Malaysia Alami Jerebu Akibat Pembakaran Terbuka di Kalimantan

Ali Nufael
2018.08.17
Kuala Lumpur, Malaysia
180817-MY-Haze1000.jpg Menara Berkembar Petronas Malaysia yang dikaburi jerebu semasa matahari terbenam di Kuala Lumpur, 30 Mac 2016.
AFP

Malaysia sedang mengalami keadaan jerebu melebihi paras 140 di Indeks Pencemaran Udara [IPU] di sesetengah negeri, akibat pembakaran terbuka yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, dengan kerajaan Malaysia kini berusaha untuk mengaktifkan proses pembenihan awan bagi memulihkan kualiti udara.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata kementeriannya akan mengaktifkan proses pembenihan bergantung kepada keadaan cuaca.

"Kita akan merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terlebih dahulu dan kemudiannya akan memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan supaya proses melakukan pembenihan awan dapat dibuat,” katanya semasa meninjau lokasi kebakaran tanah gambut di Kampong Johan Setia, Klang pada Khamis.

Ramalan kaji cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia [JMM] turut menjangkakan penurunan hujan yang sederhana walaupun kerja pembenihan hujan dilakukan.

Mohd Hisham Mohd Anip, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional memberitahu BeritaBenar pada Jumaat, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia  berdepan dengan cuaca panas dan kering serta menerima cuma sedikit air hujan yang sekaligus menyebabkan suhu meningkat pada siang hari sepanjang Ogos hingga pertengahan September ini.

Katanya, fenomena itu berlaku akibat musim monsun barat daya yang mendominasi keadaan cuaca negara itu dalam tempoh berkenaan.

“Keadaan cuaca yang kering akan mengakibatkan kebakaran hutan belukar, kebakaran hutan dan sebagainya.

"Kita lihat keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan September di mana monsun barat daya berakhir, diganti dengan musim peralihan monsun pada ketika itu,” tambah beliau semasa dihubungi.

Mohd Hashim berkata walaupun corak tiupan angin barat daya menunjukkan Malaysia akan menerima angin daripada Sumatera dan Kalimantan, jumlah titik panas (hotspot) masih rendah.

“Dengan jumlah titik panas yang rendah kita tidak jangkakan akan berlaku jerebu rentas sempadan di mana jerebu dari Indonesia memasuki negara kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) telah diarah bersiap sedia untuk melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan jerebu melanda negara.

Menerusi laporan MET Malaysia, kebanyakan tempat di semenanjung akan menerima hujan pada paras normal dengan jumlah 150mm hingga 250mm.

Indeks Pencemaran Udara

Sementara Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras normal antara 100mm dan 150mm.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar  negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, keaadan jerebu di negeri utara itu mencecah paras tidak sihat sejak pagi Jumaat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara ( IPU) melebihi paras 100.

Dua kawasan di Seberang Jaya dan Seberang Perai mencatatkan tahap IPU tidak sihat sehingga jam 3 petang iaitu masing-masing 120 dan 109 .

"Orang ramai diminta untuk mengurangkan aktiviti luar buat sementara dan memakai ‘topeng muka’ semasa berada di luar bangunan serta minum air banyak pada  musim panas ini. Kerajaan negeri juga telah menyediakan 20,000 helai “face mask” kepada semua wakil rakyat untuk diedarkan kepada penduduk di kawasan masing-masing," kata beliau.

Phee turut memberi amaran supaya orang awam tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah kepunyaan persendirian dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran.

IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Pembakaran terbuka


Kejadian jerebu bukanlah satu fenomena luar biasa, saban tahun Malaysia kerap dilanda masalah jerebu akibat kesan pembakaran terbuka di negara jiran Indonesia.

Pada 2015, Indonesia sering mengalami kebakaran hutan sehingga menyebabkan asap tebal merebak ke Malaysia.

Pada tahun itu, Indonesia mengambil pendekatan rapi dan memberi jaminan bahawa masalah jerebu tidak akan berulang di Malaysia dan pada tahun yang sama juga, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Hamim Samuri mengakui bahawa jerebu pada 2015 adalah terburuk di dalam sejarah negara.

Beberapa penerbangan telah dibatalkan akibat jarak pandangan yang berbahaya dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang terletak di Subang, Selangor juga terpaksa ditutup apabila jarak penglihatan berkurangan kepada 350 meter pada 4 Oktober 2015.

Sekolah-sekolah terpaksa ditutup selepas IPU di kawasan ibu kota khususnya mencatatkan tahap tidak sihat.

Kalimantan alami kemarau

Sementara itu, daerah Pontianak di Kalimantan Barat, musim kemarau dan jerebu telah melanda kawasan itu menyebabkan api dan asap tebal.  Lebih kurang 100 orang pekerja sukarelawan dan 40 organisasi ditugaskan untuk mengawal  dan memadamkan api.

Ketua Polis Kalimantan Barat Didi Haryono berkata kebakaran hutan di daerah itu merupakan satu ujian atas kesilapan manusia yang membersihkan ladang dengan membakarnya secara terbuka.

“Kita harus berdoa kepada Tuhan dengan harapan datangnya hujan lebat untuk menghilangkan jerebu  dan berharap mereka yang menyebabkan kebakaran itu sedar,” kata Didi.

Agensi Kawalan Bencana Kebangsaan Indonesia berkata terdapat sebanyak 1,061 titik panas dikesan di daerah Kalimantan Barat pada pagi Khamis.

“Jumlah tersebut adalah dari 1,490 titik panas yang dikesan seluruh Indonesia,” kata jurucakap agensi tersebut Sutopo Purwo Nugroho.

Paparan satelit

Agensi ruang angkasa Amerika Syarikat, NASA, mencipta alat yang menunjukkan kebakaran dan titik panas di seluruh dunia dengan memperbesarkan data suhu pada imejan satelit masa nyata.

Klik pada pautan Worldview NASA untuk mengetahui kawasan titik panas hari ini. Titik merah menunjukkan kebakaran atau aktiviti gunung berapi. Bagi mendapatkan imejan terkini, gerakkan 'slider' kelabu di bahagian bawah skrin ke kanan.

Tidak semua kebakaran dapat dipaparkan kerana litupan awan atau intensiti yang agak rendah.

"Kebakaran gambut boleh membara di bawah permukaan selama beberapa minggu hingga beberapa bulan selepas terbakar, selalunya pada suhu yang terlalu rendah untuk dikesan secara tepat dari udara," menurut kajian penyelidik di university-universiti Columbia dan Harvard.

Imejan satelit yang disediakan NASA memaparkan kebakaran dan titik panas di Indonesia serta negara-negara jiran. (Ihsan Worldview NASA)

 

Severianus Endi di Pontianak, Indonesia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.