Malaysia: Pembenihan awan, tutup sekolah, jika jerebu semakin buruk
2023.10.03
Kuala Lumpur
Malaysia akan memulakan operasi pembenihan awan dan menutup sekolah sekiranya kualiti udara di beberapa kawasan merosot, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) negara itu semasa mengulas mengenai situasi jerebu yang sedang melanda yang didakwa berpunca dari kebakaran hutan di Indonesia.
Kualiti udara di negara itu semakin merosot terutama sekali di bahagian pantai barat Semenanjung, apabila terdapatnya pertambahan kawasan yang merekodkan bacaan “tidak sihat” berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi 150, kata Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, pada lewat Isnin.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Selasa membidas kenyataan Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya yang menafikan kebakaran di Sumatra dan Kalimantan adalah faktor penyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di negara jiran Malaysia.
Minggu lalu, Malaysia mendakwa beberapa kawasan di negara itu terjejas akibat insiden jerebu rentas sempadan hasil dari kebakaran hutan di kepulauan Sumatra dan Kalimantan di Indonesia.
“Kementerian dan agensi yang terlibat akan mengambil tindakan proaktif dalam menangangi bencana jerebu berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) seperti mengaktifkan operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan, tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai, apabila bacaan IPU mencecah 150 ke atas melebihi tempoh 24 jam.
“Semua aktiviti di luar bilik darjah sama ada di sekolah, tadika dan taska pula perlu dihentikan apabila bacaan IPU di kawasan tersebut mencecah 100 dan kesemua premis berkenaan hendaklah ditutup serta-merta sekiranya meningkat sehingga 200,” kata Wan Abdul Latiff dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, Wan Abdul Latiff mengingatkan pengurusan sekolah, tadika dan taska sentiasa memantau bacaan IPU dan jika trend bacaan menunjukkan perningkatan kearah 200, maka penutupan premis terlibat perlu dilaksanakan.
Sebagai rekod, tahap kualiti udara disukat melalui bacaan IPU dimana bacaan di bawah 50 dikategorikan sebagai “baik”, 51 hingga 100 adalah “sederhana”, 101 hingga 200 kategori “tidak sihat”, 201 hingga 300 pula “sangat tidak sihat” manakala 300 ke atas adalah “berbahaya”.
Kementerian Kesihatan Malaysia turut menasihati orang awam yang berada di kawasan terjejas supaya mengekalkan tahap hidrasi, mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka sekiranya mereka perlu keluar rumah.
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada Selasa, terdapat hampir 315 titik panas dikesan di Kalimantan, 49 di Sumatra dan satu di Semenanjung Malaysia.
Cuaca kering di Sumatra dan Kalimantan secara langsung meningkatkan aktiviti cuaca panas dan penyebaran asap jerebu sederhana hingga tebal yang berkemungkinan akan terus menjejaskan bahagian selatan wilayah tersebut, menurut ASMC.
Kebakaran hutan adalah insiden yang berlaku saban tahun di Indonesia di mana penduduknya sering melakukan pembakaran tanah gambut dan ladang kelapa sawit.
Pada tahun 2019, kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar hutan di Indonesia telah menyebabkan negara tersebut menanggung kerugian sebanyak AS$5.2 bilion, demikian menurut anggaran Bank Dunia.
Jerebu yang berasal dari kebakaran tersebut sekaligus mengakibatkan ratusan ribu penduduk menderita kerana penyakit yang berkaitan masalah pernafasan selain menyebabkan operasi penerbangan tergendala dan ribuan sekolah di Indonesia, Malaysia dan Singapura terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Bagaimanapun pada Isnin, Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya menafikan dakwaan Kuala Lumpur bahawa kebakaran di Sumatra dan Kalimantan menyumbang kepada kemerosotan kualiti negara di Malaysia.
“Kami terus mengikuti perkembangan semasa dan tiada sebarang aktiviti jerebu rentas sempadan dari Indonesia ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Nik Nazmi pada satu sidang media tempatan memperakui pertanyaan wartawan bahawa “jerebu yang berlaku di Malaysia pada masa ini bukan berpunca dari kebakaran dalam negara tapi dari luar negara.”
“Kita bercakap berdasarkan data yang ada tentang titik panas atau hotspot, dan puncanya dari mana…., pendirian kerajaan Malaysia sangat jelas jika ada mana-mana syarikat Malaysia yang melanggar undang-undang di mana-mana negara kita tidak akan membela mereka (pelaku) dan mereka perlu berhadapan dengan undang-undang yang ada di negara di mana mereka beroperasi,” katanya pada Selasa.
Akta Jerebu Rentas Sempadan
Sementara itu, badan pemantau alam sekitar Greenpeace, menyeru negara-negara ASEAN supaya segera menggubal undang-undang jerebu rentas sempadan bagi setiap negara dalam usaha menangani masalah jerebu yang berulang di wilayah itu.
“Terdapat banyak syarikat yang bertanggungjawab dalam menyumbang kepada situasi jerebu di dalam dan luar negara tidak dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
“Akta jerebu rentas sempadan domestik perlu digubal supaya syarikat yang bertanggungjawab membayar ganti-rugi kepada mangsa yang terjejas akibat pencemaran udara selain mempercepatkan langkah pencegahan di kawasan berisiko.”
Pada Mei, Nik Nazmi berkata pihak kerajaan sedang mengkaji undang-undang berkaitan jerebu rentas sempadan, di mana banyak aspek perlu diambil kira seperti hubungan diplomatik, cabaran dalam mendapatkan bukti bagi pendakwaan serta kedaulatan negara yang didakwa bertanggungjawab menjadi punca pencemaran jerebu.
Tambahnya, undang-undang saja tidak akan menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan, seperti yang berlaku di Singapura yang berhadapan dengan cabaran mendapatkan bukti kukuh bagi tujuan pendakwaan.
Akta Jerebu Rentas Sempadan pernah dicadangkan oleh Pakatan Harapan ketika ia memegang pentadbiran pada tahun 2018, namun ianya ditangguhkan pada 2020 oleh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin pada ketika itu.