Jerebu Teruk Paksa Sekolah Tutup Dan Acara Sukan Dibatalkan
2015.10.05
Keadaan jerebu yang semakin buruk membimbangkan beberapa buah negara di Asia Tenggara sehingga memaksa sekolah ditutup dan acara sukan antarabangsa dibatalkan pada saat-saat akhir.
Malaysia telah mengarahkan sekolah, universiti dan tadika ditutup manakala dua acara sukan peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur dan Singapura dibatalkan kerana bimbangkan kesihatan peserta yang mengambil bahagian.
Selain itu, agensi cuaca Filipina turut menyalahkan kebakaran di Sumatera, dan angin monsun yang membawa asap ke arah utara telah menyebabkan jerebu dan dijangka berlarutan selama tujuh hari di Cebu yang terletak di tengah-tengah Filipina.
Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat, NASA, memberi amaran bahawa kabus asap tebal boleh menjadi satu daripada yang paling teruk dalam rekod.
Seperti yang dilihat dalam imej yang dikeluarkan oleh agensi itu, pada 24 September dari 'Moderate Resolution Imaging Spectroradiometer '(MODIS) daripada satelit Terra NASA, dan tahun ini nampaknya tidak terkecuali.
Imej satelit menunjukkan garisan merah merupakan kawasan panas di mana sensor boleh mengesan suhu permukaan yang lebih panas daripada yang berkaitan dengan kebakaran. Kabus asap tebal menyelubungi kedua-dua pulau di Indonesia dan telah mencetuskan amaran kualiti udara serta amaran kesihatan di negara-negara jiran dengan jarak penglihatan yang semakin merosot.
Bukti satelit NASA itu, mendedahkan tahap partikel adalah sama dengan waktu keadaan jerebu paling buruk pada tahun 2006.
"Jika ramalan menyatakan musim kering akan berlarutan, ini akan menunjukkan tahun 2015 akan berada dalam kedudukan antara yang paling teruk dalam rekod," kata Dr Robert Field di Institut Kajian Angkasa Goddard NASA.
Ahli-ahli sains yang memantau kebakaran itu bimbang masalah akan menjadi bertambah buruk sebelum ia sempat reda.
Ini kerana El Niños, iaitu fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi, seperti yang kini melanda kawasan Pasifik, memanjangkan musim kering dan mengurangkan hujan.
Semasa berlakunya El Niño pada 1997, kekurangan hujan menyebabkan kebakaran besar-besaran yang tidak terkawal, yang mengakibatkan pencemaran udara dan gas 'rumah hijau' yang mencatatkan rekod, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh NASA minggu lepas.
Menurut Pangkalan Data Pelepasan Kebakaran Global, kebakaran tahun ini telah menghasilkan 600 juta tan gas 'rumah hijau' - bersamaan dengan karbon dioksida yang dihasilkan oleh perindustrian di Jerman setiap tahun.
Tahap jerebu yang sedang dialami beberapa negara Asia Tenggara kini turut mencemarkan hubungan antara Jakarta dan negara-negara jirannya, yang juga merasai kesengsaraan dengan keadaan itu
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa buah bandar di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan melebihi 300, iaitu bacaan yang boleh mengancam kesihatan.
Jabatan Alam Sekitar Malaysia dalam laman webnya mengenal pasti lima kawasan yang menunjukkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Batu Muda (271), Petaling Jaya (256), Banting (249), Port Klang (243) dan Putrajaya (235).
Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pula adalah Seremban (200), Cheras (184), Kuala Selangor (171), SK Jalan Pegoh, Ipoh (175) dan Seberang Jaya 2 (166).
Tindakan tegas
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata, kerajaan Indonesia perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi dalang pembakaran hutan sehingga menyebabkan berlakunya jerebu dan menjejaskan kualiti udara di negara jirannya.
“Indonesia saja yang dapat memastikan sama ada jerebu yang menjejaskan kualiti udara dan ekonomi Malaysia adalah disebabkan oleh perbuatan manusia atau kebakaran akibat cuaca kering.
“Hanya mereka [Indonesia] yang boleh membuktikannya…Jika didapati adalah perbuatan manusia atau syarikat perladangan, Indonesia perlu mengambil tindakan tegas terhadap dalang penyebab jerebu,” katanya dalam akaun Facebook pada Ahad.
