Ancaman Pengganas, Malaysia Tahan Tiga Lelaki

Staf BeritaBenar
2015.09.25
150925-MY-JALAN620 Pelacong dalam dan luar negara membanjiri Jalan Alor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang merupakan sebuah tempat yang terkenal dalam menikmati pelbagai jenis juadah etnik di Malaysia. Jalan Alor telah disenaraikan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara sebagai kawasan larangan selepas dikatakan terdapat ancaman pengganas di sekitar kawasan Bukit Bintang terutamanya Jalan Alor. 25 September 2015
AFP

Polis Malaysia menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing dalam satu operasi pada Khamis, susulan terdapat dakwaan wujud ancaman pengganas di lokasi tertentu di Kuala Lumpur oleh Kedutaan Amerika Syarikat di negara itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, ketiga-tiga lelaki berumur antara 31 dan 50 tahun itu, ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM pada khamis.

Katanya, tangkapan itu susulan tindakan berterusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hasil maklumat yang diperoleh daripada suspek yang telah ditahan sebelum ini.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut kewarganegaraan dua rakyat asing berkenaan, sebaliknya Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Noor Rashid sebagai berkata, tiga lelaki yang ditahan itu terdiri daripada seorang rakyat tempatan, seorang warga Indonesia dan Syria.

“Siasatan terhadap mereka mendedahkan wujudnya perancangan untuk melancarkan serangan ke atas aset berkepentingan negara, kepentingan barat dan kawasan tumpuan awam,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada warga asing itu didapati kerap melakukan lawatan ke Yaman dan dikesan masuk ke Malaysia beberapa hari lalu.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengesahkan sama ada ketiga-tiga suspek terlibat dalam perancangan melancarkan serangan di Malaysia," katanya.

Kesemua suspek itu ditangkap mengikut Bab VIA - Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Noor Rashid  berkata,  pemantauan berterusan dilakukan oleh PDRM selaras dengan perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan dan kepentingan negara terpelihara.

Ini termasuk meningkatkan kawalan keselamatan di tempat strategik dan juga kawasan tumpuan awam, katanya sambil memberi jaminan bahawa situasi keselamatan di negara ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka.

Menurutnya, nasihat perjalanan yang dikeluarkan beberapa kedutaan asing di Kuala Lumpur adalah bertujuan menjamin keselamatan rakyat mereka semasa berada di negara asing.

“Ini adalah satu amalan universal yang dipraktikkan setiap negara demi keselamatan rakyat di mana jua mereka berada," jelas beliau.

Keluar Amaran

Pada Khamis, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia  mengeluarkan amaran kepada rakyat negaranya supaya mengelakkan melalui beberapa jalan yang menjadi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur berikutan  terdapatnya ‘maklumat ancaman yang boleh dipercayai mengenai potensi berlakunya tindakan pengganas’.

Laman web kedutaan itu mengeluarkan amaran keselamatan tersebut bagi Jalan Alor, iaitu jalan yang menjadi tumpuan pelancong dan sangat popular di Bukit Bintang serta kawasan di sekitarnya.

Kenyataan itu, juga mengingatkan rakyat negara itu supaya berhati-hati dan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan peribadi semasa mengunjungi lokasi-lokasi lain di Malaysia.

“Sebelum ini, organisasi-organisasi pengganas pernah merancang supaya serangan mereka adalah bertepatan dengan tarikh-tarikh penting dalam kalendar, " kata kedutaan AS.

Berikutan amaran Kedutaan Amerika Syarikat, kerajaan Australia pada Khamis turut mengeluarkan nasihat yang sama kepada rakyatnya yang berada di ibu negara Malaysia itu supaya mengelakkan Jalan Alor kerana ‘kemungkinan adanya ancaman keganasan’ di sana.

"Oleh kerana kemungkinan adanya ancaman keganasan, rakyat Australia dinasihatkan supaya mengelak Jalan Alor di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dengan serta-merta pada Khamis, 24 September,” kata Kerajaan Australia dalam laman web Smart Traveller.

Portal kerajaan United Kingdom, Gov.UK, turut menyiarkan maklumat berhubung amaran yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat itu.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai, menggesa rakyat Malaysia terutamanya peniaga di Jalan Alor dan kawasan sekitarnya di Kuala Lumpur supaya bertenang dan menaruh keyakinan terhadap polis dalam memastikan keselamatan di jalan-jalan berkenaan.

"Saya mahu memuji polis dan (rangkaian) risikan (mereka) kerana menjalankan tugas dengan baik bagi menangani isu pengganas di negara ini.

"Kami berharap polis akan terus meningkatkan pemantauan bagi memastikan kita bebas daripada serangan pengganas di negara ini," katanya di Putrajaya, iaitu pusat pentadbiran Malaysia, pada Jumaat.

Portal berita The Malaysian Insider dalam laporannya pada Khamis memetik sumber polis sebagai berkata bahawa ancaman itu mempunyai kaitan dengan penangkapan beberapa anggota militan Negara Islam pada bulan lalu

Sebelum ini, seramai 121 warga tempatan termasuk 23 wanita daripada pelbagai peringkat umur ditahan di seluruh Malaysia kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan IS.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak tahun lepas kerana dipercayai cuba membawa ideologi militan di negara ini.

Selain itu, lebih 60 rakyat Malaysia termasuk 10 wanita menyertai kumpulan militan IS dipercayai berada di Syria dan Iraq dan 11 daripadanya telah terbunuh di kedua-dua negara itu sejak tahun lepas.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.