat menyumbang kepada mengukuhkan keselamatan di rantau Indo-Pasifik.
Iman Muttaqin Yusof
2023.12.18
Kuala Lumpur
Beri alatan pengawasan maritim kepada Malaysia cara Jepun kekang kehadiran agresif China, kata penganalisis Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Jepun Fumio Kishida bersama Menteri Luar kedua-dua negara Mohamad Hasan dan Yoko Kamikawa semasa majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua negara di kediaman rasmi Perdana Menteri Jepun di Tokyo, 16 Dis, 2023.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri Malaysia]

KEMASKINI pada 1 petang waktu tempatan ETS - 2023-12-18

Kesediaan Jepun untuk membekalkan Malaysia dengan peralatan pengawasan maritim bernilai AS$2.8 juta (RM13.14 juta) adalah sebahagian daripada rancangan Tokyo untuk mengekang kehadiran agresif China di rantau Indo-Pasifik, kata penganalisis pada Isnin.

Dengan pemeteraian perjanjian itu hujung minggu ini, Malaysia menjadi negara kedua yang menerimanya selepas Filipina melalui program bantuan keselamatan rasmi Jepun semasa Tokyo berhasrat untuk meningkatkan hubungannya dengan negara-negara Asia Tenggara.

Persetujuan untuk memberikan bantuan aset keselamatan tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan rakan sejawatnya dari Malaysia, Anwar Ibrahim pada Sabtu ketika satu sidang kemuncak yang dianjurkan bagi menyambut ulangtahun ke-50 hubungan ASEAN dengan Jepun.

Ia juga menyaksikan kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun kepada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif, yang merupakan tahap kerjasama tertinggi, serta berjanji untuk mengadakan hubungan dan kerjasama ekonomi yang lebih mendalam dalam sektor sains dan teknologi.

Menurut Collins Chong Yew Keat, pakar bidang Hal-Ehwal Luar Negara dan Strategi Keselamatan Universiti Malaya, negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia merupakan rakan kritikal kepada agenda ekonomi serta pengaruh Jepun di rantau tersebut, terutama sekali bagi menghalang China daripada meneruskan penguasaannya.

"Jepun hendak menghentikan pengaruh tradisional China ke atas Asia Tenggara dengan menggalakkan kerjasama pertahanan dan transformasi ekonomi baharu," kata beliau kepada BenarNews.

Kementerian Luar Jepun dalam satu kenyataan berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam laluan maritim yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Asia Timur, sekaligus menekankan mengapa ia adalah penting bagi Tokyo menyokong usaha tentera Malaysia dalam menjaga keselamatan kawasan perairan berkaitan.

"Program ini bertujuan memberikan peralatan seperti bot penyelamat yang akan digunakan dalam aktiviti Angkatan Tentera Malaysia dalam membuat pemantauan, yang dijangka dapat meningkatkan kebolehan keselamatan Malaysia.

"Ia juga dapat menyumbang kepada mengekalkan dan mengukuhkan keselamatan di rantau Indo-Pasifik,” kata kenyataan itu lagi.

Berlatarbelakangkan peningkatan kekuatan maritim China di Asia Pasifik, Anwar dan Kishida mengulangi komitmen Malaysia dan Jepun "untuk meningkatkan kerjasama keselamatan".

China dan empat negara ASEAN - Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam - mempunyai pertikaian berpanjangan mengenai tuntutan wilayah di Laut China Selatan, tetapi kawasan yang dituntut oleh China adalah yang paling luas setakat ini.

Sebagai contoh, Filipina baru-baru ini terbabit dalam insiden tegang dalam isu tuntutan di Laut China Selatan, dengan negara itu menuduh kapal China telah menembak meriam air serta melanggar kapal negara itu.

"Dalam hal ini, kami mengesahkan keperluan untuk berkongsi pandangan strategik antara kedua-dua negara, dan kami memutuskan untuk mengadakan Dialog Strategik bagi menangani cabaran serantau dan antarabangsa dengan lebih berkesan," kata Anwar dan Kishida dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.

"Kami memutuskan untuk meneruskan dialog antara pasukan pertahanan kedua-dua negara serta menggalakkan latihan serta hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia dengan Angkatan Pertahanan Diri Jepun."

Kedua-dua pemimpin tersebut sebelum ini telah menyuarkan komitmen mereka semasa lawatan Kishida ke Malaysia pada November lalu, di mana mereka menekankan mengenai perjanjian bersama untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dan keselamatan maritim.

"Kami bersetuju untuk mempercepatkan pelarasan ke arah melaksanakan bantuan keselamatan rasmi [OSA]," kata Kishida pada masa itu, seperti dilaporkan akhbar Jepun, Kyodo News.

Mesej simbolik

Pada November lalu, Jepun memilih empat negara Asia Pasifik - Bangladesh, Fiji, Malaysia dan Filipina - untuk menerima geran bantuan keselamatan dari Tokyo yang bernilai AS$13 juta.

Menurut Collins lagi, kerangka OSA itu memberikan tumpuan kepada penyediaan peralatan bersifat 'non-lethal' - senjata yang tidak membawa maut, bekalan dan pembangunan infrastruktur seperti sistem komunikasi satelit dan radar pengawasan.

"Di bawah OSA, tindakan Malaysia memberikan mesej yang simbolik dan juga impak kepada Beijing dan Tokyo. Ia menunjukkan kebolehan Malaysia untuk menjalinkan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang baharu, memanfaatkan kelebihannya dan memberikan isyarat bahawa ia bersikap terbuka kepada kuasa luar," tambah beliau lagi.

Seorang lagi penganalisis, Chong Ja Ian dari Universiti Kebangsaan Singapura, berkata sokongan Jepun ke atas keselamatan maritim dilihat sebagai memberikan negara-negara ASEAN pilihan, sekaligus mengurangkan kebergantungan mereka kepada satu kuasa besar.

"Jepun mempunyai kepentingan untuk memastikan laluan maritim di Asia Tenggara kekal terbuka, dan tidak tertakluk kepada veto mana-mana kuasa besar. Dalam hal ini, pandangan Jepun adalah selari dengan negara-negara Asia Tenggara yang terbabit.

"Ia adalah kerana Laut Cina Selatan adalah penting untuk bekalan tenaga dan perdagangan Jepun. Sebarang gangguan kepada mana-mana bahagian di rantau itu akan memberikan impak kepada keseluruhan kawasan di sekitar Taiwan dan Laut Cina Timur kerana bekalan bahan api fosil yang diimport oleh Jepun menggunakan laluan laut yang sama."

Pada awal tahun ini, Pengawal Pantai Jepun menamatkan latihan keselamatan bagi melatih rakan sejawat mereka dari Malaysia mengenai cara-cara untuk menghalau penceroboh yang memasuki kawasan dituntut mereka di Laut Cina Selatan dengan latihan itu turut menyaksikan kerajaan Jepun menyumbangkan empat meriam bunyi kepada Malaysia.

Menurut penganalisis kanan polisi luar negara, Thomas Benjamin Daniel, Malaysia mahu mengembangkan kebolehan keselamatan strategiknya, terutama dari segi peningkatan aset dan kapasiti.

"Usaha ini terutama sekali adalah berkaitan dengan kebolehan Malaysia dalam sektor maritim dan udara, di mana ia berhadapan dengan cabaran besar serta kekurangan paling banyak.

“Bagaimanapun, sejauh mana kerjasama ini berjaya masih belum diketahui, dan kedua-dua negara berkemungkinan akan mengambil pendekatan berhati-hati," kata Daniel, pakar dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.