Pada 30 Sept lepas, Presiden Indonesia, Joko Widodo “Jokowi” berkata, Indonesia memerlukan tempoh tiga tahun untuk menangani kegiatan pembakaran ladang dan hutan yang menyebabkan jerebu hingga mencemari negara jirannya.
Beliau dalam dalam satu wawancara yang disiarkan oleh BBC Indonesia berkata, masalah pembakaran hutan tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa singkat dan tiga tahun adalah tempoh untuk melihat pencapaian hasil kerja yang dilakukan bagi mengatasi masalah itu.
Malaysia juga telah memindahkan kira-kira 221 rakyatnya dari Riau bulan lepas. Keadaan itu telah menyebabkan bantahan diadakan di luar kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, asap tebal turut menyebabkan kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menutup sekolah secara berkala, dan buat pertama kalinya, melibatkan universiti dan tadika selama dua hari mulai Isnin.
Penutupan sekolah itu merupakan kali kedua dan ketiga melibatkan beberapa buah negeri terutamanya di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia.
Bagi Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka, penutupan sekolah yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid pada Ahad merupakan yang ketiga. Pada 15 dan 16 serta 28 September lepas, sekolah di negeri-negeri berkenaan telah diarahkan tutup kerana keadaan jerebu yang membimbangkan.
Mahdzir dalam kenyataan itu, mengumumkan bahawa semua sekolah di Malaysia kecuali Kelantan, Sabah dan Sarawak diarahkan tutup selama dua hari mulai Isnin kerana jerebu mencemari ruang udara negara.
Tangguh ujian
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustapha berkata, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPP) serta Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) yang melibatkan seramai 207, 343 pelajar terpaksa ditangguhkan ekoran pengumuman penutupan semua sekolah di beberapa negeri akibat jerebu oleh Kementerian Pendidikan itu.
“Penangguhan melibatkan semua pusat peperiksaan seluruh Malaysia. Tarikh baru bagi pelaksanaan peperiksaan melibatkan tiga subjek akan dimaklumkan kemudian berdasarkan kepada suasana dan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa. Pelaksanaan peperiksaan pada Rabu dan Khamis berjalan mengikut jadual," kata Othman dalam kenyataan, seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Ahad.
Universiti Sains Malaysia yang kampusnya terletak di Pulau Pinang pula mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti luar universiti itu, yang dijadual pada Isnin ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid dalam satu kenyataan akhbar berkata, penangguhan itu melibatkan Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam, Kepala Batas.
Undang-undang jerebu
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dr Wan Junaidi Jaafar pada Isnin berkata, Malaysia sedang merangka undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan yang akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat termasuk syarikat dari negara luar.
“Jika (kita ada) bidang kuasa melalui undang-undang yang sedang dirangka itu kita boleh ambil tindakan kepada semua pihak sama ada pihak dari Malaysia, Indonesia atau Singapura," katanya seperti dilaporkan Bernama pada Isnin.
Sementara itu, satu daripada acara tahunan maraton terbesar di Kuala Lumpur “Standard Chartered KL Marathon” yang meliputi beberapa kawasan penting sekitar ibunegara itu, telah dibatalkan pada Ahad kerana bimbangkan kesihatan 35,000 peserta yang akan mengambil bahagian.
"Kami memohon maaf atas pembatalan Maraton Standard Chartered KL. Ini kerana kesihatan dan keselamatan para pelari menjadi keutamaan kami. Walaupun perlumbaan dibatalkan saya sangat gembira kami berjaya mencapai sasaran Run For A Reason," kata Pengarah Urusan dan ketua pegawai eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Mahendra Gursahani dalam kenyataannya, Ahad.
Sementara itu, Singapura turut membatalkan acara renang Piala Dunia pada Sabtu, kerana bacaan Indeks Piawaian Pencemaran (PSI) negara itu melonjak ke 242 – yang dikategorikan sebagai ‘sangat tidak sihat’.
Beberapa kawasan di Selatan Thailan turut terkena tempias jerebu, dengan kawasan seperti di Patani, Betong, Songkhla dan Yala turut diliputi asap tebal akibat dari pembakaran hutan itu.
Di Betong, lebih 160 orang telah dimasukkan ke hospital daerah itu manakala di Yala, Datuk Bandarnya Somyod Lertlamyong mengedarkan lebih 5,000 topeng muka kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Songkhla merupakan daerah paling teruk dilanda jerebu di selatan Thai.